Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Kenyataan rasmi terbaru mengenai kuliah

Kenyataan rasmi terbaru mengenai kuliah

Assalamualaikum..
Bismillah arRahman arRahim..
               
Alhamdulillah, segala puji hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Agung, yang menjadikan bumi sebagai persinggahan untuk kita bagi menguji siapakah daripada kalangan kita yang beriman dan berbuat kebaikan serta layak mendiami syurgaNYA di akhirat kelak. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, nabi terakhir yang diutuskan bagi membawa sinar IMAN dan ISLAM kepada manusia.  Sesungguhnya tanpa rahmat yang dibawa oleh baginda, siapalah kita?
                Terima kasih  ya Allah atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami. Sesungguhnya Engkau sajalah yang kami sembah dan kepadaMU sajalah kami meminta pertolongan.
                Alhamdulillah, suasana di Zagazig pada hari ini sungguh aman dan tenang. Suasana darurat yang kita takuti dahulu sudah seakan-akan lenyap dari bumi Zagazig. Kelihatan orang ramai juga sudah kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Cuma masih terdapat beberapa buah kereta kebal yang seakan-akan menghiasi jalan-jalan di Zagazig ini. Sama- samalah kita doakan moga-moga keamanan dan ketenangan seperti ini akan semakin baik dan berterusan selamanya.
Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
                Alhamdulillah, semalam, ahad bersamaan 13 Mac 2011, saya dengan ditemani  unit akademik PERUBATAN Cawangan Zagazig telah mengadakan pertemuan bersama koordinator bagi pelajar Malaysia di Universiti Zagazig, Prof. Dr. Omar Shabrawi bagi membincangkan hal-hal berkaitan kuliah untuk seluruh mahasiswa sains kesihatan di bumi Zagazig termasuklah pelajar di bidang perubatan mahupun di bidang farmasi. Antara perkara yang dibincangkan adalah melibatkan tarikh buka semula kuliah, peperiksaan pertengahan tahun dan sebagainya.
                Berkenaan soal buka kuliah, berdasarkan perbincangan antara wakil Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan pihak universiti, tarikh yang dijadualkan untuk buka kuliah bagi seluruh pelajar Malaysia di Universiti Zagazig ialah pada 15 Mac 2011. Walaupun begitu, setelah mempertimbangkan tarikh pelajar-pelajar Malaysia pulang ke sini yang agak lewat atas sebab tarikh tersebut telah diaturkan oleh pihak kerajaan, beliau mencadangkan untuk tarikh buka semula kuliah dilanjutkan  pada minggu berikutnya iaitu pada 20 Mac 2011 bersamaan hari ahad. Untuk pengetahuan anda juga, tarikh ini merangkumi pelajar-pelajar  fakulti perubatan mahupun fakulti farmasi dan telah dipersetujui oleh dekan masing-masing. Oleh itu, sukacitanya dimaklumkan bahawa tarikh buka semula kuliah bagi seluruh mahasiswa sains kesihatan Universiti Zagazig ialah pada 20 Mac 2011 bersamaan hari ahad.
                Antara sebab yang mempengaruhi keputusan perbincangan tersebut supaya menangguhkan tarikh buka semula kuliah ke 20 Mac 2011 adalah seperti berikut:
1.       Kebanyakan pelajar Malaysia pulang pada pertengahan bulan mac sehingga hujung bulan dan tarikh tersebut diaturkan oleh pihak kerajaan negeri, penaja serta badan-badan lain dan bukannya atas pilihan pelajar sendiri.
2.       Statistik pelajar Malaysia yang sudah sampai ke Zagazig sebelum 15 Mac 2011 lebih kurang 200 orang daripada keseluruhan hampir 500 orang (kurang dari 50%).
3.       Memberi tempoh kepada pelajar untuk membuat atau memperbaharui visa pelajar bagi memastikankeselamatan pelajar di sini terjaga.
Seterusnya, mengenai tarikh peperiksaan pertengahan tahun bagi pelajar perubatan tahun 1, 2 dan 3, sehingga sekarang tarikh peperiksaan masih belum dapat dipastikan lagi dan dijangkakan akan diadakan  pada bulan april. Menurut beliau, pihak fakulti masih belum menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan peperiksaan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu mereka pertimbangkan. Oleh itu, beliau sekali lagi mengatakan bahawa selepas selesai semua pelajar Malaysia pulang ke Mesir, beliau akan berbincang semula dengan pihak-pihak yang terlibat dan memaklumkan sebarang keputusan yang telah dibincangkan kepada kita. Bagi pelajar perubatan tahun 5, tarikh untuk peperiksaan anda pula akan dibincangkan bersama ketua bahagian pediatrics pada 20 Mac 2011 iaitu pada hari pertama buka semula kuliah. Untuk pelajar farmasi pula, tiada sebarang peperiksaan yang dijadualkan dalam masa terdekat oleh sebab anda baru sahaja memulakan sem baru bermula minggu hadapan.
                Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa tarikh untuk peperiksaan akhir tahun insyaallah akan dilanjutkan selama sebulan dari kebiasaan bagi memberi ruang kepada pensyarah untuk menghabiskan silibus pengajian dalam tempoh yang ditetapkan berikutan cuti khas sempena darurat yang berlaku tempoh hari.
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
                Jika sebelum ini kita dibenarkan melepasi pintu pagar universiti tanpa perlu menunjukkan kad kernih atau kad matrik akan tetapi keadaan pada masa sekarang telah menyebabkan pihak keselamatan terpaksa mengetatkan kawalan dan mengarahkan untuk mana-mana pelajar yang ingin memasuki kawasan universiti supaya menunjukkan kad kernih atau kad matrik masing-masing. Setelah merujuk perkara ini kepada Dr. Omar, beliau mengakui perkara ini dan beliau menyarankan agar para pelajar dapat mengambil kad kernih dari pihak universiti. Jika berlaku sebarang masalah, beliau meminta agar para pelajar memberitahu kepada pihak keselamatan tersebut bahawasanya beliau adalah orang yang bertanggungjawab ke atas seluruh pelajar Malaysia di universiti. Seandainya pihak keselamatan tersebut masih tidak membenarkan untuk masuk, anda dikehendaki menghubungi beliau di talian +20123313030. Walaubagaimanapun, beliau sudah memberitahu pihak keselamatan agar memberi kebenaran kepada pelajar Malaysia untuk masuk tanpa halangan seperti sebelum ini.
                Untuk pengetahuan anda juga, anda boleh mendapatkan kad kernih  dari pihak pentadbiran fakulti (syuun tulab) masing-masing. Bagi yang masih belum mendapat kad kernih anda, berikut mungkin antara penyebab yang menghalang anda dari mendapat kad tersebut:
1.       Tidak mejelaskan yuran pengajian
2.       Tidak menjelaskan denda SPM
3.       Tidak mempunyai dokumen atau file maklumat diri di universiti
4.       Tidak menghantar gambar kepada pihak pentadbiran (syuun tulab) fakulti
*Sebarang masalah berkaitan urusan kad kernih, anda bolehlah merujuk kepada unit akademik PCZ.
Firman Allah,
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau hendak dustakan?”         (ar-Rahman: 16)
                Alhamdulillah, dalam perbicangan tersebut juga beliau memaklumkan bahawa permohonan yang dikemukakan oleh PERUBATAN Cawangan Zagazig pada tahun lepas yang diwakili pengerusi pertama PCZ , Dr. Abdul Hadi bin Mohd Zuki serta saya sendiri  iaitu berkaitan pengurangan kadar pembayaran yuran bagi pelajar-pelajar yang  mengulang tahun, telah pun diluluskan oleh pihak universiti menjadikan kadar yuran yang perlu dibayar oleh mereka ialah USD 2000 bagi setiap subjek.
                Sungguhpun begitu, hendaklah diingatkan kepada semua pelajar agar menjelaskan yuran sama ada yang tertunggak mahupun yuran semasa bagi mengelakkan daripada tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir tahun nanti yang pastinya akan membantutkan proses pembelajaran kita dalam bidang yang kita ceburi ini. Bersamalah kita panjatkan kesyukuran pada Allah yang sentiasa mencurahkan rezeki kepada kita.
                Sebelum mengakhiri, sukalah saya untuk mengulang kembali apa yang diungkapkan oleh Dr. Omar yang memohon agar kita dapat belajar dan mengulangkaji bersungguh-sungguh kerana pihak universiti berusaha memberikan yang terbaik kepada kita sedangkan kita hanyalah sekadar melepaskan batok di tangga.
                Untuk akhirnya, kami memohon jutaan kemaafan andai keputusan yang diambil ini sedikit sebanyak mengganggu niat anda untuk meneruskan pengajian secepat mungkin dan haruslah diingat bahawa bilamana Allah telah mengaturkan sesuatu kepada kita, pastinya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Persoalannya sama ada kita tahu ataupun tidak. Dan ketahuilah bahawa pihak kami tidak pernah membuat sebarang keputusan dengan hanya memikirkan kehendak peribadi semata-mata akan tetapi sebarang keputusan yang diambil adalah dengan pertimbangan yang terbaik untuk semua pelajar sains kesihatan di bumi Zagazig ini.
mungkin sekali kamu tidak menyukai  sesuatu akan tetapi ianya adalah baik bagi kamu dan mungkin kamu menyukai sesuatu akan tetapi ianya buruk bagi kamu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu sendiri tidak tahu” (Al-Baqarah:216)
                Justeru,  kami memohon agar semua pelajar dapat menghadirkan diri ke kuliah sejurus selepas kuliah dibuka semula dan diharapkan agar gejala ponteng kuliah tidak lagi menular dalam kalangan kita kerana kita yakin bahawa kita mampu mengubahnya. Sama-samalah kita doakan moga-moga Allah memberi kejayaan yang cemerlang kepada kita pada tahun ini dan tahun-tahun yang berikutnya. Bittaufiq wannajah kepada semua.
Sekian.
Kearah Menjadikan Akademik Sebagai Identiti PCZ”
Ilmuan berbakti, teguh sehati”
MOHD BUKHARI MUSLIM BIN MOHD NADZIM
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.
               
               
               


One comment

  1. Untuk pengetahuan anda juga, tarikh ini merangkumi pelajar-pelajar fakulti perubatan mahupun fakulti farmasi dan telah dipersetujui oleh dekan masing-masing. Oleh itu, sukacitanya dimaklumkan bahawa tarikh buka semula kuliah bagi seluruh mahasiswa sains kesihatan Universiti Zagazig ialah pada 20 Mac 2011 bersamaan hari ahad. petikan kat atas sana..tp bukan ka pelajar farmasi kongsi klas ngan dak2 arab?? so,mcm mn nak start klas 20hb sedangkan mereka dah lame start?? plek btoi….mohon penjelasan…terima kasih..

Tinggalkan komen anda