Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Pengerusi PCZ : Isu kuliah dan tarikh pulang ke Mesir

Pengerusi PCZ : Isu kuliah dan tarikh pulang ke Mesir

Bismillah arRahman arRahim..
Assalamualaikum warahatullah wabarakatuh..
Alhamdulillah.. segala puji hanyasanya untuk Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, yang tidak henti-henti memberikan nikmat kepada kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW, nabi terakhir yang diutuskan bagi membawa risalah ISLAM dan rahmat ke seluruh alam.
Bersyukur kita kerana masih lagi diberikan nikmat keharmonian dan keamanan dalam kehidupan seharian. Kalau difikirkan dengan lebih dalam, kita lebih beruntung kerana dikurniakan nikmat IMAN dan ISLAM yang pastinya merupakan nikmat yang lebih besar daripada nikmat kehidupan itu sendiri. Andai hidup tanpa iman dan Islam, pastinya kita menjadi makhluk yang paling rugi di akhirat nanti walaupun kita mendapat nikmat keharmonian dan keamanan dalam kehidupan.
Dunia kini dikejutkan dengan tercetusnya REVOLUSI di Mesir yang menyaksikan runtuhnya kerajaan Firaun moden yang juga merupakan suatu kerajaan yang sangat zalim dan tidak mementingkan kebajikan rakyatnya. Bermula secara kecil-kecilan, REVOLUSI rakyat seolah-olah menjadi suatu penyakit berjangkit yang merebak luas yang seolah-olah tiada ubat bagi merawatnya. Terkini, negara-negara jirannya juga telah diserang penyakit berjangkit ini. Setelah hampir 18 hari rakyat Mesir berdemonstrasi secara aman, akhirnya makbullah apa yang dihajati oleh rakyat di bumi anbia’ tersebut iaitu pengunduran Presidennya, Hosni Mubarak. Walaupun begitu, tahap keamanan di sana masih menjadi persoalan kepada kita dan sudah semestinya mendapat perhatian penuh daripada pihak kerajaan Malaysia.
Sidang pembaca sekalian,
Dalam mengharungi detik-detik mendebarkan ini, saya yakin bahawa semua pihak sedang runsing dan tertanya-tanya berkenaan isu tarikh buka semula kuliah bagi seluruh pelajar sains kesihatan Universiti Zagazig. Berikut merupakan sedikit  penjelasan berkenaan beberapa spekulasi tarikh yang timbul.
Pada 9 Feb 2011, exco akademik PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) telah menghubungi koordinator bagi pelajar Malaysia Universiti Zagazig, Prof. Dr. Omar Shabrawi untuk bertanyakan tentang tarikh untuk buka semula kuliah akan tetapi maklumat yang kita peroleh dari Dr Omar ialah beliau menyatakan bahawa sehingga pada masa tersebut, pihak universiti masih belum mempunyai tarikh yang tetap untuk pembukaan kuliah bagi pelajar Malaysia.
Pihak PCZ juga ada bertanyakan berkenaan spekulasi tarikh buka semula kuliah untuk pelajar Malaysia iaitu pada awal Mac dan beliau menyatakan bahawa pihak universiti masih lagi belum memutuskan tarikh tersebut kerana berkemungkinan ianya akan diawalkan atau dilewatkan.
Selain itu, pada 12 Feb 2011, saya sendiri telah bertindak menghubungi Dr Omar Shabrawi bagi mengesahkan kembali kenyataan yang dikeluarkan dari pihak universiti berkenaan tarikh buka semua kuliah. Maklumat yang diperoleh dari perbualan tersebut ialah beliau menyatakan bahawa tarikh untuk buka semula kuliah masih dalam peringkat perbincangan dan belum diputuskan di peringkat universiti. Hal ini kerana seluruh fakulti Universiti Zagazig ditutup disebabkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi Mesir mengumumkan penambahan cuti bagi seluruh universiti di Mesir sehingga 18 Feb 2011 menjadikan tempoh cuti pertengahan tahun seluruh Mesir dari 2 minggu kepada 3 minggu.
Tambahan lagi, saya turut bertanyakan tentang kemungkinan pelajar Malaysia tidak dapat ke Mesir sebelum mendapat kebenaran dari pihak kerajaan Malaysia, beliau menyatakan  bahawa seandainya pihak kerajaan masih belum memberi green light untuk pelajar Malaysia kembali ke Mesir walaupun pihak universiti sudah mengeluarkan tarikh tertentu untuk buka semula kuliah, pihak universiti bersedia untuk menyusun semula tarikh tersebut dan tarikh peperiksaan yang tertangguh sehinggalah semua pelajar Malaysia dibenarkan pulang ke sana oleh pihak kerajaan Malaysia.
Selain itu, pada 14 Feb 2011, saya bersama exco akademik PCZ, dan penasihat PCZ, Dr Syamsul Bakri bin Osman telah mengadakan sedikit perbincangan bersama pegawai Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) yang menguruskan bahagian permohonan NOC bagi pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran ke luar negara. Dalam perbincangan tersebut, kami telah menyentuh beberapa isu dan turut bersama kami ialah Dr. Zulqarnain yang merupakan pelajar perubatan tahun 3 Universiti Zagazig.
Antara yang dibincangkan ialah berkaitan dengan tarikh buka semula kuliah bagi Universiti Zagazig. Beliau menyatakan bahawa sehingga sekarang, pihak KPT masih menunggu maklumat daripada wakil kementerian yang dihantar ke sana untuk membincangkan isu tarikh buka kuliah dengan pihak universiti di sana. Beliau turut memberitahu bahwa sebarang maklumat akan terus dimaklumkan melalui media. Pegawai yang dihantar ke sana telah berlepas (seperti yang dimaklumkan dalam utusan Malaysia pada 15 Feb 2011) dalam usaha untuk membantu pelajar-pelajar yang belajar di sana bagi menyelesaikan persoalan berkenaan tarikh buka kuliah yang timbul sejak bermulanya rusuhan di Mesir.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menyatakan bahawa pihak KPT menyarankan agar semua pelajar yang belajar di Mesir untuk tidak bertindak melulu dengan membuat sebarang tindakan untuk kembali ke sana sebelum mendapat kebenaran dari pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana bimbang akan soal keselamatan pelajar. Beliau turut menyatakan bahawa pihak KPT berpendapat bahawa isu keselamatan menjadi perkara yang perlu diutamakan berbanding soal pengajian yang tertangguh. Oleh itu, pihak PCZ juga menegaskan supaya para pelajar tidak membuat keputusan untuk kembali ke sana sebelum kebenaran dikeluarkan oleh pihak MKN.
Berkenaan spekulasi tarikh pembukaan kuliah yang dikeluarkan dari pihak-pihak lain, beliau menyatakan bahawa pihak KPT tidak akan bertanggungjawab dengan tarikh-tarikh yang dikeluarkan oleh pihak tersebut. Beliau turut memberitahu yang seharusnya para pelajar menunggu maklumat rasmi dari pihak KPT dan bukan dari pihak-pihak lain akan tetapi sekiranya para pelajar ingin berpegang dengan tarikh yang dikeluarkan selain dari pihak KPT , itu adalah hak masing-masing dan pihak KPT tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku percanggahan dan masalah selepas ini.
Berkenaan tiket untuk pulang ke sana, sepertimana yang dimaklumkan melalui media, ianya adalah tanggungan oleh pihak pelajar sendiri. Beliau menasihatkan supaya para pelajar tidak tergopoh-gapah membeli tiket kerana dikhuatiri akan membebankan pelajar sekiranya tarikh tiket yang dibeli masih belum mendapat pelepasan dari pihak MKN untuk membenarkan pelajar pulang ke sana semula. Selain itu, pihak KPT juga dalam usaha untuk berunding dengan pihak universiti di Mesir untuk mengadakan peperiksaan di Malaysia bagi mana-mana universiti yang masih belum menjalankan peperiksaan. Seandainya berjaya rundingan tersebut, kemungkinan besar tarikh untuk kembali ke sana mengambil masa yang lebih lama.
Selain itu, kami di peringkat PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) bersama Persatuan Pelajar-pelajar PERUBATAN Malaysia mesir (PERUBATAN) dan PERUBATAN cawangan yang lain dalam usaha merancang dan bertindak untuk membuat permohonan kepada beberapa pihak bagi menanggung atau mengurangkan bebanan kos pengangkutan pulang ke sana. Antara pihak yang dihubungi ialah pihak kerajaan negeri, pihak penaja, pihak persendirian dan lain-lain. Oleh itu, kami menasihatkan agar para pelajar bersabar dalam urusan pembelian tiket. Pihak kami tidak menghalang mana-mana pelajar yang ingin membeli tiket bagi sebarang tarikh akan tetapi sebarang masalah yang timbul adalah atas tanggungan pelajar sendiri. Doakan moga-moga usaha kami ini mampu membantu kita semua untuk pulang ke sana dengan lebih mudah.
Di samping itu, beliau turut menyarankan agar mana-mana pelajar yang sudah belajar di sana dan masih belum memohon sijil NOC agar bertindak segera untuk memohon sijil tersebut. Justeru, kami selaku persatuan yang bertanggungjawab terhadap akademik dan kebajikan ahli, menyarankan agar seluruh pelajar perubatan bermula dari tahun 1 sehingga tahun 5 serta pelajar jurusan farmasi yang masih belum mempunyai sijil NOC untuk segera memohon bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang timbul selepas tamat belajar.
Beliau juga memaklumkan bahawa pihak KPT telah bersetuju untuk membekukan pengeluaran sijil NOC bermula sesi pengajian tahun hadapan ke suatu masa yang akan dimaklumkan semula. Hal ini bermakna mana-mana pelajar yang menyambung pengajian ke Mesir bermula tahun hadapan, tidak akan mendapat sijil NOC akan tetapi bagi pelajar yang sudah belajar di sana, masih lagi diberi kelonggaran untuk memohon sijil NOC dan dinasihatkan supaya segera memohon sijil tersebut dari pihak KPT.
Oleh yang demikian, saya berharap agar semua pelajar sains kesihatan Universiti Zagazig sentiasa peka dengan sebarang berita atau maklumat yang diberitahu dari semasa ke semasa. Saya juga berharap agar cuti yang tidak diduga ini mampu menjadi tempoh masa terbaik bagi kita untuk belajar dan mengulangkaji di samping keluarga tercinta yang pastinya selalu memberikan semangat kepada kita untuk terus belajar dalam apa-apa  jua bidang yang diceburi.
Akhirnya, haruslah kita ingat bahawa tragedi ini mungkin sebagai suatu ujian kepada kita sebagai orang yang menuntut ilmu. Moga-moga dengan ujian ini, semakin mendekatkan diri kita dengan Allah dan menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah Taala.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa-apa yang kamu sendiri tidak ketahui” [al-baqarah:216]
Sebarang pertanyaan dan masalah, bolehlah terus merujuk kepada saya (+60132002503), Timbalan Pengerusi II, Dr. Farhuda Zulaikha (+60192655352). Sampaikan salam saya kepada keluarga anda dengan lafaz assalamualaikum.
Sekian.
Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”
MOHD BUKHARI MUSLIM BIN MOHD NADZIM
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011

Tinggalkan komen anda