Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > Chit Chat Dai’e Santai dan Berisi

Chit Chat Dai’e Santai dan Berisi

Zagazig, 27 Julai 2012- Kehangatan demam peperiksaan tidak menghalang ahli dalam meneruskan sesi pendidikan rohani, malah perlu lebih seiring bagi melahirkan ‘Muslim Professional’ yang berkualiti. Unit Pembangunan Insan PCZ mengorak langkah dengan menganjurkan Program Chit Chat Dai’e setiap Jumaat bermula hari ini di imarah-imarah akhawat yang terpilih.

Sesi pembukaan program ini telah diadakan di Imarah Sawah, Salam bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir kira-kira pada jam 4.00 petang. Program dimulakan dengan bacaan Surah Ar-Ra’d sebanyak 18 ayat dan dibuka perbincangan mengenai pengajaran ayat-ayat tersebut. Sesuai dengan tema “Gambate!”, pihak penganjur menekankan ayat ke-11 di mana sebahagian mafhumnya berbunyi, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”.

Seterusnya program diteruskan dengan perkongsian pengalaman oleh saudari Nafsah bt Dulajis, pelajar tahun akhir PERUBATAN di mana beliau pernah menghadapi saat-saat sukar apabila diuji dengan kesakitan selama enam bulan dan bagaimana beliau mampu lulus dalam peperiksaan dengan usaha hanya selama 2 minggu di samping doa dan tawakal.

Di akhir sesi, pihak penganjur mengadakan tayangan video kemudian semua hadirin diminta membentuk bulatan dan sama-sama menyanyikan lagu ‘Fikirkan Boleh’ bagi menyuntik semangat dan keazaman untuk menghadapi peperiksaan yang akan datang. Sebelum bersurai, sedikit jamuan telah diadakan.

Program ini akan diteruskan pada minggu hadapan di Imarah Baba Yasser pada jam 8.00 pagi dengan bertemakan “Ibadah” dan tertakluk kepada sebarang perubahan.

Pihak mediaPERUBATAN mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar semua mahasiswa berusaha mencapai kecemerlangan dengan cara yang halal kerana ilmu itu milik Allah dan hanya kepadaNya kita meminta. Wallahua’lam.

Tinggalkan komen anda