Home > Menu > Berita > Kesatuan Seharusnya Bermula dari Akar Umbi Kepimpinan

Kesatuan Seharusnya Bermula dari Akar Umbi Kepimpinan

Abbasiah, 22hb April – Seluruh kepimpinan PERUBATAN menyahut baik seruan kesatuan sebagaimana di dalam agenda PERUBATAN pada tahun ini untuk dipadukan dalam kalangan seluruh pelusuk mahasiswa sains kesihatan di Mesir. Pelbagai tindakan telah diatur dan dipersetujui untuk diimplimentasi di seluruh peringkat gerak kerja PERUBATAN supaya agenda kesatuan pada tahun ini dapat dicapai.

Bersempena dengan Forum Akademik dan Ceramah Motivasi yang diadakan di DMAK, kepimpinan tertinggi PERUBATAN telah membuat pertemuan khas dan bermesyuarat khusus bagi membincangkan halatuju pergerakan PERUBATAN di masa akan datang. Kesempatan hujung minggu yang ada tidak disia-siakan agar segala perancangan di peringkat sesi PERUBATAN 2011/2012 dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan serentak.

Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zaqaziq, Saudara Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim menyatakan bahawa pertemuan di peringkat kepimpinan tertinggi ini cukup penting bagi membuktikan kesatuan di peringkat kepimpinan adalah teras utama kesatuan dalam gerak kerja PERUBATAN. Saudara Zulkifli bin Mohamad selaku Pengerusi PERUBATAN Cawangan Tanta pula menambah bahawa pertemuan di peringkat kepimpinan ini wajar diadakan secara berterusan, supaya PERUBATAN di peringkat pusat tidak melupakan gerak kerja cawangan, dan PERUBATAN cawangan turut cakna dengan gerak kerja pusat.

Saudara Syafiq bin Hamdani, Presiden PERUBATAN menambah bahawa di peringkat awal sesi PERUBATAN kali ini, PERUBATAN telah menampung pelbagai masalah dari sudut kesatuan. Maka segala laporan diambil pada pertemuan kali ini dan ianya dibincangkan khusus bagi mencari penyelesaian kepada masalah kesatuan ini.

“Saya percaya perkara ini ada penyelesaian. Yang penting, ahli PERUBATAN ikhlas dalam niat untuk bersatu dan bekerjasama di dalam gerak kerja PERUBATAN, iaitu di atas dasar akidah Islam, yang tidak akan terputus sampai bila-bila. Kepimpinan PERUBATAN sudah mulakan langkah, kini giliran ahli PERUBATAN untuk mengikuti jejak langkah kami.”

Sumber : PERUBATAN

Tinggalkan komen anda