Home > Menu > Kenyataan Rasmi > [Kenyataan Rasmi: Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) dan Pelantikan Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan 2018/2019]

[Kenyataan Rasmi: Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) dan Pelantikan Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan 2018/2019]

 logo baru

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركات

Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat Baginda. Segala syukur juga dipanjatkan kepada Allah SWT atas nikmat iman dan Islam yang kita miliki hari ini.

 “Jika ada tiga orang bepergian, hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.”
(HR Abu Daud dari Abu Hurairah).

Kepimpinan adalah salah satu aspek yang dianggap sangat penting dalam Islam. Hal ini boleh dilihat daripada ayat dan hadis Nabi SAW yang membahas tentang ini. Proses pemilihan kepimpinan sangatlah dititik beratkan didalam Islam agar kepimpinan itu dapat menjaga ahlinya dari segi kebajikan dan juga agama mereka.

فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلمُتَوَكِّلِينَ

“Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.
(Ali-Imran: 159)

Syura atau mesyuarat adalah satu kaedah yang sangat penting dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat. Begitu tingginya keperluan syura ini, sehinggakan Allah SWT menamakan salah satu surah daripada al-Quran dengan nama surah al-Syura. Hal ini adalah tidak lain kerana Allah mahu mengajarkan manusia yang lemah ini akan perkara yang sepatutnya dilaksanakan agar manusia menjadi lebih kukuh dan teratur dalam perjalanan hidup mereka.

Menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, hasil daripada keputusan syura maka terhasil keputusan perang pertama umat Islam dengan kaum kafir iaitu perang Badar.

Dalam memilih tampuk kepimpinan pula, kaedah syura turut diaplikasikan seperti yang terjadi selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Para sahabat melakukan syura, untuk memilih pengganti Nabi Muhammad dalam pemerintahan. Setelah berbahas dan berdebat, mereka bersetuju untuk melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama umat Islam.

Masa berlalu dengan pantas, kini tiba masanya pertukaran bagi tampuk kepimpinan di semua PERUBATAN Cawangan. Lembaga Penasihat PERUBATAN Sesi 2018/2019 telah memilih kaedah bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan, maka kaedah bagi PERUBATAN Cawangan Zagazig adalah melalui proses Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) menggantikan sistem pilihan raya sedia ada.

Selari dengan pengecilan komuniti di PERUBATAN Cawangan Zagazig, kaedah pemilhan melalui MMPC diputuskan untuk mendepani situasi semasa di Zagazig. Ahli MMPC akan bermesyuarat bagi mencalonkan tampuk pimpinan PCZ pada masa akan datang.

Kaedah pemilihan yang baharu ini adalah selari dengan perlembagaan PERUBATAN  pada Fasal 20 Ceraian (d),

“Antara tugas-tugas ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN adalah menentukan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan”

Seperti yang diketahui umum, Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) akan bertindak sebagai jawatankuasa khas bagi memastikan proses pemilihan dalam keadaan bebas dan bersih serta berjalan lancar. Namun begitu, sejajar dengan penubuhan MMPC maka Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) bagi sesi 2018/2019 akan bertindak sebagai wakil kepada Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2018/2019.

Sehubungan dengan itu, hasil perbincangan daripada peringkat Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan dan dipersetujui oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN, dengan ini melantik;


Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC)

Pengarah: Mohamad Hirzi Hazim bin Mohd Zahariman 

Timbalan Pengarah: NurZarin Farah Wahida binti Maulani

 

Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC)

Pengerusi: Abrar bin Wahidan

Timbalan Pengerusi: Fatini Fadhila binti Ahmad Zairin

Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) serta Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) akan bergerak mengikut jalur masa yang telah disusun dan akan diselaraskan dengan pilihan raya PERUBATAN di cawangan lain.

Untuk jumlah AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig pada sesi depan pula akan berlaku pengurangan seramai 2 orang lelaki dan 2 orang wanita menjadikan jumlah keseluruhan AJKT adalah seramai 10 orang:

  1. 1 orang Pengerusi
  2. 1 orang Timbalan Pengerusi
  3. 4 orang AJKT lelaki
  4. 4 orang AJKT wanita


Akhir kalam daripada saya, semoga Allah memudahkan segala urusan kenaikan pimpinan PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi hadapan dan calon yang terpilih terdiri daripada kalangan yang bertakwa dan berkaliber.

Sekian, terima kasih.


“PCZ-United As One”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

“Ilmuwan Berbakti Teguh Sehati”

 

Disediakan oleh,

HIRZI

 

 

 

 

 

 

 

 

Mohamad Hirzi Hazim bin Mohd Zahariman
Ketua Lembaga Penasihat
PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2018/2019.

Tinggalkan komen anda