Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial Islam (Jaksi) PCZ

Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial Islam (Jaksi) PCZ

Bismillahirrahmanirrahim…

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”(Ali-Imran :104)

Bertepatan dengan ayat ini, tanggungjawab melaksanakan ‘Amar Ma’aruf Nahi Munkar’ bukanlah hanya terpundak ke atas individu tertentu sahaja bahkan kepada seluruh umat Islam iaitu kita semua. Islam merupakan satu-satunya agama yang bersifat syumuliah iaitu menyeluruh dari segenap aspek. Para penganutnya juga hendaklah mengamalkan syariat yang ditetapkan Islam secara keseluruhan dan bukanlah memilih perkara yang disukai sahaja. Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka“.

Oleh yang demikian, Mesyuarat AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012 Kali ke-4 bertarikh 6 Mac 2012 telah berbincang dan memutuskan untuk menubuhkan Jabatan Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) yang merupakan badan yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan sosial Islam dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi Islam sains kesihatan di bumi Zagazig. Ahli mesyuarat juga bersetuju untuk melantik Saudara Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim sebagai Ketua Jawatankuasa dan dibantu oleh Saudari Nurul Najuwa bt Sazali sebagai Timbalan ketua. Jawatankuasa akan bergerak serta merta selepas ini dan senarai ahli jawatankuasa penuh akan diumumkan selepas ini.

Akhirnya, PCZ menyeru seluruh warga Zagazig untuk sama-sama mengembeling tenaga dan pemikiran dalam menjayakan agenda yang akan dibawakan oleh JAKSI ini. Sebelum berakhir, marilah sama-sama kita menghayati satu hadis dari Rasulullah saw:

Dari Abu Said al-Khudri r.a, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa di antara kamu semua melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya dengan tangannya (atau dengan kekuasaannya), jikalau tidak dapat maka cegahlah dengan lisannya(menasihati) dan jikalau tidak dapat juga maka dengan hatinya. Yang demikian itu, mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah keimanannya” (Riwayat Muslim)

Sekian.

 “AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”

“ILMUWAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI”

 

Yang benar,

ABD HAKIM BIN MOHD SUHIMIN

Tahun 3, Kuliah Perubatan, Universiti Zagazig.
Pengerusi, PERUBATAN Cawangan Zagazig,
Sesi 2012.

Tinggalkan komen anda