Home > Menu > Kenyataan Rasmi > [Kenyataan Rasmi: Pemilihan Majlis Ketua Batch bagi Kuliah Perubatan Pra-Klinikal, Tahun 4 dan Kuliah Farmasi]

[Kenyataan Rasmi: Pemilihan Majlis Ketua Batch bagi Kuliah Perubatan Pra-Klinikal, Tahun 4 dan Kuliah Farmasi]

 

 بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan, kita masih lagi dapat meneruskan pengembaraan di atas muka bumi ini seterusnya menjadi khalifah untuk mentadbir segala bentuk urusan dunia yang penuh dengan ujian dan cabaran. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana atas usaha gigih baginda dalam menyampaikan risalah dakwah Islam, maka kita semua dapat merasai nikmat iman dan Islam hingga hari ini.

 

Sejarah Penubuhan Majlis Ketua Batch (MKB)

PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) pada sesi ini telah melebihi separuh dekad umurnya. Ia merupakan suatu entiti yang menyatukan seluruh mahasiswa jurusan Perubatan dan Farmasi di Universiti Zagazig di samping meneruskan dasar utama PERUBATAN iaitu menjaga kebajikan ahli.

PCZ sentiasa berusaha menyediakan medium pemudah cara terbaik untuk menyampaikan kebajikan kepada ahli di samping mengukuhkan kesatuan dan ukhuwah dalam kalangan ahli. Justeru, bagi menjayakan usaha murni tersebut PCZ pada sesi 2015/2016 telah sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Ketua Batch (MKB) di bawah kelolaan Naib Pengerusi PCZ yang dianggotai oleh 2 orang perwakilan daripada setiap batch.

 

Idea asal penubuhan ini telah diutarakan kepada PCZ sesi 2012/2013 dan berjaya dilaksanakan dengan menggunakan nama Batch Panelist Council (BPC). Namun, atas beberapa permasalahan yang timbul pada pelaksanaan sesi seterusnya telah menyebabkan BPC terpaksa dibekukan buat sementara untuk pengkajian dan penambahbaikan semula. Setelah itu, idea ini sekali lagi dibangkitkan pada Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) 2013/2014 dan akhirnya pada sesi kali ini idea ini akan diteruskan kembali dengan penjenamaan semula sebagai Majlis Ketua Batch (MKB).

 

Objektif Penubuhan Majlis Ketua Batch (MKB) Antara objektif penting penubuhan Majlis Ketua Batch (MKB) adalah :

  1. Menjadi salah satu medium bagi pimpinan PCZ untuk mengetahui pandangan dan permasalahan ahli dengan lebih sistematik dan seterusnya menyalurkan bantuan dan tindakan dengan lebih efisien.
  2. Memudahkan PCZ menyalurkan maklumat kepada semua ahli dengan lebih sistematik dan menyeluruh.
  3. Mengukuhkan ukhuwah dan kesatuan antara ahli dengan pelaksanaan program/aktiviti di peringkat batch.

 

Firman Allah SWT :

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan…” (al-Maidah : 2)

 

Sistem Pemilihan

Justeru, pada sesi kali ini, PERUBATAN Cawangan Zagazig akan meneruskan lagi pemilihan Majlis ketua Batch (MKB) bagi kuliah Perubatan dan juga Farmasi di Universiti Zagazig.

Pada sesi kali ini, Majlis Ketua Batch (MKB) akan dianggotai oleh seorang Ketua dan seorang Timbalan Ketua daripada batch :

Perubatan Pra-Klinikal (Tahun 1,2 & 3)

Perubatan Tahun 4

Perubatan Tahun 5

Perubatan Tahun 6

Farmasi (Keseluruhan ahli)

 

Bagi ketiga-tiga kuliah tersebut (Pra-klinikal, Tahun 4 Perubatan dan batch Farmasi), sistem pemilihan yang telah diputuskan di peringkat Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Zagazig adalah Sistem Pencalonan Tertinggi. Sistem ini telah pun diguna pakai sewaktu pemilihan MKB yang lepas. Melalui sistem ini, pencalonan nama yang tertinggi akan dikira menang dan seterusnya dilantik sebagai Ketua dan Timbalan Ketua (MKB) bagi batch berkenaan. Fasa promosi dan kempen calon akan bermula pada hari ini, sehinggalah kepada hari pengundian yang telah dijadualkan berlangsung pada 6 Nov 2017.

 

Seruan kepada Ahli

Tugas melantik pimpinan merupakan tanggungjawab bersama. Justeru, pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig khususnya pelajar bagi kuliah perubatan Pra-Klinikal, Tahun 4 serta kuliah Farmasi untuk turut serta dan sama-sama melibatkan diri sepanjang berlangsungnya proses pemilihan Majlis Ketua Batch (MKB) bagi sesi ini.

Berkata Imam Ibnu Taimiyah RA, “Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajiban agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”

 

Sekian.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

“PCZ- One Big Family”

 

“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berintegriti”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

afzan1_preview (1)

 

 

 

 

 

 

 

 

Muhammad Afzan bin Zakariah

Naib Pengerusi I,

PERUBATAN Cawangan Zagazig

 

 

23163754_1650950128260706_1818109848_n (2)

 

 

 

 

 

Liyana binti Rosli

Naib Pengerusi II,

PERUBATAN Cawangan Zagazig

Tinggalkan komen anda