Home > Tajaan > [Berita Harian] Kerajaan Kelantan Biayai Hantar Balik Semua Pelajarnya Ke Mesir

[Berita Harian] Kerajaan Kelantan Biayai Hantar Balik Semua Pelajarnya Ke Mesir

KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan bersetuju membiayai penghantaran pulang semua 1,006 penuntut anak negeri itu di Mesir untuk meneruskan pengajian mereka berikutan pergolakan di negara itu yang kembali pulih. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat exco di Kuala Lumpur, malam tadi, yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.”Mereka yang terbabit terdiri daripada pelajar di bawah tajaan sama ada berbentuk biasiswa atau pinjaman dari Kerajaan Persekutuan atau negeri,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat Exco itu diadakan di Kuala Lumpur berikutan berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara. 

Mohd Amar berkata keputusan itu juga sebagaimana yang dipersetujui kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang yang akan menghantar balik anak negeri masing-masing ke Mesir untuk menyambungkan pengajian mereka apabila keadaan negara itu kembali pulih. 

Sebahagian besar penuntut Malaysia di Mesir dibawa pulang sama ada menerusi Ops Piramid oleh Kerajaan Persekutuan ataupun pembiayaan sendiri berikutan krisis yang berlaku di negara itu. -BERNAMA

Sumber : Berita Harian

Tinggalkan komen anda