Home > Uncategorized > [KENYATAAN RASMI: PENUBUHAN MAJLIS MESYUARAT PEMILIHAN CAWANGAN (MMPC) 2019 SERTA PERLANTIKAN PENGARAH DAN TIMBALAN PENGARAH MMPC]

[KENYATAAN RASMI: PENUBUHAN MAJLIS MESYUARAT PEMILIHAN CAWANGAN (MMPC) 2019 SERTA PERLANTIKAN PENGARAH DAN TIMBALAN PENGARAH MMPC]

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام  عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat Baginda. Rasa syukur juga dipanjatkan atas nikmat iman dan Islam yang dimiliki hari ini.

 “Jika ada tiga orang bepergian, hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah).

Kepimpinan adalah salah satu aspek yang dianggap sangat penting dalam Islam. Hal ini boleh dilihat dari ayat dan hadis Nabi SAW yang membahas tentang ini. Proses pemilihan kepimpinan sangatlah dititik beratkan dalam Islam agar kepimpinan itu dapat menjaga ahlinya dari segi kebajikan dan juga agama mereka.

فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلمُتَوَكِّلِينَ

“Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Ali-Imran: 159)

Syura atau mesyuarat adalah satu kaedah yang sangat penting dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat. Begitu tingginya keperluan syura ini, sehinggakan Allah menamakan salah satu surah daripada al-Quran dengan nama surah asy-Syura. Hal ini adalah tidak lain, Allah hanya mahu mengajarkan manusia yang lemah ini akan perkara yang sepatutnya agar manusia menjadi lebih kukuh dan teratur perjalanan hidup mereka.

Menelusuri sirah nabi Muhammad, hasil daripada keputusan syura terhasil keputusan perang pertama umat Islam dengan kaum kafir iaitu perang Badar.

Dalam memilih tampuk pimpinan pula kaedah syura turut diaplikasikan seperti yang terjadi selepas kewafatan nabi Muhammad. Para sahabat melakukan syura, untuk memilih pengganti nabi Muhammad dalam pemerintahan. Setelah berbahas dan berdebat mereka bersetuju untuk melantik saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama umat Islam.

Masa pantas berlalu, kini tiba masa pertukaran bagi tampuk kepimpinan di semua PERUBATAN Cawangan. Lembaga Penasihat PERUBATAN Sesi 2019/2020 telah memilih kaedah bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan, PERUBATAN Cawangan Zagazig adalah melalui proses Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) menggantikan sistem pilihan raya sedia ada.

Selari dengan pengecilan komuniti di PERUBATAN Cawangan Zagazig, kaedah pemilhan melalui MMPC diputuskan untuk mendepani situasi semasa di Zagazig.

Ahli MMPC akan bermesyuarat bagi mencalonkan tampuk pimpinan PCZ pada masa akan datang.

Kaedah pemilihan yang baharu ini adalah selari dengan perlembagaan PERUBATAN  pada Fasal 20 Ceraian (d),

“Antara tugas-tugas ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN adalah menentukan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Sehubungan dengan itu, hasil perbincangan daripada peringkat Lembaga Penasihat Cawangan dan dipersetujui oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN, dengan ini melantik

Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC)

Pengarah: Abrar bin Wahidan

Timbalan Pengarah: Siti Nur Jannah binti Osman

Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) akan bergerak mengikut jalur masa yang telah disusun dan akan diselaraskan dengan pilihan raya PERUBATAN di cawangan lain.

Untuk jumlah AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig pada sesi depan pula akan berlaku pengurangan seramai 2 orang lelaki dan 2 orang wanita menjadikan jumlah keseluruhan AJKT adalah seramai 6 orang:

1. 1 orang Pengerusi

2. 1 orang Timbalan Pengerusi

3. 2 orang AJKT lelaki

4. 2 orang AJKT wanita

Akhir kalam daripada saya, semoga Allah memudahkan segala urusan kenaikan pimpinan PERUBATAN sesi hadapan dan calon yang terpilih terdiri daripada kalangan orang yang bertakwa dan berkaliber.

Sekian, terima kasih.

“PCZ – United As One”

“Ilmuwan Berbakti Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Mohamad Firdaus Bin Rasdi,

Ketua Lembaga Penasihat,

PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2019/2020.

Tinggalkan komen anda