Home > Menu > Karya > Artikel > [Artikel : Bakal Mekanik Manusia Dari Bumi Kuda Putih]

[Artikel : Bakal Mekanik Manusia Dari Bumi Kuda Putih]

 

WhatsApp Image 2017-05-18 at 16.50.03

Krekkk…pintu almari dikuak luas. Baju-baju kurung yang tersimpan rapi dibelek-belek.Bukan itu yang dicari.Sepasang mata sepet itu terus liar mencari. “Ha, ada pun”, kata aku ringkas. Kot hitam berbalut plastik putih itu dikeluarkan daripada almari. Kot hitam peninggalan arwah mama 15 tahun lalu itu berlegar-legar dalam ruang minda untuk dibawa ke bumi Nabi Musa nanti sepanjang berkelana menuntut ilmu Tuhan. Biarpun arwah mama tidak sempat melihat diriku berjaya hingga ke tahap ini tetapi aku mahu dia tahu aku akan sentiasa membawa bersama semangat dia dalam diri aku ini demi mencapai cita-cita menjadi seorang mekanik iaitu “Mekanik Manusia”.

Menghitung detik-detik yang telah berlalu, aku seakan bermimpi bahawa aku telah sampai ke tahap ini. Tempoh lima tahun setengah yang dilalui dirasakan berlalu begitu pantas. Kata orang, pabila pergi merantau ke Negara orang, hati kena kuat untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Jauh dari keluarga tempat untuk mengadu dan yang ada cuma sahabat-sahabat seperjuangan untuk saling menguatkan antara satu sama lain. Antara waktu yang paling mencabar bagi setiap yang bergelar pelajar pastinya ketika tibanya musim peperiksaan akhir tahun. Kalau tidak kuat, hari-hari boleh bertukar menjadi drama air mata gamaknya.

Aku masih ingat lagi, ketika tiba musim peperiksaan di tahun 2 subjek Histology, aku diserang sakit Gastroenteritis. Maklum sahaja bila menghadapi peperiksaan pada musim panas di bumi barakah ini, kita lebih senang untuk terkena penyakit-penyakit tersebut. Demam panas menjadi kawan baik dan tandas pula seakan menjadi bilik kedua selepas bilik tidur menjadikan masa yang ada untuk mengulangkaji pelajaran sedikit terjejas. Hampir sahaja berputus asa di saat akhir tetapi mujur ada kakak-kakak senior yang sudi melawat dan memberi kata-kata semangat. Bangkit kembali untuk masa berbaki dan Alhamdulillah Berjaya untuk meneruskan pengajian di tahun tiga. Kalau ditanya apa yang paling penting ketika musim peperiksaan,salah satunya adalah kesihatan. Kesihatan dan masa yang berkat itu umpama emas yang tidak mampu untuk diganti semula.

“Ah, tak ingat la isi topik ini,susah betul nak hafal.” Monolog yang sering terkeluar dari mulut saat diserang kebuntuan memikirkan kesukaran untuk mengingati sesuatu topik yang diulang kaji. Perasaan panik pula menerjah saat dikira masa yang berbaki semakin singkat. Aku juga salah seorang contoh pelajar begitu. Tidak mahu terus bergelumang dengan masalah yang sama aku mengambil inisiatif untuk menyusun jadual pengulangan bacaan untuk setiap subjek. Bacaan kali pertama untuk pemahaman manakala bacaan seterusnya untuk hafalan. Seingat aku, pada tahun Satu aku mencuba teknik ini untuk kali pertama sehingga aku mengulang bacaan sebanyak lima kali bagi setiap subjek. Ternyata, teknik tersebut berkesan yang dibuktikan daripada keputusan peperiksaan tahun tersebut iaitu pangkat keseluruhan ialah Jayyid Jiddan dan bagi subjek Biochemistry pula mendapat pangkat Mumtaz. Pengulangan itu adalah kunci utama bagi mereka yang sukar untuk menghafal.

“Musim peperiksaan akan menjadikan anda salah satu dari dua golongan manusia; satu golongan yang semakin dekat dengan Allah dan satu lagi golongan yang semakin jauh dengan Allah”. Kuot yang sering diulang-ulang pabila menjelang musim peperiksaan. Aku juga berasa bimbang kalau-kalau aku tergolong dalam kalangan mereka yang semakin jauh dengan Allah apabila tiba musim peperiksaan. Lihat sahaja reaksi kita jika azan telah berkumandang. Adakah kita terus bersegera untuk solat atau melewat-lewatkan solat semata-mata ingin menghabiskan target ulangkaji pelajaran kita? Tepuk dada, tanyalah iman. Belum lagi disebut tentang sesetengah daripada kita yang mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam tetapi keesokannya terlepas waktu Subuh. Alangkah ruginya kita apabila telah berusaha bersungguh-sungguh untuk urusan dunia namun urusan akhirat secara tidak langsung telah terabai. Sedangkan Allah adalah penentu segala-galanya, kejayaan bukan di atas usaha kita. Aku sering mengingatkan diri sendiri, kalau kita menjaga hak Allah, maka Allah pasti akan menjaga segala urusan kita. Kalau pertemuan denganNya di dalam solat sahaja sudah dilewat-lewatkan, maka jangan menaruh harapan tinggi untuk doa kita dimakbulkan sepantas kilat.

Pernah terfikir atau tidak bahawa setiap perbuatan kita akan memberi kesan baik mahupun buruk kepada masyarakat sekeliling? Atau pernah terfikir atau tidak setiap kesan yang kita berikan mungkin sahaja menjadi asbab kepada kejayaan atau kegagalan kita dalam peperiksaan? Oleh yang demikian, senior-senior terdahulu sering memberikan kuot yang berbunyi “Hablu MinnAllah wa Hablu Minnannas” yang bermaksud sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan manusia. Ada yang cemerlang pada satu aspek tetapi pada aspek yang lain dia telah gagal. Bagi seorang muslim yang baik kita seharusnya berusaha untuk membuat yang terbaik dalam kedua-dua aspek tersebut. Setelah kita mampu membuat yang terbaik dalam dua aspek tersebut maka konsep tawakkal kepada Allah itu mampu kita yakini dengan sebenar-benarnya InsyaAllah.

Menghitung bulan-bulan yang berbaki untuk menamatkan perjalanan kembara menuntut ilmu di bumi Nabi Musa ini pastinya terselit seribu satu pengalaman suka dan duka. Semua ini mana mungkin mampu dilalui tanpa rahmat dan pertolongan daripada Allah SWT, keluarga yang tidak putus-putus menyokong, mengirimkan doa dan bersusah payah mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan di sini serta sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi harapan di kala perasaan putus asa mengunjungi diri ini. Sesungguhnya jika dihitung pasti tidak akan mampu untuk aku balas dengan balasan yang setimpal. Maka apa yang termampu aku lakukan ialah kiriman doa. Doa agar kehidupan mereka sentiasa berada dibawah lembaran rahmat Allah SWT dan buat sahabat seperjuangan, semoga kita bergraduasi bersama-sama dan seterusnya menjadi doktor atau terma baru yang dipanggil mekanik manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat Insya-Allah.

 

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. “
(Surah Ali Imran 3 : 159)

 

Oleh : Mekanik Manusia

 

 

Tinggalkan komen anda