Home > Menu > Karya > Artikel > [Artikel: Pena Ramadan|Siswi Bersolat Tarawih di Masjid]

[Artikel: Pena Ramadan|Siswi Bersolat Tarawih di Masjid]

Siswi bersolat tarawih di masjid, penerangan mengenai mushrif dan beberapa perkara lain yang perlu anda tahu.

Siswi bersolat tarawih di masjid

Situasi siswi bersolat tarawih di masjid sebenarnya berkait dengan beberapa perkara asas. Antaranya, adakah siswi dibenarkan untuk keluar malam? Jika ya, apakah syarat-syaratnya? Sebenarnya, amalan manakah yang lebih, antara solat tarawih berjemaah di masjid atau solat tarawih di rumah?

Sebenarnya, sudah ada perbahasan yang panjang dan lanjut mengenai situasi sama ada wanita boleh keluar rumah. Mengikut hukum asal, wanita tidak dibenarkan[1] untuk meninggalkan kediamannya tanpa diiringi oleh mahramnya (sama ada bapa, datuk, adik beradik lelaki, atau saudara lelaki yang diharamkan baginya berkahwin). 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan bahawa wanita diharuskan untuk keluar dari rumah atas sebab-sebab tertentu

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan bahawa wanita diharuskan untuk keluar dari rumah atas sebab-sebab tertentu seperti keluar berperang atau berlakunya keadaan-keadaan darurat seperti kebakaran, diancam bunuh di rumah dan sebagainya, ataupun sebab-sebab yang lain seperti menuntut ilmu dan mencari rezeki (tugas asal mencari rezeki sebenarnya dipundakkan ke atas bahu suami, dan sebagainya)[2]. Itupun perlu mendapat keizinan daripada mahramnya.

Dalam konteks siswi Malaysia di Mesir, umum mengetahui bahawa bulan Ramadan hanya satu-satunya waktu di mana wanita diberi peluang untuk mengunjungi dan berkumpul di masjid beramai-ramai. Jika tidak di markas dan masjid, tempat mana lagi yang ada untuk menjadi perkumpulan beramai-ramai. Dipendekkan ceritanya, mungkin hadirnya siswi ke masjid termasuk dalam kategori menunaikan ibadah sunat secara berjemaah di masjid pada bulan yang mulia.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW,

“Aku sudah tahu bahwa kamu suka solat bersamaku, sedangkan solatmu di rumahmu itu lebih baik dari solatmu di serambimu, dan solatmu di serambimu lebih baik dari solat solatmu di balai rumahmu, solatmu di balai rumahmu lebih baik dari solatmu di masjid kampungmu, dan solatmu di masjid kampungmu lebih baik dari solatmu di masjidku.” [Diriwayatkan oleh Ahmad 6/371, Ibnu Khuzaimah no. 1689, Ibnu Hibbaan no. 2217, Ibnu ‘Abdil-Barr dalam Al-Isti’aab 4/446, dan yang lainnya; dihasankan oleh Al-Arna’uth dalam Takhrij-nya atas Al-Musnad, 45/37, Muassasah Ar-Risaalah, Cet. 1/1421].

Dalam hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa terdapat saranan daripada Rasulullah SAW mengenai keutamaan wanita untuk solat di rumah sendiri berbanding di masjid. Di rumah, anda (siswi) boleh bersolat secara berjemaah atau berseorangan.

images

Mungkin masih lagi ada yang mengatakan bahawa saranan Rasulullah SAW ini sebagai satu galakan sahaja, dan bukannya sebagai satu kewajipan.

Baik, perkara kedua yang perlu anda tahu sekiranya anda masih lagi ingin bersolat tarawih di masjid.

Adakah anda menjaga adab-adab semasa di masjid, sebelum datang ke masjid dan selepas pulang dari masjid?

Adakah anda menutup aurat dengan sempurna? Tidak memakai telekung yang jarang, mengikut bentuk badan, memakai bau-bauan yang berlebihan? Adakah anda menjaga tutur kata yang baik sepanjang perjalanan pergi dan balik dari masjid dan sepanjang anda berada di dalamnya?

Jika ya, tahniah!

Cuma, adakah anda memenuhi perkara yang ketiga ini?

Adakah anda menggunakan mushrif sepanjang perjalanan ke pergi dan pulang dari masjid?

Sebenarnya, dalam keadaan yang membahayakan, wanita langsung tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah. Bertepatan dengan keadaan di Mesir yang tahap keselamatannya tidak menentu, sungguh besar risikonya apabila anda keluar malam tanpa mushrif.

Betul, sifat tawakkal itu perlu ada dalam jiwa seorang Muslim. Akan tetapi, biarlah ianya berpada-pada dan kena pada tempatnya. Jika ‘tawakkal’ itu sehingga menggadaikan nyawa dan keselamatan anda, itu bukanlah seperti yang dianjurkan oleh agama.

Mushrif bulan Ramadan

Sepanjang menjadi mushrif (ketika masih bergelar bujang), tempoh inilah merupakan tempoh yang paling memenatkan. Mana tidaknya, perlu bersiap sekurang-kurangnya 30 minit sebelum masuknya waktu Isyak. Bayangkan, dalam tempoh masa dari waktu Maghrib dan Isyak, anda perlu untuk solat Maghrib, berbuka puasa, bersiap diri, bersedia dengan telefon bimbit bagi menjawab sebarang panggilan mushrif dan terus bergegas ke tempat yang dijanjikan.

Siswa sekalian, anda perlu sedar.

Anda sebenarnya sedang memikul tanggungjawab yang besar. Amat besar sekali amanah dan tanggungjawab seorang wali  kepada tanggungannya (khususnya anak perempuan), lebih-lebih lagi jika anak perempuan mereka tinggal berjauhan di luar negara.

Urusan mushrif bukannya perkara main-main. Setiap kali anda menolak permohonan atau panggilan siswi yang merintih memerlukan bantuan anda, anda sebenarnya sedang merumitkan keadaan.

Jika anda betul-betul tidak ada kesempatan untuk menjadi mushrif, sila jelaskan perkara sebenar dan cadangkan nama sahabat anda yang lain yang layak untuk menjadi mushrif. Jika anda benar-benar tidak menggalakkan siswi tersebut untuk bersolat di masjid, maka berilah penerangan yang baik. Jangan biarkan diri anda dan siswi tersebut berada dalam keadaan berprasangka.

Potongan ayat al-Quran, dalam surah al-Hujurat ayat ke-12 ada menyebut, “Wahai orang-orang yang beriman ! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain..”

Cadangan yang terbaik dalam Ramadan yang berbaki (dan Ramadan yang akan datang)?

Dalam kaedah fiqh ada menyebut,

“Menolak kemudaratan adalah lebih baik daripada mengambil manfaat”.

Setelah kita timbang tara, siswi bersolat tarawih di masjid sebenarnya boleh membawa seribu macam kemudaratan, baik yang disedari mahupun tidak. Mudarat tersebut boleh berlaku dalam sekecil-kecil keadaan, sebesar-besar perkara, namun ia tidak dapat dikesan dek larut dan ghaib daripada lensa mata kasar dan sikap lalai dan alpa.

Kenapa mahu mengambil risiko lagi? Bukankah di kediaman anda, anda sebenarnya dalam keadaan yang lebih bebas?

Ya, tidak salah untuk siswi solat di masjid. Namun, mudaratnya lebih besar berbanding bersolat tarawih di rumah.

Ambillah sikap berhati-hati. Usahlah diutamakan perkara sunat andainya perkara yang lebih wajib (menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta) menjadi taruhan.

Mudah-mudahan dengan bersolat tarawih di rumah, lebih banyak memberikan manfaat, baik kepada diri sendiri secara khusus dan juga kepada komuniti Malaysia di Mesir amnya.

Rujukan:

[1] Rujuk http://abul-jauzaa.blogspot.com.eg/2011/06/hukum-wanita-menetap-di-rumah.html

[2] Rujuk https://fadhlihsan.wordpress.com/2013/02/12/keadaan-keadaan-dibolehkannya-wanita-keluar-rumah-tanpa-izin-suamiwali/

Artikel oleh:

Mohamad Aisar bin Ahmad,
Tahun 5 Kuliah Farmasi

Tinggalkan komen anda