Home > Menu > Berita > Kunjungan Hormat Delegasi PERUBATAN ke EME Capai Objektif

Kunjungan Hormat Delegasi PERUBATAN ke EME Capai Objektif

Mohandisein, 10 Mei 2012 – Satu kunjungan hormat dan pertemuan ramah mesra telah diadakan antara pimpinan PERUBATAN Pusat dan PERUBATAN Cawangan bersama dengan Pengarah Education Malaysia Egypt (EME), Yang Berbahagia, Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi Bin Dato’ Hj. Safei serta Atase Pendidikan EME (PKPI) En. Zulkifli bin Din. Pertemuan yang cukup bermakna dan bersejarah ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama EME, Mohandisein bermula jam 2.00 p.m.

Pertemuan ini telah dihadiri oleh ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN sesi 2012/2013 yang diketuai oleh Presiden PERUBATAN, saudara Wan Ahmad Hafizi Wan Ahmad Junaidi, Timbalan Presiden I, saudara Abd Rahim Samad, Timbalan Presiden II, saudari Aisyah Zahirah Sukeri, Timbalan Setiausaha Agung, saudari Nur Humairah Che Ibrahim, serta Timbalan Bendahari Kehormat, Siti Khadijah Daud. Pertemuan ini turut dihadiri oleh pimpinan-pimpinan PERUBATAN Cawangan di seluruh Mesir yang terdiri daripada Pengerusi PERUBATAN Cawangan Tanta, saudara Mohamad Naufal bin Mohammad Nasir, Timbalan Pengerusi 2 PERUBATAN Cawangan Mansurah, saudari Nik NurFariha Binti Mohamed Zalami, Timbalan Pengerusi 1 PERUBATAN Cawangan Iskandariah, saudara Muhammad Afiq Muhammad Fahimy dan Timbalan Pengerusi 1 PERUBATAN Cawangan Zagazig, saudara Naim Sarfaraz Ahmad.

Ramah Mesra EME 1

Majlis ramah mesra ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah EME, Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi Bin Dato’ Hj. Safei. Pertemuan ini diteruskan dengan sesi ta’aruf oleh semua yang hadir sebelum Presiden PERUBATAN memberikan pengenalan ringkas mengenai PERUBATAN dan situasi terkini dalam PERUBATAN kepada pihak EME.

Kehadiran delegasi PERUBATAN ke pejabat Pengarah EME tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengeratkan hubungan dua hala antara PERUBATAN sebagai sebuah persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa/wi sains kesihatan di Bumi Anbiya’ ini dengan pihak Education Malaysia Egypt selaku penaung PERUBATAN sejak tahun 2005. Hubungan mutual dan kerjasama yang erat ini telah memberi manfaat yang banyak kepada kedua-dua pihak dan kita berharap agar ia akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Pertemuan selama 3 jam ini sedikit sebanyak memberi ruang dan peluang kepada wakil-wakil PERUBATAN untuk mengutarakan persoalan-persoalan kepada Pengarah EME berkaitan dengan hal ehwal mahasiswa/wi sains kesihatan di bumi Mesir ini.

Antara persoalan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil PERUBATAN kepada Pengarah EME adalah:

  1. Pendirian EME terhadap agensi-agensi yang masih meneruskan penghantaran pelajar sains kesihatan ke Mesir.
  2. Peranan EME dalam membantu urusan pelajar-pelajar yang mengalami masalah di universiti-universiti seluruh Mesir seperti masalah fail, pendaftaran dan yuran pengajian.
  3. Sokongan dan kerjasama erat oleh EME terhadap PERUBATAN dalam membendung masalah sosial dalam kalangan pelajar serta meningkatkan sahsiah dan akhlak ahli PERUBATAN.
  4. Pendirian EME terhadap hubungan baik antara mahasiswa/wi sains kesihatan & pengajian Islam terutamanya di muhafazah dalam aspek keselamatan, bi’ah solehah dan perkongsian manfaat antara satu sama lain.

Disamping itu, Pengarah EME turut membangkitkan beberapa persoalan kepada wakil-wakil PERUBATAN berkenaan dengan gerak kerja unit dibawah kelolaan PERUBATAN iaitu JAKSI dan UBM. Persoalan ini telah dijawab dan diterangkan dengan baik oleh Presiden PERUBATAN sendiri.

Ramah Mesra EME 2

Di akhir pertemuan tersebut, pihak PERUBATAN telah berkesempatan untuk menyampaikan sedikit cenderahati kepada Pengarah Education Malaysia Egypt sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan dan telah dibalas oleh Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi yang mewakili seluruh kakitangan EME bagi menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada PERUBATAN. Pertemuan ramah mesra itu berakhir kira-kira jam 5 petang dan telah diakhiri dengan sesi bergambar.

 

Tinggalkan komen anda