Home > Menu > Kenyataan Rasmi > “Bangkit, Bertindak & Nyatakan Bantahan Terhadap Irshad Manji!” -Presiden

“Bangkit, Bertindak & Nyatakan Bantahan Terhadap Irshad Manji!” -Presiden

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap sebarang bentuk program atau aktiviti yang menampilkan Irshad Manji di Malaysia. Apa yang ingin disampaikan oleh beliau adalah jelas bertentangan dengan undang-undang Islam serta mencabuli perlembagaan Malaysia yang menetapkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Irshad Manji mengaku sebagai seorang lesbian dan cuba untuk mengenengahkan pendirian liberal beliau kepada masyarakat Malaysia. Beliau juga seolah-olah cuba menjuarai isu kebebasan seks dan moral dan mahu menjadikan ia norma masyarakat Malaysia walaupun jelas bertentangan dengan agama Islam. Tulisan-tulisan Irshad Manji juga banyak yang mengelirukan masyarakat dan jauh tersasar daripada Hukum Syarak. Malah seringkali dilihat sebagai mempertikai atau menghina agama Islam itu sendiri. Perbuatan Irshad Manji ini adalah jelas bertentangan dengan norma serta budaya masyarakat Malaysia khususnya umat Islam dan amatlah tidak dialu-alukan. Sesungguhnya, orang Yahudi dan Nasrani tidak pernah berputus asa dalam menerobos arus pemikiran umat islam zaman kini terutamanya golongan pemuda dan remaja. Hal ini bertepatan dengan maksud Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 120:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

 

PERUBATAN menyeru pihak berkuasa (kerajaan Malaysia) agar tidak membenarkan beliau meneruskan programnya di mana-mana lokasi sekalipun dan meninggalkan Malaysia secepat mungkin bagi mengelakkan ideologi liberalnya meresap masuk ke dalam jiwa masyarakat Malaysia dan menjejaskan pengamalan agama Islam yang syumul di Malaysia. Ahli PERUBATAN diminta untuk sedar, prihatin dan cakna akan isu ini yang sedang membarah di tanah tumpah darah kita, Malaysia yang tercinta. Mainkan peranan anda dengan menerangkan kepada masyarakat sekeliling anda tentang implikasi-implikasi buruk yang bakal dihadapi seandainya Irshad Manji mula menyebarkan pengaruh liberalnya di Malaysia. Isu ini merupakan isu yang mencabuli maruah dan kehormatan umat Islam, bangkit, bertindak dan nyatakan bantahan anda!


Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati,
At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah

Wan Ahmad Hafizi Bin Wan Ahmad Junaidi
Presiden 
PERUBATAN 2012/2013

Tinggalkan komen anda