Home > Biro PCZ > Biro Perumahan > Pekeliling Keselamatan Sempena Cuti Musim Panas

Pekeliling Keselamatan Sempena Cuti Musim Panas

Bismillahirrahmaanirraheem

Assalamu’alaykum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam imtihan diucapkan kepada semua ahli PERUBATAN. Semoga kita semua sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT.

Sempena cuti musim panas yang akan datang, pihak PERUBATAN telah mengeluarkan pekeliling keselamatan sebagai panduan kepada seluruh ahli PERUBATAN. Kami daripada Biro Perumahan berharap agar ahli-ahli PERUBATAN dapat mematuhi dengan sebaiknya segala langkah keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan masalah yang tidak dingini berlaku.

Sebarang masalah dan kekeliruan boleh menghubungi nombor yang diberikan, dan bagi cawangan pula, nombor yang sama boleh digunakan kerana pihak PERUBATAN induk akan menghubungi Pengerusi Cawangan masing-masing jika ada aduan yang datang dari cawangan. Ataupun boleh menghubungi terus pengerusi cawangan masing-masing. Segala makluman lanjut selepas ini akan dimaklumkan di dalam laman web rasmi PERUBATAN ini iaitu www.perubatan.org.

Di sini kami sertakan pekeliling keselamatan tersebut dan kami juga daripada pihak PERUBATAN berharap agar seluruh ahli PERUBATAN dapat mengambil berat terhadap hal ehwal rakan-rakan daripada segala aspek, supaya dapat melahirkan komuniti yang selamat dan harmoni.

Sekian, terima kasih.

BIRO PERUMAHAN PERUBATAN 2011/2012

 

 

 

 

 

 

 

Muhammad Nurhelmi Mohd Lukhman

____________________________________________________________________________________________

Berikut merupakan Panduan Keselamatan yang perlu dicakna oleh semua ahli PERUBATAN sepanjang cuti musim panas akan datang.

BAGI AHLI YANG TINGGAL DI MESIR

  1. Sila patuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
  2. Sila patuhi arahan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir bermula jam 2 pagi sehingga 5 pagi. Namun, diminta untuk berada di dalam kediaman masing-masing selewat-lewatnya jam 10 malam.
  3. Sentiasa membawa passport dan pengenalan diri lain ketika keluar rumah.
  4. Dilarang merakam, mendekati, mengambil gambar dan menyertai sebarang perhimpunan atau aktiviti yang berbau politik.
  5. Elakkan mengulas sebarang isu politik yang berlaku di Mesir dengan warga Arab tempatan.
  6. Tidak digalakkan keluar seorang diri samada siswi atau siswa.
  7. Pastikan kediaman dikunci rapat sebelum keluar.
  8. Jangan terpedaya dengan dakwaan warga Arab tempatan sebagai ‘mabahis‘ (polis).

TAMBAHAN BAGI AHLI YANG KELUAR DARI MESIR

  1. Pastikan anda mengemas dan menyimpan barang-barang kepunyaan anda di tempat yang selamat. Sebaiknya ia diletakkan di dalam kotak atau almari yang boleh dikunci.
  2. Sila selesaikan segala urusan dengan tuan rumah anda sebelum memulakan perjalanan, samada berkaitan sewa, akad, penjagaan rumah mahupun bil-bil yang berkaitan.
  3. Sila pastikan barang-barang berharga dibawa pulang bersama anda, terutama dokumen-dokumen diri. Sekiranya tidak, pastikan ia disimpan ditempat yang selamat atau di bawah penjagaan yang baik.
  4. Sila pastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan yang kemas dan bersih. Tiada bahan makanan yang tidak kekal lama disimpan mahupun sampah yang tidak dibuang, dan pastikan paip gas dan suis elektrik ditutup.
  5. Sila pastikan bahawa maklumat keberadaan anda mahupun ahli bait samada di Mesir, Malaysia atau negara lain dalam pengetahuan pihak PERUBATAN atau ketua batch.
  6. Sila kemas kini maklumat berkenaan dengan keadaan semasa di Mesir dengan rakan-rakan yang tinggal di Mesir sebelum penerbangan pulang anda ke Mesir.

SEBARANG MASALAH BOLEH TERUS MENGHUBUNGI NOMBOR TELEFON PERUBATAN +2014-0839115.

BAGI CAWANGAN, TURUT MENGGUNAKAN NOMBOR YANG SAMA KERANA PIHAK PERUBATAN AKAN MEMAKLUMKAN PADA PENGERUSI CAWANGAN MASING-MASING.

Tinggalkan komen anda