Home > Menu > Kenyataan Rasmi > [ Kenyataan Rasmi: Perlantikan Semula Pengarah JPC]

[ Kenyataan Rasmi: Perlantikan Semula Pengarah JPC]

 logo baru

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Berkata Imam Ibnu Taimiyah Rahimullahu Ta’ala di dalam kitab Siyasah Syar’iyyah,

“Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajiban agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”

Pilihan raya merupakan salah satu proses untuk memilih kepimpinan dalam PERUBATAN. Bulan November sehingga Februari yang lalu sudah menyaksikan proses pemilihan kepimpinan, di peringkat Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan 2017/2018 dan juga Majlis Tertinggi PERUBATAN 2017/2018. Atas beberapa keadaan yang berlaku, setelah selesai tempoh JPC 2016, PERUBATAN Cawangan Zagazig telah menyaksikan kekosongan beberapa jawatan/portfolio di peringkat Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan lelaki.

Berkenaan dengan kekosongan jawatan di peringkat Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan pula, pada Fasal 28, Perkara 3, Ceraian (b) telah dinyatakan bahawa:

“Jika terdapat Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang meninggal dunia atau meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan atau tidak dapat bertugas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kekosongan tersebut perlu dipangku oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) lain untuk satu tempoh tertentu dan kemudiannya ditentukan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) berdasarkan etika.”

Justeru, perlembagaan PERUBATAN telah menyatakan pada Fasal 27, Perkara 1, Ceraian (a):

“Jawatankuasa Khas untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang selepas ini disebut sebagai Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Selain itu, pada Fasal 20, Perkara 5, Ceraian (c) dan (d), Tugas Lembaga Penasihat PERUBATAN adalah:

“Melantik Jawatankuasa Pemilihan PERUBATAN (JPP) untuk pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN.”

“Menentukan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Maka selepas berlakunya perbincangan antara Lembaga Penasihat PERUBATAN dan Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan, ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Zagazig 2017/2018 telah pun bersetuju untuk melantik Zukhruful Amzar bin Jamnul Azhar sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan(JPC) bagi menyelia proses Pilihan Raya Kecil di peringkat PERUBATAN Cawangan Zagazig.

Semoga kepimpinan PERUBATAN Cawangan Zagazig yang bakal terpilih akan terdiri daripada kalangan yang bertakwa dan berkaliber. Semoga ahli PERUBATAN juga dapat menjalankan amanah sebaiknya dalam menjayakan pilihan raya ini.

Sekian terima kasih, Siiru ‘Ala Barakatillah.

” PCZ – ONE BIG FAMILY”
“AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”
‘ILMUWAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI’

Sekian, yang menjalankan amanah.

shukri-muslim-maulana-bin-mahamad-anuar

Shukri Muslim Maulana Bin Mahamad Anuar,
Ketua Lembaga Penasihat,
PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2017/2018.

Tinggalkan komen anda