Home > Menu > Kenyataan Rasmi > [Ahlan ’11] Ucapan Aluan Pengerusi PCZ

[Ahlan ’11] Ucapan Aluan Pengerusi PCZ

Pertama dan selama-lamanya, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi, Yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa atas setiap sesuatu,juga Yang  Maha Mengurniakan nikmat iman dan Islam kepada kita semua sehingga ke saat ini. Selawat dan salam ke atas baginda penghulu sekalian alam,Nabi Muhammad SAW yang membawa risalah kebenaran serta rahmat kepada seluruh makhluk Tuhan.

Selamat datang kepada semua mahasiswa mahasiswi baru sains kesihatan sesi 2011/2012

 

Di kesempatan ini, saya mewakili barisan AJKT Perubatan Cawagan Zagazig 2011 (PCZ 2011) dan seluruh warga PCZ mengucapkan ahlan wasahlan dan selamat datang kepada semua mahasiswa mahasiswi baru dalam bidang sains kesihatan, baik perubatan mahupun farmasi bagi sesi pengajian 2011/2012. Selamat menjejak kaki ke ardul kinanah amnya dan ke bumi Zagazig khasnya. Sesungguhnya, kehadiran kalian ke bumi kuda putih ini amat kami alu-alukan.

PCZ 2011 mewakili seluruh senior yang berada di Zagazig mengharapkan agar dapat membantu dan menjadi pemudah cara kepada semua mahasiswa mahasiswi baru.

 

Oleh yang demikian, Program Sambutan Mahasiswa Baru PERUBATAN peringkat cawangan Zagazig dirangka sekali lagi untuk sesi ini ,dengan diberikan nafas baru dan dengan nama yang lebih segar serta menceriakan. Dinamakan sebagai AHLAN ’11, PCZ sentiasa menantikan kehadiran warga musafir ilmu seperti kalian ke bumi Nabi Yusof A.S ini.

Sepanjang AHLAN `11 ini, pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah dirancang dan disusun oleh pihak AJK pelaksana AHLAN `11 khusus untuk semua mahasiswa/wi baru. Antaranya ialah STARGATE, Jejak Ibnu Sina dan banyak lagi. Semua agenda penting yang diatur adalah selaras dengan hadaf PERUBATAN untuk meningkatkan kualiti akademik ahli, menitik beratkan kebajikan dan yang paling utama adalah untuk mengeratkan hubungan seluruh warga zagazig khususnya hubungan antara mahasiswa/wi senior dengan mahasiswa/wi junior.

Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara” (al-Hujurat [49]: 10).

“Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara, duduk berhadap-hadapan diatas dipan-dipan” (al-Hijr [15]: 47)

Betulkan niat, tekadkan azam

 

Saya menyeru kepada semua mahasiswa/wi perubatan dan farmasi, khususnya yang baru; untuk sama-sama kita perjelaskan niat dalam menuntut ilmu. Moga-moga setiap ilmu yang bakal kita cedok di tengah-tengah bumi barakah ini akan memberi manfaat serta syafaat kepada kita dan masyarakat sekeliling amnya, di dunia mahupun akhirat. Ayuh kita kentalkan tekad, bulatkan azam dalam meniti hari-hari baharu sebagai mahasiswa/wi islam dalam bidang sains kesihatan di bumi Zagazig ini.

Moga-moga kitalah yang bakal menjadi permata ummah yang diharap-harapkan selari dengan seruan kerajaan Malaysia bagi meningkatkan jumlah professional di kalangan warganegara Malaysia terutamanya dalam bidang kesihatan .

Akhir kalam, sekalung penghargaan dirakamkan buat AJK pelaksana yang bertungkus lumus menjayakan AHLAN `11 di peringkat  Zagazig , Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini secara langsung mahupun tidak langsung.

SEKIAN. Siru ‘ala barakatillah..

AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”

 

“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”

 

MOHD BUKHARI MUSLIM BIN MOHD NADZIM

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) 2011.

Tinggalkan komen anda