Home > Menu > Berita > Kes Kecurian Di Rumah Ahli

Kes Kecurian Di Rumah Ahli

ZAGAZIG, 5 JUN – Di sangka Ammu tukang paip datang membaiki, rupa-rupanya warga Arab tempatan yang datang untuk mencuri tong gas. Itulah yang berlaku pada sebuah rumah mahasiswi perubatan di Salam Sidnawi semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi ketika salah seorang penghuni rumah tersebut keluar untuk menghadiri peperiksaan beliau, telah mengambil keputusan untuk kembali ke rumahnya sebentar untuk mengambil barang yang tertinggal. Sebaik sahaja tiba, dihadapan pagar rumah sudah tersedia seorang Ammu Arab yang sedang menunggu dan menyatakan tujuan kedatangannya kepada mangsa untuk membaiki sesuatu di dalam rumah dan meminta untuk membenarkannya masuk. Menyangkakan Ammu tersebut dihantar oleh Baba Imarahnya ditambah pula situasi beliau yang sedang berkejar untuk peperiksaan, menyebabkan beliau membenarkan Ammu tersebut masuk tanpa ditemani oleh mana-mana mushrif Perubatan.

Menurut laporan mangsa, Ammu tersebut masuk ke dapur dan membuat kerjanya. Seminit kemudian dia didapati membawa keluar tong gas ke luar rumah, kemudian kembali semula ke dapur untuk meneruskan kerjanya mengakibatkan mangsa tidak mengesyaki apa-apa yang pelik. Mangsa yang sudah kelewatan untuk ke universiti akhirnya memaksa Ammu tersebut keluar dari rumah dan datang kemudian. Ammu tersebut pada awalnya menyatakan mahu meneruskan kerjanya tanpa pantauan ahli rumah, namun dihalang oleh mangsa. Suspek akhirnya bersetuju dan menyatakan dia akan datang kembali apabila mangsa sudah kembali ke rumah. Kemudian suspek pergi dengan membawa tong gas. Dalam perjalanan ke universiti, baru mangsa terfikir tentang tong gas yang dibawa pergi oleh suspek dengan basikalnya.

Perkara yang sama turut berlaku pada seorang pelajar Azhari Zagazig yang mana rumahnya turut dimasuki oleh orang Arab pada pagi yang sama yang menyatakan untuk membaiki gas. Tanpa disedari mangsa turut kehilangan telefon “blackberry” nya.

Berikutan kes-kes kecurian yang berlaku, Unit Perumahan Perubatan Cawangan Zagazig meminta kerjasama semua mahasiswa dan mahasiswi terutamanya mahasiswi untuk meningkatkan kewaspadaan keselamatan di kawasan penempatan masing-masing. Jangan mudah percaya kepada mana-mana arab yang menawarkan perkhidmatan membaiki, sebaliknya diminta untuk merujuk terus kepada Unit Perumahan PCZ. Mahasiswi terutamanya, ditegaskan untuk tidak membenarkan mana-mana Arab yang tidak dikenali untuk memasuki rumah tanpa ditemani mushrif, sekalipun bersama Baba Imarah masing-masing. Mencegah lebih baik dari mengubati.

Disediakan oleh,

Siti Muslihah binti Md Nor

Timbalan Ketua Unit Perumahan PCZ 2011

Tinggalkan komen anda