Home > Menu > Berita > Majlis Akad Nikad dan Walimatul Urus

Majlis Akad Nikad dan Walimatul Urus

 

ZAGAZIG, 29 Julai- Sejarah manis terlakar pada pagi Sayyidul Ayyam ini apabila PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ), di bawah Unit Bait Muslim berjaya mengelolakan walimatul urus bagi ahli PCZ buat julung kalinya di bumi Zagazig. Majlis perkahwinan pada pagi tadi telah menyatukan pelajar daripada jurusan Perubatan Tahun 2, saudara Zubir bin Ahmad dan isteri beliau pelajar jurusan Perubatan Tahun 1, saudari Husna binti Mohd Ibrahim.

Pasangan mempelai Zubir dan Husna dinikahkan oleh Atase Pendidikan, Education Malaysia Egypt, Ustaz Khairi Jalalluddin berwalikan bapa kepada pengantin perempuan, Mohd Ibrahim. Kedua-dua pasangan yang dipadankan dengan baju Melayu dan gaun berwarna putih itu diijab kabulkan di Masjid Fatah, Qaumiyah pada pukul 8.45 pagi.

Selain itu, yang turut menyaksikan majlis akad nikah adalah segerombolan wakil keluarga dari kedua-dua belah pihak pengantin yang hadir daripada tanah air Malaysia sehari sebelumnya.

Hadirin pula tiba seawal jam 7.30 pagi lagi terdiri daripada kalangan pengajian perubatan, farmasi juga pengajian Islam yang bersemangat untuk menyaksikan upacara akad nikah.

Majlis walimatul urus tersebut juga ditambah kemeriahannya dengan majoriti hadirin berpakaian baju Melayu bagi tetamu ikhwah manakala tetamu akhawat kebanyakannya bertemakan warna merah jambu.

Selesai upacara akad nikah, pengantin diarak dengan paluan kompang oleh pelajar Tahun 1 Perubatan ke Dewan Munasabat yang terletak bersebelahan  Masjid Fatah.

Upacara dewan bermula setelah pengantin dan keluarga mengambil tempat di hadapan dewan dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis, saudara Zaid bin Nailul Morad. Sambil hadirin menjamu selera, saudara Zaid mempersilakan Pengerusi PCZ, Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim untuk berucap.

Selepas itu, diserikan dengan hiasan dewan yang serba indah, ucapan diteruskan oleh Ustaz Khairi Jalalluddin yang menyampaikan beberapa pesanan kepada pasangan pengantin sebelum diakhiri oleh ucapan daripada Atase Kebajikan, Education Malaysia, Ustaz Aswandi Laman yang turut hadir bersama keluarga masing-masing.

Sambil menjamu selera, hadirin disajikan dengan persembahan nasyid oleh trio Wan Arislan, Syahir Salleh dan Abrar Shafie yang menyampaikan 4 buah lagu khas untuk pasangan pengantin dengan penuh bertenaga.

Di samping itu, turut hadir dalam majlis tersebut juga, exco PERUBATAN yang diwakili Timbalan Presiden 1 PERUBATAN, Ahmad Ibrahim bin Yahaya dan Ketua Biro Ekonomi PERUBATAN, Muhammad Azizul Hakim Azizul.

Di akhir majlis, pengantin lelaki tidak putus-putus melahirkan rasa berterima kasih kepada tetamu yang hadir dan rakan-rakan yang sama-sama membantu menjayakan majlis. 

 

Disediakan Oleh,

Wan Za’imu Nazmeer bin Wan Abu Bakar

Unit Wartawan, Jabatan Web dan Risalah

Tinggalkan komen anda