Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Pengerusi PCZ : Isu keselamatan

Pengerusi PCZ : Isu keselamatan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum W.B.T
Semoga sahabat-sahabiah semua berada dalam penjagaan Allah SWT.
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianNya dapat lagi kita mengecapi nikmat yang tidak terhingga selaku seorang hambaNya iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia baginda Rasulullah SAW, kaum keluarga baginda, para sahabat seterusnya umat manusia yang berada di atas landasan kebenaran Islam.
Sepertimana yang kita maklum, status  keselamatan di seluruh Mesir pada hari ini berada di tahap yang amat membimbangkan . Kejadian rusuhan dapat dilihat berlaku di beberapa bandar utama umpamanya di Tahrir, Iskandariah mahupun di Zagazig sendiri. Untuk makluman semua, rusuhan yang berlaku pada masa ini adalah hasil pengaruh gelombang kebangkitan rakyat  di Tunisia yang ingin menggulingkan presiden negara mereka. 
Ditambah dengan  pilihanraya Presiden Mesir yang dijangka akan berlaku pada masa terdekat, ia turut menjadi faktor kebangkitan rakyat tempatan untuk menggulingkan Presiden semasa. Menurut pihak keselamatan Mesir (Ammi Daulah), rusuhan ini dijangka berlarutan dalam beberapa siri lagi.
Oleh yang demikian, pihak keselamatan Mesir menasihatkan semua pelajar Malaysia yang berada di bumi Mesir agar berhati-hati dan sentiasa mengikut arahan dari semasa ke semasa demi memastikan warga Malaysia terutama di Zagazig berada dalam keadaan selamat.
Berikut adalah etika keselamatan berkaitan dengan keadaan semasa:
  
  1.  Ahli dinasihatkan tidak mendekati atau menyertai mana-mana demostrasi yang dianjurkan oleh warga arab terutamanya di Mahattah (Medan Orabi).(amaran keras dari Ammi Daulah)
  2. Sentiasa membawa passport dan kernih(kad pelajar) ketika keluar dari muhafazah dan membawa sekurang-kurangnya salinan  passport ketika berada diluar rumah.
  3. Bagi mana-mana pelajar yang masih belum mempunyai visa atau memperbaharui  tempoh Visa, anda tidak digalakkan keluar dari muhafazah Zagazig.
  4. Ahli dinasihatkan tidak berurusan dengan mana-mana warga arab terutamanya berkaitan dengan persatuan di universiti melainkan dibawah pantauan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) ataupun Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ) sebagai penasihat keselamatan PCZ.
  5. Ahli dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti riadah secara berkumpulan pada waktu malam disebabkan kebiasaan warga arab daripada parti pembangkang Mesir (IM) melakukan aktiviti ini pada waktu tersebut.(amaran keras dari Ammi Daulah)
  6. Kurangkan aktiviti diluar rumah.
  7. Sentiasa mengambil cakna dengan isu keselamatan yang berlaku dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak Ammi Daulah.
Diharap semua ahli PCZ dapat mematuhi segala etika yang dikeluarkan oleh pihak kami demi memastikan keadaan keselamatan warga Malaysia terutama di bumi Zagazig terus berada dalam keadaan selamat. Akhir sekali, diminta kepada rakan-rakan agar mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kita semua di bumi Mesir ini. Juga tidak dilupakan kejayaan kita dalam peperiksaan pertengahan semester yang akan bermula selepas cuti musim sejuk nanti.
Sekian.
“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”
MOHD BUKHARI MUSLIM BIN MOHD NADZIM
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011

Tinggalkan komen anda