Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > Laporan Jaulah Santai Kaherah 2011

Laporan Jaulah Santai Kaherah 2011

Pada 13 Julai 2011, Unit Sukan & Aktiviti Luar PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011/12 buat julung kalinya telah mengadakan Jaulah Santai Kaherah yang melibatkan seramai 40 peserta daripada kalangan mahasiswi Sains Kesihatan Zagazig. Dengan bertemakan ‘Membeli-belah, Menjalin Ukhuwah’, jaulah ini dilihat sebagai pemudah cara bagi ahli-ahli yang ingin membeli cenderahati dan hadiah buat kaum keluarga serta sahabat handai di Malaysia. Memandangkan cuti musim panas sudah bermula, jaulah ini juga memberi peluang kepada mereka untuk bersantai sambil menerokai keagungan sejarah Islam.

Perjalanan bermula pada jam 7.20 pagi dari Zagazig dan tiba di Asfour Crystal, Kaherah pada jam 9.40 pagi. Asfour Crystal merupakan salah sebuah syarikat terbesar di dunia yang mengeluar dan mengedar produk-produk kristal. Pelbagai jenis kristal boleh didapati daripada harga serendah belasan Egyptian pound  sehingga ratusan ribu Egyptian pound .

Setelah itu, perjalanan diteruskan pada jam 12.20 tengah hari ke Masjid Sultan Hassan, yang terletak berhampiran Kubu Sultan Salahuddin untuk solat dan makan tengah hari. Masjid tersebut mempunyai empat penjuru di mana setiap penjuru atau pintu mewakili tempat pengajian bagi setiap mazhab dalam fahaman sunni. Ini membuktikan perbezaan pendapat  merupakan satu rahmat, sekaligus tidak menjadi kekangan untuk umat Islam bersatu di bawah satu bumbung, di atas pegangan akidah yang sama.

Pada jam 3.20 petang, perjalanan diteruskan ke Khan Al-Khalili (pasar Saidina Hussein). Setibanya di sana, para peserta diberi pilihan samada ingin terus membeli-belah atau mengikut rombongan ke Masjid Al-Azhar. Al-Azhar merupakan salah satu institusi pengajian tertua di dunia. Para peserta kemudiannya diminta berkumpul di Masjid Hussein pada jam 6.45 petang bagi menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak seterusnya bersedia untuk pulang pada jam 7.40 petang. Rombongan tiba di Zagazig pada jam 10.30 malam berikutan berlaku kesesakan lalulintas di Kaherah.

Pihak penganjur mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Muhammad Al-Hidayat b. Khalid di atas kesudian memberi penerangan bagi setiap tempat yang dilawati dan memohon jutaan kemaafan kepada semua andai berlaku sebarang kecacatan sepanjang mengendalikan jaulah tersebut. Semoga matlamat jaulah tercapai sekaligus para peserta dapat menambah thaqafah dan memperteguh ukhuwah.

Disediakan oleh,

Nurul Farhana binti Zainudin,

Pengarah,

Jaulah Santai Kaherah 2011.

Galeri : Jualah Santai Kaherah Akhawat

Tinggalkan komen anda