Home > Menu > Kenyataan Rasmi > [KENYATAAN RASMI : JAWATANKUASA PILIHANRAYA CAWANGAN 2017/2018]

[KENYATAAN RASMI : JAWATANKUASA PILIHANRAYA CAWANGAN 2017/2018]

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat Baginda. Rasa syukur juga dipanjatkan atas nikmat iman dan Islam yang dimiliki hari ini.

Kepimpinan adalah salah satu aspek yang dianggap sangat penting dalam Islam. Hal ini boleh dilihat dari ayat dan hadis Nabi SAW yang membahas tentang ini. Proses pemilihan kepimpinan sangatlah dititik beratkan dalam Islam agar kepimpinan itu dapat menjaga ahlinya dari segi kebajikan dan juga agama mereka.

 “Jika ada tiga orang bepergian, hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah).

 

Seperti yang telah dimaklumkan, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN Kali ke-13 bertarikh 17 Mac 2017 yang lalu, satu usul berkenaan kaedah pemilihan PERUBATAN telah diutarakan. Usul ini dijadikan cadangan dan seterusnya dikaji serta dibincangkan di peringkat Lembaga Penasihat PERUBATAN. Hasil penelitian dan perbincangan, Lembaga Penasihat PERUBATAN Sesi 2017/2018 telah memilih kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan kaedah pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan bagi PERUBATAN Cawangan Zagazig adalah melalui proses pilihan raya.

Perlembagaan PERUBATAN telah menyatakan pada fasal 27, perkara 1.

 

Jawatankuasa Khas untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang selepas ini disebut sebagai Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

 

Sehubungan dengan itu, Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) sesi 2017/2018 telah bermesyuarat dan bersetuju untuk melantik Zukhruful Amzar Bin Jamnul Azhar sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Zagazig dan Farah Afiqah binti Azmi sebagai Timbalan Pengarah JPC.

Sesuai dengan jumlah ahli yang semakin sedikit, Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Zagazig telah membuat permohonan pengurangan kerusi AJKT kepada Lembaga Penasihat PERUBATAN. Justeru, hasil penilaian yang dilakukan bagi tujuan penyelarasan dan tumpuan gerak kerja, beberapa jawatan telah dirangkapkan sebagaimana yang dicadangkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN dan telah mendapat kelulusan Presiden PERUBATAN sesi 2017/2018.

Oleh itu, jumlah AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2018/2019 dikurangkan seramai 2 orang lelaki dan 2 orang wanita menjadikan jumlah keseluruhan AJKT sesi 2018/2019 adalah seramai 14 orang (1 orang Pengerusi, 1 orang Timbalan Pengerusi, 6 orang AJKT lelaki dan 6 orang AJKT wanita).

Semoga kepimpinan PERUBATAN sesi akan datang akan terdiri daripada kalangan yang bertakwa dan berkaliber. Semoga ahli PERUBATAN juga dapat menjalankan amanah sebaiknya dalam menjayakan pilihan raya ini.

PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam melahirkan profesional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten, sentiasa berusaha membentuk generasi yang matang dan kritis dalam mendepani masa depan ‘PERUBATAN Kelas Pertama’.

 

 “AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”

“ILMUWAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI”

 

Sekian, terima kasih.

22835630_1646963385326047_747443516_n

 

 

 

 

 

Shukri Muslim Maulana Bin Mahamad Anuar,

Ketua Lembaga Penasihat,
PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2017/2018.

Tinggalkan komen anda