Home > Menu > Kenyataan Rasmi > KENYATAAN RASMI : UCAPAN DASAR PENGERUSI PCZ SESI 2018/2019

KENYATAAN RASMI : UCAPAN DASAR PENGERUSI PCZ SESI 2018/2019

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Terima  kasih  kepada saudara  pengerusi  sidang, Yang  dihormati  Majlis  Tertinggi  PERUBATAN  (MTP),  saudara  Mohamad Hirzi Hazim bin Mohd Zahariman, barisan  ahli  Jawatankuasa Tertinggi  (AJKT) PERUBATAN  Cawangan Zagazig  (PCZ)  sesi   2018/2019,   yang   berusaha  Pengarah Mesyuarat  Tahunan Cawangan  (MTC)  Zagazig  kali  ke-8, saudara  Muhamad Aizuddin bin Razak  beserta  barisan  Ahli  Jawatankuasa Pelaksana MTC   Zagazig   kali   ke-8,   seterusnya   para perwakilan  dan  pemerhati,  ikhwah  dan  akhawat,  ahli  PCZ yang saya kasihi sekalian.

Pertamanya, kita rafa’kan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan nikmat iman dan Islam ini, kita diberi peluang untuk terus hidup sebagai hambaNya. Kedua, selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Moga-moga dengan selawat dan cinta kita kepada Rasulullah SAW, kita akan memperoleh syafaat baginda di akhirat kelak.
Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) yang diadakan setiap tahun ini adalah sebagai satu wasilah untuk ahli memberi komentar, muhasabah ataupun cadangan kepada para pimpinan khususnya, para penggerak dan ahli dalam menambah baik prestasi gerak kerja persatuan yang kita sayangi ini. Para perwakilan diberi ruang yang  seluas-luasnya untuk bersuara secara terbuka bagi menanyakan soalan, mendapatkan penjelasan dan menyampaikan suara hati mereka tanpa apa-apa halangan dan sekatan. Hal ini menunjukkan bahawa PCZ bukanlah milik dan hak para pimpinan namun PCZ adalah hak dan milik kita semua.

Ahli perlulah bersifat proaktif dan sentiasa memberi cadangan penambahbaikan, muhasabah dan kritikan-kritikan yang membina dan juga pada masa yang sama berusaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Para pimpinan pula perlulah mengambil kira suara-suara ahli dalam melaksanakan gerak kerja mereka dan berusaha sebaiknya bagi memenuhi kehendak ahli. Maka dengan inilah PCZ akan mampu bergerak laju dan lebih terkehadapan dalam keadaan suasana yang harmoni. Disinilah perlunya sinergi antara pimpinan dan ahli.

Bertepatan dengan definisi syura  daripada sarjana Islam, Dr Muhammad Abdullah al-Khatib dalam bukunya “Syura fil Islam” ialah “Suatu bentuk kerjasama dalam bertukar fikiran dan pandangan terhadap perkara-perkara yang melibatkan maslahat muslimin berdasarkan kaedah yang sesuai dalam mencari titik permuafakatan dan kebenaran serta ketaatan kepada Allah SWT”.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah SWT,

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 85 :

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Saidina Umar RA menegaskan;

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله

‘Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan selain daripada Islam maka kita akan dihinakan oleh Allah.’

 

Islam adalah agama Allah SWT. Islam adalah cara hidup yakni bermula daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar perkara. Islam tidak terhenti dengan nama Muhammad, Abdullah, akan tetapi Islam adalah satu aqidah yang diyakini dengan hati dan dibuktikan dengan tindakan. Menjadi tanggungjawab kita untuk membawa Islam dan menyuburkannya dalam kalangan masyarakat. Aqidah dan kefahaman ini perlulah kepada ilmu supaya kita memahami dengan betul berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Tujuan hidup kita adalah mendapat redha Allah SWT dan menjadi hambaNYA. Maksudnya, segala gerak kerja kita Allah suka. Seperti mana disebut oleh Ibnu Qoyyim Al Jauziyah dalam menafsirkan Ayat 55 Surah al- Mukminun, “Apakah kalian diciptakan tanpa ada maksud dan hikmah, tidak untuk beribadah kepada Allah, dan juga tanpa ada balasan dari-Nya[?] ” (Madaarijus Salikin, 1/98)

Untuk mencapai matlamat ini, maka perlu kepada organisasi bagi memastikan gerak kerja Islam dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun. Organisasi ini tidak akan berjaya jika hanya ada pimpinan sahaja. Disini perlu kepada petugas dan ahli yang komited. Ibarat sebuah kapal yang tidak akan mampu bergerak di lautan yang bergelora jika hanya ada nakhoda tanpa anak kapal yang membantu.

PERUBATAN adalah satu wasilah bagi membawa gerak kerja Islam. PERUBATAN menjadikan beberapa aspek pembawaan bertepatan dengan situasi semasa supaya ahli dapat memenuhi keperluan seterusnya mampu mencapai matlamat seperti mana yang digariskan Allah dan RasulNya.

1. AKADEMIK

Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula.”
(HR. Bukhari dan Muslim)

Kehidupan di dunia merupakan ladang akhirat. Islam tidak mengetepikan ilmu yang berkaitan dunia kerana dengan ilmu ini akan menjadi amalan  kebaikan kepada kita. Sebagai contoh, belajar bidang perubatan dapat membantu menjaga kesihatan dan nyawa. Kesihatan yang baik memudahkan melakukan amalan ketaatan.  Sebagai mahasiswa sains kesihatan, ilmu perubatan atau farmasi adalah menjadi satu fardhu ain kepada kita sepertimana disebutkan didalam kitab Ta’lim Mutaallim. Ilmu ini hendaklah dipelajari dengan bersungguh-sungguh supaya mencapai tujuan perubatan itu.

PERUBATAN Cawangan Zagazig pada tahun ini mensasarkan ahli Zagazig sifar gagal. Pada masa yag sama, kita ingin meningkatkan peratus kecemerlangan Jayyid Jiddan dan Mumtaz. Beberapa perkara yang digariskan bagi mencapai matlamat ini.
Pertamanya, perjumpaan berkala Majlis Pengerusi, Biro Akademik, wakil akademik setiap batch (ZAP) dan MKB. Dalam perjumpaan ini, akan dibincangkan permasalahan semasa dan berkongsi idea bagi meningkatkan kualiti pembelajaran serta suasana belajar.
Kedua, sistem kehadiran ke kelas turut dikuatkuasakan dengan pantaun daripada MKB dan Biro Akademik. Hal ini bagi memastikan kehadiran penuh ke kelas. Ingatlah sahabat-sahabat, keberkatan ilmu itu ada pada kita memuliakan dan cinta akan guru-guru. Antara buktinya adalah dengan kita hadir ke kelas. Saidina Ali berkata;

Saya adalah hamba kepada orang yang telah mengajariku walaupun satu huruf. Terserah padanya saya mahu dijualkan atau dimerdekakan atau menjadi hambanya

Ketiga,  memperkenalkan hari belajar iaitu pada hari Ahad, Rabu dan Jumaat. Pada hari tersebut akan dikosongkan segala gerak kerja seperti mesyuarat, perjumpaan dan lain-lain.
Keempat, pemantauan khas kepada pelajar yang mengulang : Projek Ibnu Sina. Dalam projek ini, akan dibuat kelas tutorial khas, ziarah ke rumah ahli, motivasi dari sahabat-sahabat dan pimpinan dan sebagainya. Bagi pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang, kalian akan diberikan penghargaan khas untuk meningkatkan motivasi buat sahabat-sahabat yang lain.

Tidak dilupakan, aspek kemahiran klinikal turut ditekankan bagi memastikan mahasiswa sains kesihatan Universiti Zagazig mencapai kriteria doktor yang kompeten. Aspek ini diterjemahkan dengan mengoptimumkan aktiviti-akiviti yang dijalankan oleh Zagazig Medical Team (ZMT) seperti Night Rush, Medical Check Up, Venupuncture, kerjasama aktiviti klinikal antara MKB bagi tahun klinikal (tahun 4, 5 dan 6) dan sebagainya. Selain itu, akan dijalankan program klinikal terbuka kepada semua ahli seperti Emergency Course, Forum Kesihatan semasa mengikut kemampuan penggerak.

 

  1. PEMBANGUNAN INSAN

Jika kita hayati sirah Rasulullah SAW, maka kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW mampu membawa agama Islam dalam masyarakat yang digelar sebagai Jahiliyyah dan mengangkat darjat kemuliaan mereka dengan Islam. Bukan itu sahaja, Islam mampu berkembang di semenanjung tanah Arab pada masa yang sama, kerajaan besar Parsi dan Rom masih berkuasa. Apakah kunci kejayaan ini?
Jawapannya adalah bagaimana Rasulullah SAW menekankan pembinaan individu muslim. Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Abdul Rahman al-Auf, Zaid bin Harithah dan ramai lagi. Jiwa-jiwa inilah yang tidak kenal erti lelah dalam membawa Islam. Pembangunan Insan merupakan aspek yang paling utama dalam kehidupan kita sebagai insan yang bergelar mahasiswa Islam di bumi Mesir ini. Justeru itu, PCZ adalah salah satu medan untuk kita berlumba-lumba dalam melaksanakan amal kebajikan di samping meningkatkan thaqafah untuk membangunkan jiwa rabbani yang ada dalam diri kita.

Seperti Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 148 :

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Pada sesi 2018/2019 ini, PCZ ingin memfokuskan aspek pembangunan individu Islam (fardhu muslim) ahli melalui medium yang sedia ada seperti Smart Circle oleh Mentor Council, Kelas EIMAN, tazkirah di kelas dan lain-lain. Medium ini disediakan tidak lain tidak bukan untuk melatih ahli PCZ menambah ilmu selain dari ilmu sains kesihatan dan  untuk melahirkan mahasiswa yang rabbani dan kompeten.

Tambahan pula di era global yang mencabar ini, PCZ juga ingin mengukuhkan sistem tarbiah ahli dengan  mengadakan program yang mendidik iman seperti Ribat Perdana dan Ifthar Jamaie serta ingin melatih ahli melalui jawatan serta unit-unit khas sejajar dengan pembawaan PERUBATAN iaitu “Kita Bekerja dengan PERUBATAN, Kita Bekerja untuk Islam”. Melalui pembawaan ini kita dapat menerapkan semangat kesukarelawan dan keikhlasan dalam hati kita untutk melaksanakan perintah  Allah sebagai bekalan kita di dunia untuk menuju akhirat yang kekal abadi.

 

  1. PROFESIONALISM

Sebagai sebuah persatuan yang berteraskan profesional sains kesihatan, adalah menjadi satu kemestian bagi kita untuk mengungguli nilai profesionalisme dalam setiap perancangan, tindakan bahkan pemikiran kita.

Sabda Nabi SAW,

Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu berbuat pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (baik, sempurna dan teliti)”.

Seperti kita semua dapat lihat, komuniti mahasiswa Malaysia di Zagazig kini terus mengecil. Dengan pulangnya batch graduan kelas 2017 tidak lama lagi, bilangan kita bakal menyusut kepada sekitar 172 orang sahaja. Kita seharusnya meneliti dengan sebaiknya segala pendekatan baharu bagi mempersiapkan semua peringkat dalam mendepani situasi pengecilan mendadak tersebut, baik dari peringkat persatuan mahupun ahli sendiri.

Kualiti vs kuantiti. PCZ akan terus menggembeleng tenaga dalam usaha memperkemas organisasi PCZ sendiri, baik dari sudut sistem, birokrasi dan pengurusan di semua peringkat. Penekanan haruslah diberikan kepada Prinsip Pareto atau lebih dikenali dengan prinsip 80/20, yang mensasarkan setiap 20% usaha kita memberikan 80% hasil. Prinsip ini akan diaplikasikan pada keseluruhan pergerakan PCZ bagi sesi 2018/2019 di kesemua peringkat baik biro, unit mahupun ahli.

Pengurusan yang baik merupakan asas kelancaran pergerakan sesebuah persatuan. Justeru, PCZ akan terus berusaha keras bagi memperkemas dan memperkasakan sistem pengurusan organisasi. Pengurusan aset dan kewangan di bawah Jabatan Bendahari akan cuba diinovasikan melalui aplikasi sistem baru yang lebih mesra ahli, optimum dan efektif. Mengambil segala muhasabah sebelum ini, peringkat Naib Pengerusi optimis dalam mengkalibrasi semula sistem pengurusan program PCZ agar lebih tersusun dan lancar.

Unit Research & Development akan terus berusaha menjadi badan yang terkehadapan dalam menganalisa permasalahan-permasalahan utama PCZ dan juga komuniti mahasiswa Malaysia di Zagazig. Masalah-masalah seperti penurunan prestasi akademik ahli, pengurusan stres dan penglibatan aktivis merupakan antara fokus-fokus utama yang dilihat wajar untuk dianalisa dan dikaji, seterusnya dikongsikan resolusinya bersama seluruh komuniti Zagazig.

Pembentukan personaliti pimpinan dan juga ahli PCZ amat wajar untuk dititikberatkan. Aspek-aspek pembangunan diri perlulah mencakupi semua sudut, bukan hanya tertumpu kepada aspek pembangunan intelek dan klinikal sahaja.

Volunteerism merupakan satu aspek yang sarat dengan pembinaan. PCZ akan mempergiat segala medium yang ada bagi menyuburkan sifat volunteerism di dalam kalangan ahli. Medium-medium kemasyarakatan seperti Syantah Ramadan, We Are One dan Aktivis PEACE akan terus dibangunkan seiring dengan seruan PERUBATAN ke arah pemantapan kesatuan dan kebajikan antara kita, baik sesama komuniti Malaysia mahupun Mesir.

Ketetapan masa merupakan muhasabah dan ironi terbesar bagi kita selaku mahasiswa sains kesihatan di Mesir, tidak kira di peringkat persatuan, mahupun individu. Lewat memulakan program, lewat menyiapkan tugasan, lewat hadir ke kuliah, bahkan lewat pulang semula ke Mesir bagi memulakan sesi kuliah baharu. Masalah ketetapan masa adalah masalah bersama. Perubahan perlu dimulakan dari dalam diri setiap individu. Kefahaman, niat dan disiplin adalah teras utama ke arah perubahan yang lebih baik. Justeru, PCZ akan memberikan penekanan khusus bagi merawat ‘Virus Bukra’ yang sedang melanda kita semua. Dan semestinya, ia memerlukan mujahadah utuh kita bersama.

 

  1. KESATUAN

Sahabat-sahabat yang diberkati Allah SWT sekalian,

  Firman Allah SWT,

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ


“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.
(Al Hujurat ayat 10)

Ayat ini jelas menyebutkan bahawa sebagai seorang muslim, kita wajib untuk memelihara ukhuwah dan kesatuan sesama kita. Apatah lagi, kita sebagai komuniti pelajar Malaysia di Zagazig, yang mana semakin mengecil. Maka, sahabat-sahabat kita yang ada pada hari ini, mereka inilah yang perlu kita anggap sebagai adik beradik, ayah dan ibu kita di perantauan.

PERUBATAN telah mengorak langkah lebih sedekad dengan kebersamaaan yang dipersembahkan oleh pimpinan dan seluruh ahli. Kebersamaan ini juga dituntut oleh PERUBATAN Cawangan Zagazig untuk terus bergerak ke hadapan.
Seperti yang diketahui umum PCZ telah mengalami proses pengecilan cawangan, justeru kita patut bersama-sama, berganding bahu untuk merealisasikan tema PCZ iaitu “PCZ-One Big Family”.
Perlulah timbul kesedaran kepada kita dalam menghayati  sabda Rasulullah SAW, daripada Nu’man bin Basyir RA:

Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Kesatuan dapat dibina sekiranya pimpinan dan ahli memainkan peranan dengan baik. Justeru, PCZ berperanan bagi meraikan kepelbagaian dan menjadi medium  untuk ahli menyuarakan pandangan, supaya dapat  meningkatkan kualiti dan keharmonian dalam kalangan ahli. Ziarah menziarahi juga akan menjadi pengamalan PCZ pada sesi kali ini yang bertujuan mengukuhkan hubungan ukhUwah dalam kalangan ahli. Kita juga akan melaksanakan program mega (Family Day) yang mana menghimpunkan keseluruhan ahli PCZ bagi meraih objektif ini. Di samping itu, MKB akan menjadi salah satu medium utama bagi memastikan agenda ukhuwah ini tercapai dengan menekankan aktiviti luar kuliah seperti riadah, explorace, jamuan, ziarah dan lain-lain.

 

  1. KEBAJIKAN

Islam sangat menitikberatkan kebajikan umat Islam, yang mana Islam menggesa umatnya untuk mengambil berat antara satu sama yang lain, berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah”.
(Riwayat at-Tabarani)

 

Aspek kebajikan menjadi asas utama dalam pergerakan PCZ. Baik dari sudut aplikasi program-program, mahupun perancangan gerak kerja biro-biro dan unit, kesemuanya tidak lain tidak bukan meletakkan kebajikan ahli sebagai keutamaan tanpa mengira latar belakang ahli.

Pada sesi kali ini, setiap biro dibawah PCZ akan memainkan peranan penting dalam apa jua medium yang ada bagi memastikan kebajikan mahasiswa akan terus terjamin. Melalui pemerkasaan Tabung kasih Sayang, setiap ahli yang ditimpa musibah akan diberikan perhatian. Pembawaan kebajikan ini turut dijayakan oleh ahli apabila ruang untuk menyumbang kepada sesama ahli yang ditimpa musibah dapat dilaksanakan melalui medium TKS ini.

Selain dengan itu, kebajikan ahli bukan sahaja dititkberatkan apabila dilanda musibah sahaja, tetapi kebajikan para penggerak PCZ turut diketengahkan melalui Dana Khas Penggerak PCZ yang telah disediakan dan akan diteruskan pada sesi kali ini. Antara objektif kewujudan dana ini ialah untuk meringankan beban para penggerak dalam melaksanakan gerak kerja persatuan.

Saya juga ingin mengajak sahabat sidang perwakilan untuk sama-sama kita sedar bahawasanya hidup berkebajikan adalah tanggungjawab dan kewajipan kita bersama. Hal ini selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud,

“Berlumba-lumbalah kamu dalam bekerja membuat kebaikan”.
(
Al-Baqarah : 148)

Semoga hidup kita dalam komuniti yang semakin kecil ini, diberkati dengan adanya asas muafakat.

 

Sahabata-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

 

PERUBATAN UNTUK SEMUA

Dasar PERUBATAN adalah Islam. PERUBATAN bukan sahaja persatuan kebajikan ahli dari sudut material duniawi tapi juga dari sudut ukhrawi. Oleh yang demikian, perlulah kita faham apabila kita bekerja dengan PERUBATAN, kita bekerja untuk agama Islam. PERUBATAN bukanlah milik pimpinan semata-semata, PERUBATAN adalah untuk semua.

وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
(at-Taubah ayat 105)

 

Sebelum saya akhiri ucapan dasar ini, saya ingin mengingatkan kembali kalian untuk :

  1. Jagalah solat. Utamakannya dalam setiap urusan dan solatlah di awal waktu.
  2. Lazimilah bacaan al-Quran, jangan ditinggalkan walaupun sehari.
  3. Istiqamah dalam menuntut ilmu.
  4. Carilah kemanisan dalam hidup bermasyarakat dalam wasilah PERUBATAN.

 

Siruu ala barakatillah

 

Assalamualaikum WBT.

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

 

peng

 

 

 

 

 

 

Mohamad Firdaus bin Rasdi
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2018/2019.

Tinggalkan komen anda