Home > Menu > Berita > Chit-Chat Dai’e Mendoakan Kesejahteraan Ahli

Chit-Chat Dai’e Mendoakan Kesejahteraan Ahli

Zagazig, 18 Mei 2012 – Chit-Chat Dai’e minggu ke-4 yang bertemakan “Wal ‘Asr” (Demi Masa) telah berlangsung dengan jayanya, bertempat di Imarah Mama Fateema. Majlis bermula dengan solat fardhu Zohor berjemaah dan disambung dengan solat hajat khusus buat salah seorang tuan rumah tersebut, saudari Intan Zarina bt Zawawi, tahun 1 Farmasi yang mengalami kemalangan kecil sehari sebelumnya.

Bertepatan dengan tema, Surah Al-‘Asr menjadi pembuka pertemuan. Perkongsian demi perkongsian lahir hasil daripada terjemahan surah tersebut termasuklah bagaimana kemalangan yang mampu menimpa dalam sekelip mata. Motorsikal yang meluru laju dari arah hadapan, walaupun telah cuba dielak tetap terkena pada saudari Intan Zarina apabila secara tiba-tiba motor tersebut terjatuh dan terseret mengakibatkan 2 individu berhampiran menjadi mangsa.

Beliau yang ketika itu dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan praktikal bagi subjek terakhir semester ini terpaksa menangguhkannya sementara waktu bersama seorang rakan lain. Para hadirin juga mengambil pengajaran melalui hadis mengenai 5 perkara sebelum datang 5 perkara apabila saudari Intan Zarina berkongsi kepayahan untuk bergerak apabila kaki bersimen.

Majlis yang dipengerusikan oleh saudari Siti Muslihah bt Md Noor, Penasihat PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012 turut membawa hadirin berfikir bagaimana untuk menjadikan cuti musim panas yang akan datang sebagai cuti yang taat kepada Allah seterusnya berkongsi mafhum hadis ke-40 di bawah.

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari.
Daripada lbnu ‘Umar r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu.
lbnu ‘Umar r.a. pernah berkata:
Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

Majlis berakhir kira-kira jam 1.30 petang selepas sedikit tayangan video dan jamuan. Pihak penganjur tidak ketinggalan menjemput semua ahli akhawat PCZ untuk bersama Chit-Chat Dai’e minggu ke-5, 25 Mei 2012 di Imarah Belakang Istad pada jam 9.30 pagi dengan bertemakan aurat.

Pihak mediaPERUBATAN mengucapkan takziah kepada saudari Intan Zarina atas musibah yang menimpa seterusnya menyeru semua ahli agar lebih berwaspada baik dari segi pengurusan masa, kesihatan dan keselamatan lebih-lebih lagi di musim peperiksaan.

Tinggalkan komen anda