Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > Tazkirah Pimpinan | Mahasiswa Islam dan Sukan

Tazkirah Pimpinan | Mahasiswa Islam dan Sukan

Islam sendiri menyarankan umatnya untuk menitikberatkan kesihatan dan kekuatan tubuh badan. Seperti sebuah hadis Nabi yang masyhur,

“Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah dari mukmin yang lemah“.

Justeru dengan sukan jugalah kita mampu melahirkan badan yang sihat sesuai dengan syariat Islam. Imam as-Syahid Hasan al Banna sendiri menitikberatkan tarbiyah jasadiah [yakni: sukan] di kalangan ahli-ahlinya. Apatah lagi jika di dalam sesuatu perlawanan atau permainan, jika segalanya dimulakan dengan niat yang baik dan kerana Allah, pasti semuanya akan bernilai ibadah.

Islam agama yang merangkumi segala aspek dan tidak memberat-beratkan umatnya. Muslimat dan sukan, kini bukan lagi menjadi suatu yang asing atau perlu dipisahkan. Dunia kita pernah dikejutkan dengan kejayaan atlet Bahrain, Ruqaya al-Ghassara dalam acara lumba lari 200 meter di Asian Games di Qatar, Doha pada 2006 yang lalu, yang mana telah berjaya membuka mata sesetengah pihak yang mengatakan Islam adalah agama yang jumud dan yang menyekat kebebasan kaum wanita. Dengan mengenakan pakaian yang direka khas dari Australia; menutup aurat berbanding atlet lain yang ‘tidak cukup kain’, Ruqaya telah berjaya menggondol pingat emas dalam acara yang disertainya. Selain beliau, nama-nama lain seperti Homa Hosseini dari Iran dan Shaimaa El-Gammal dari Mesir, ikon muslimat dalam sukan olimpik di Beijing. Tidak dilupakan juga buat Nora Naraghi, wanita Iran yang juga merupakan jaguh motocross pernah memenangi Kejohanan Motocross Wanita Iran Pertama pada Oktober 2009. Kejayaan mereka telah membuktikan bagaimana tuntutan menutup aurat dalam Islam tidak menghalang wanita menempa kejayaan dalam bidang sukan. Bukan tertumpu kepada wanita sahaja, malah tuntutan menutup aurat juga perlu dititikberatkan oleh atlet muslimin.

Selain itu, banyak lagi kelebihan sukan yang mampu kita terokai dan mengambil peranannya dalam bidang sukan. Antaranya :

Bersukan menyatukan ukhuwwah

Bersukan selalunya melibatkan ramai pihak dan dijalankan dalam berkumpulan. Justeru tidak dinafikan lagi sukan mampu meningkatkan lagi rasa kerjasama dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.  Apatah lagi jika sama-sama menjayakan sesuatu program tersebut, dan masing-masing mahu melakukan yang terbaik untuk mencapai kemenangan. Disinilah ukhwah akan berputik dan menjadi sumber kekuatan bagi kita semua sebagai mahasiswa dan masyarakat islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 10,

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

Contoh yang terdekat dapat kita lihat dalam PSD kita sendiri, iaitu PERUBATAN SPORTS DAY yang menjadi medan untuk mengumpulkan seluruh jentera ahli PERUBATAN dalam menjayakannya.

Bersukan sebagai medium berdakwah dan tarbiyah.

Sukan memberikan skop yang lebih luas untuk mendidik dan berdakwah pada diri, keluarga mahupun masyarakat. Tatkala kita berpakaian untuk bersukan, maka pakaian yang menutup aurat, tidak terlalu ketat untuk mahasiswa dan sesuai dengan syarie, itulah yang harus dititikberatkan. Begitu juga dengan adab ketika bersukan, kita dididik untuk saling berlapang dada apabila menerima kekalahan, dan menyemai syukur apabila kejayaan menyapa. Jauh sekali untuk membangga-banggakan diri mahupun berasa diri hebat berbanding orang lain. Dalam bersukan juga dapat melatih sifat sabar dan toleransi sesama kita. Mengawal emosi dan mampu untuk berfikir secara rasional. Andaikata semua mahasiswa dapat melihat medan bersukan ini sebagai salah satu medan tarbiyah, nescaya natijah kepada bersukan pasti dapat melahirkan mahasiswa Islam yang kuat rohani dan fizikalnya.

Justeru itu, para mahasiswa kita haruslah memanfaatkan sepenuh mungkin medium sukan ini dan semoga PSD 2012 yang telah berlangsung memberikan kenangan dan pengalaman terindah buat semua. 

Disediakan oleh,

Fatmatul Zahrah binti Mat Zin,
Timbalan Pengerusi II PCZ 2012.

Tinggalkan komen anda