Home > Menu > Berita > “Tarbiyah berterusan dalam amalan harian” – Presiden

“Tarbiyah berterusan dalam amalan harian” – Presiden

Sayeda Zainab, 6 Mei – Majlis penangguhan kelas pengajian mingguan Islamic Tutorial Week (ITe) anjuran PERUBATAN telah dilangsungkan dengan jayanya semalam di Beit Raqib, Imarah 9. Majlis penangguhan ini diadakan sebagai memberi laluan kepada ahli-ahli untuk membuat persediaan bagi musim peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi dan turut diserikan dengan kehadiran Presiden PERUBATAN, Saudara Syafiq bin Hamdani dan penceramah jemputan, Ustaz Muhamad Noorazam bin Bahador.

Memetik ucapan Saudara Syafiq, “Dengan berlangsungnya penangguhan kelas pengajian kita ini tidak bermakna program pentarbiyahan untuk ahli-ahli PERUBATAN terhenti setakat ini sahaja, tetapi kami di pihak PERUBATAN menyarankan agar semua ahli dapat menghidupkan perkongsian, zikir ma’thurat dan amalan-amalan harian yang lain bersama ahli beit. Tarbiyah itu bukan sahaja di kelas-kelas pengajian tetapi berterusan dalam amalan harian.”

Ujar beliau lagi, “PERUBATAN menyediakan medium tarbiyah salah satunya seperti kelas pengajian ini dan menjadi tanggungjawab ke atas kita untuk menjadi ejen penyebar dalam kalangan sahabat-sahabat, mengajak ke arah kebaikan.”

Penceramah telah menyampaikan pengisian tafsir surah Al-Furqan dari kitab Sofwah At-Tafaseer dan keperibadian Rasulullah S.A.W dari kitab ‘Kenali Nabi Kamu’ karangan al-Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah buat beberapa minggu berturut-turut. Banyak input berguna yang telah disampaikan hasil dari pengajian kitab dan ditambah dengan huraian-huraian dari tuan penceramah dan sambutan yang ditunjukkan oleh mahasiswa/wi rata-ratanya dari sekitar Sayeda Zainab amat menggalakkan sehingga memenuhi tempat pengajian setiap kali kelas berlangsung.

Kelas-kelas pengajian mengikut tempat masing-masing dijadualkan akan disambung semula selepas tamat musim peperiksaan nanti.

mediaPERUBATAN: Apalah ilmu itu tanpa amalan. Sebagaimana kita bahagia berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakan, lagi cun andai dikongsi juga ilmu yang di dada agar sama-sama beramal dan diberi ganjaran di sisi Allah.

 

Tinggalkan komen anda