Home > Menu > Kenyataan Rasmi > [Kenyataan Rasmi: Isu Kenaikan Yuran]

[Kenyataan Rasmi: Isu Kenaikan Yuran]

Bismillahirrahmaniirahim.

Segala puji kepada Allah Tuhan sekalian alam yang masih memberikan kepada kita dengan berbagai nikmat.
Selawat dan salam kepada junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al Baqarah ayat 153 :
“Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah SWT bersama orang-orang yang sabar”.

Kita sebagai hamba Allah SWT mestilah yakin bahawa segala yang berlaku ini adalah dalam ketentuan Allah SWT. Hanya Allah Yang Maha Kuasa sebagai penolong dan tempat kita meminta tika senang mahupun susah.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan tindakan pentadbiran Universiti Zagazig yang menaikkan jumlah yuran daripada USD 42 000 ke USD 48 000 untuk keseluruhan yuran pengajian. Tindakan ini melibatkan semua mahasiswa jurusan Perubatan Universiti Zagazig termasuk lepasan graduan. Bagi lepasan graduan, mereka perlu membayar tambahan sebanyak USD 6 000 manakala mahasiswa yang masih menuntut di Universiti Zagazig sebanyak USD 9200 setiap tahun untuk menjadikan jumlah keseluruhan yuran sebanyak USD 48 000.

Pada sekitar tahun 2006, kerajaan Malaysia dan Mesir telah menandatangani perjanjian Memorandum of Understanding (MoU). Antara isi perjanjiannya ialah yuran yang perlu dibayar bagi pengajian Jurusan Perubatan ialah berjumlah sebanyak USD 48 000 (setahun: USD 8 000). Namun, situasi di Universiti Zagazig adalah sedikit berbeza kerana terdapat perjanjian lain antara pihak universiti dan pihak agensi yang menghantar pelajar Malaysia ke Universiti Zagazig. Perjanjian ini telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dimana isi persetujuannya ialah pengurangan nilai yuran dari USD 48 000 ke USD 42 000. Hal ini membawa maksud bahawa yuran kemasukan ke universiti Zagazig pada tahun 1 adalah sebanyak USD 2 000 berbanding USD 8 000 dalam erti kata lain , yuran universiti Zagazig antara yang termurah.

Walaubagaimanapun, mutakhir ini, pihak universiti telah mengambil langkah dengan menaikkan jumlah yuran seiring dengan keputusan MoU. Hal ini menyebabkan mahasiswa Perubatan Universiti Zagazig akan dibebankan dari sudut kewangan dengan suasana ekonomi yang tidak stabil pada masa kini. Kami memandang serius hal ini kerana ia melibatkan kebajikan ahli dan merasakan pihak terlibat melakukan keputusan yang tergesa-gesa tanpa mengambil faktor-faktor secara holistik dan terperinci.

Justeru itu, bagi mengatasi isu kenaikkan yuran ini, graduan dengan kerjasama PERUBATAN Cawangan Zagazig telah mengumpulkan maklumat dari pelbagai pihak untuk dijadikan sebagai bahan rujukan dan bukti. Pihak kami telah bertemu dan menyampaikan perkara ini kepada pihak Education Malaysian Egypt (EME) untuk di bawa perbincangan bersama Pihak Universiti. Pihak EME akan berbincang dan memaklumkan sebarang tindakan susulan bagi sama-sama menyelesaikan perkara ini.

Kami juga membuka ruang kepada semua pihak yang ingin membantu dengan seluasnya untuk turut serta dalam memberi bantuan dari segenap aspek bagi menyelesaikan isu ini.

Akhir kalam, beberapa saranan dinasihatkan kepada semua ahli untuk sama-sama dipatuhi demi kebaikan semua pihak:

1) Melaksanakan solat hajat dan memperbanyakkan doa agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik.
2) Dinasihatkan kepada semua ahli untuk menangguhkan dahulu hasrat menyelesaikan hutang ini sehingga mendapat keputusan yang muktamad kelak.
3) Isu ini masih lagi dalam perbincangan bersama pihak berwajib dan tiada keputusan muktamad telah dipersetujui. Sehubungan dengan itu, diminta kepada semua ahli untuk bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru.

Sebarang pertanyaan dan cadangan boleh hubungi :

 

pidi

Mohamad Firdaus bin Rasdi
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2017/2018
+201157354105
pengerusi.pcz@gmail.com

 

farah

Farah Adibah binti Fakhrul Razi
Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2017/2018
+201156652811
pengerusi.pcz@gmail.com

“PCZ-One Big Family”

Ilmuwan Berbakti Teguh Sehati,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2017/2018.

Tinggalkan komen anda