Home > Tajaan > [Berita Harian] MARA Tanggung Tiket Pelajar Tajaannya Pulang ke Mesir

[Berita Harian] MARA Tanggung Tiket Pelajar Tajaannya Pulang ke Mesir

PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menanggung tiket penerbangan kembali ke Mesir untuk 700 penuntut tajaannya yang pulang ke Malaysia menerusi Ops Piramid ketika berlaku pergolakan politik di negara itu, baru-baru ini. 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Mara mempunyai 1,500 penuntut tajaannya di Mesir dan daripada jumlah itu hanya 70 yang pulang ke Malaysia, manakala selebihnya tidak pulang kerana berada di tempat lain termasuk bercuti.Bercakap kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama 101 ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pengurus kewangan syarikat milik agensi di bawah kementerian itu di sini hari ini, beliau berkata pengurusan Mara juga diminta memastikan keselamatan penuntut berkenaan sebelum mereka pulang ke Mesir.

“Perkara ini diuruskan dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri),” katanya.
Mohd Shafie berharap syarikat penerbangan Air Asia dan Penerbangan Malaysia (MAS) dapat menyediakan pakej yang bersesuaian untuk menjimatkan kos penghantaran penuntut berkenaan. 

“Kalau boleh kita buat pakej supaya dapat menjimatkan pebelanjaan dan saya yakin mereka (penuntut) boleh kita hantar dengan kos yang lebih rendah sebab jumlahnya ramai,” katanya. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

Tinggalkan komen anda