Home > Menu > Karya > Artikel > Puasa dalam Agama, dan Falsafah Disebaliknya.

Puasa dalam Agama, dan Falsafah Disebaliknya.

                                                                                                                                                                                                            

Puasa dalam Agama, dan Falsafah Disebaliknya.

The philosophy of fasting calls upon us to know ourselves, to master ourselves, and to discipline ourselves the better to free ourselves. To fast is to identify our dependencies, and free ourselves from them.

Falsafah puasa adalah untuk menyeru kita mengenali diri kita, untuk menguasai diri kita, dan untuk mendisiplinkan diri lebih baik untuk membebaskan diri kita sendiri. Berpuasa adalah untuk mengenal pasti kebergantungan kita, dan membebaskan diri kita daripadanya.

Tariq Ramadan.

*

    Berpuasa dalam bulan Ramadan adalah merupakan salah satu daripada intipati Rukun Islam, yang menjadi pegangan asas kepada penganut agama Islam. Puasa secara bahasanya dapat diertikan sebagai menahan diri daripada sesuatu. Adapun secara istilah syariatnya, puasa dapat diertikan sebagai menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari disertakan niat.

    Berpuasa dalam bulan Ramadan adalah merupakan satu kewajipan kepada orang Islam seperti yang digagaskan kepentingannya dalam Rukun Islam. Kewajipan ini adalah berdasarkan kepada dalil Al- Quran, ayat 183 Surah Al- Baqarah, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “

*

    Amalan berpuasa bukanlah satu ritual khusus yang hanya terdapat dalam agama Islam sahaja. Jika diselusuri kembali sejarah masa lalu, amalan berpuasa telah pun menjadi ritual lazim kepada masyarakat terdahulu di zaman Cina kuno dan Romawi. Menginjak peralihan masa, amalan berpuasa ini telah pun menjadi satu amalan yang turut dipraktikan oleh agama-agama lain seperti Yahudi, Kristian, Hindu & Buddha sehinggalah ke hari ini.

    Secara konseptualnya, puasa difahami sebagai satu tindakan menahan diri daripada sesuatu. Berpuasa dianggap sebagai satu amalan penyucian jiwa dan juga kepatuhan kepada Tuhan. Akan tetapi terdapat perbezaan daripada segi cara pelaksanaan dan juga masa yang dikehendaki untuk berpuasa itu. Perbezaan inilah yang membezakan amalan berpuasa antara satu agama dengan agama-agama yang lain.

ramadan_iftar_01Sumber foto: Google.com

    Seperti orang Islam yang diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan, orang Yahudi juga diwajibkan berpuasa pada hari tertentu. Orang Yahudi diwajibkan berpuasa pada hari Yom Kippur yang juga dikenali sebagai Hari Pendamaian pada hari kesepuluh bulan Tishrei dalam kalendar Yahudi.  Mengikut kepercayaan agama Yahudi, berpuasa pada hari Yom Kippur adalah perlu sebagai simbolik kepada pembersihan dosa mereka. Pada hari ini, orang Yahudi akan berpuasa selama 25 jam lamanya bermula daripada terbenam matahari sehinggalah terbenam matahari keesokannya. Sepanjang tempoh ini, orang Yahudi dilarang daripada makan, minum, bekerja, bersetubuh, memakai wangian dan lain-lain. Orang Yahudi juga berpuasa pada hari Tisha B’Av, hari kesembilan bulan Ab. Ianya dilakukan bagi meratapi kehancuran Bait Suci Yahudi di Jerusalem dan juga bencana-bencana yang menimpa orang Yahudi.

    Amalan berpuasa dalam agama Kristian adalah berbeza mengikut mazhab. Mazhab Protestan tidak mewajibkan penganutnya untuk berpuasa. Akan tetapi, penganutnya digalakkan untuk berpuasa atas kapasiti individu sendiri dan pelaksanaannya adalah mengikut cita rasa masing-masing. Mereka yang berpuasa boleh memilih sendiri cara mereka berpuasa sama ada hanya minum sahaja ataupun memakan sayur sahaja dan lain-lain. Tiada tempoh khusus yang diletakkan kerana ianya merupakan pilihan individu untuk berpuasa mengikut kemampuannya sendiri. Selain itu, orang yang berpuasa dianjurkan untuk merahsiakan puasanya itu daripada pengetahuan orang lain.

“Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya.Tetapi kalau kalian berpuasa, cucilah mukamu dan sisirlah rambutmu, supaya tak ada yang tahu bahwa kalian berpuasa, kecuali Bapamu yang tidak kelihatan itu saja. Dia melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan akan memberi upah kepadamu.”

(Mathew 6:16)

    Ini berbeza daripada Kristian bermazhab Katolik. Orang Kristian Katolik yang berusia 18 tahun hingga 60 tahun diwajibkan berpuasa pada hari Ash Wednesday dan Good Friday sebelum hari Easter/Pascha. Selain daripada dua hari wajib itu, orang Kristian Katolik juga dianjurkan berpuasa selama 40 hari sebelum hari Easter, namun ianya tidaklah wajib. Selain daripada berpuasa, penganut Kristian Katolik juga dianjurkan untuk melaksanakan amalan berpantang. Amalan berpantang ini dilakukan setiap hari Jumaat sepanjang tahun, kecuali jika hari Jumaat itu bertembung dengan perayaan gereja. Sewaktu melakukan amalan berpantang ini, mereka tidak makan, merokok dan disuruh untuk membanyakkan ibadat dan bertaubat.

    Amalan berpuasa dalam agama Hindu pula disebut sebagai Upawasa. Terdapat beberapa jenis Upawasa iaitu wajib, tidak wajib, hari-hari tertentu dan hal-hal yang tertentu.  Puasa wajib seperti pada hari siwaratri, nyepi, purnama, tilem dan puasa untuk menebus dosa. Puasa siwaratri dilakukan bermula daripada terbitnya matahari terbit sehingga terbenamnya matahari. Sedangkan puasa nyepi, purnama dan tilem dilakukan dari fajar hingga fajar keesokan harinya. Pada hari nyepi, penganut Hindi tidak boleh menyalakan api, tidak bekerja, tidak boleh menonton hiburan dan lain-lain. Puasa tidak wajib pula dilakukan pada hari-hari suci yang lain dan cara pelaksanaannya adalah mengikut pilihan masing-masing. Puasa berkaitan upacara tertentu pula seperti upacara Mediksa dan Mawinten. Sedangkan puasa bagi hal-hal tertentu adalah berdasarkan kepada keinginan individu sendiri sama ada dalam proses meditasi ataupun lain-lain.

    Puasa dalam agama Buddha disebut sebagai Uposatha, dan penganut agama Buddha tidak wajib untuk melaksanakan Uposatha. Uposatha biasanya dilakukan oleh penganut Buddha dua kali dalam sebulan iaitu ketika fasa anak bulan dan fasa bulan purnama. Mereka yang melaksanakan Uposatha perlu menahan lapar (dibenarkan meminum) daripada waktu tengah hari sehinggalah waktu Subuh sebelum terbit matahari keesokan harinya. Selain daripada menahan lapar, mereka juga perlu mematuhi aturan yang telah ditetapkan iaitu tidak membunuh atau melukai makhluk hidup, tidak mencuri, tidak melakukan persetubuhan, tidak berbohong, tidak mengambil makanan & minuman yang memabukkan, tidak makan, tidak bernyanyi, menari dan menonton hiburan, serta tidak berhias dan menghindari daripada tempat tidur yang mewah. Jika salah satu Uposatha-sila ini dilanggar, maka tidak sempurnalah Uposatha yang dilakukan. Selain itu, vegetaris juga merupakan salah satu jenis puasa dalam agama Buddha. Mereka yang melakukan vegetaris tidak akan mengambil makanan yang bernyawa (daging) dan hanya memakan sayur-sayuran sahaja. Ada sebahagian daripada orang Buddha yang turut mengelakkan susu, telur dan bawang dalam amalan berpuasa secara vegetaris ini.

*

    Dalam agama Islam hukum puasa itu terbahagi kepada tiga, iaitu wajib, haram dan sunat. Puasa wajib dilakukan ketika bulan Ramadan, sesudah bernazar, kifarah dan qadha. Manakala, puasa sunat dilakukan pada hari-hari tertentu seperti Hari Arafah, puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa Isnin & Khamis dan lain-lain. Orang Islam dilarang berpuasa pada Hari Syak (30 Syaaban), Hari Tashriq, 1 Syawal dan lain-lain. Tempoh masa berpuasa bagi seorang Muslim adalah dari terbitnya fajar hinggalah terbenamnya matahari. Sepanjang tempoh itu, seorang Muslim dikehendaki untuk meninggalkan perkara yang membatalkan puasa seperti makan & minum dengan sengaja, bersetubuh di siang hari, mengeluarkan mani dengan sengaja, muntah dengan sengajar, keluar darah haid & nifas, gila, mabuk dan pitam sepanjang hari,  murtad dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka secara sengaja.

*

Mengapakah kita perlu berpuasa?

    Sedar atau tidak, mungkin persoalan ini pernah dilontarkan oleh fikiran kita. Diri kita berfikir mengapakah perlu diri kita ini bersusah payah menahan lapar dan dahaga dari pagi sehingga ke petang. Tambahan pula sekiranya cuaca ketika itu panas membahang. Terasa kering sekali tekak menahan dahaga. Tiada upaya untuk kita mengerjakan urusan seharian sebagaimana yang selalu kita lakukan ketika tidak berpuasa. Apakah kebaikan yang mampu diperolehi daripada ritual yang me’yiksa’ badan ini? Jika ianya tidak mendatangkan manfaat, sudah pasti kebanyakan agama yang ada tidak mewajibkan dan menyarankan penganut masing-masing untuk berpuasa. Ternyata bahawa berpuasa itu ada manfaatnya kepada mereka yang melakukannya sama ada daripada segi aspek rohani dan juga kesihatan. Bagi memahami manfaatnya, perlulah difahami falsafah disebaliknya terlebih dahulu.

    Semasa kecil dahulu, ibu bapa kita memaksa kita untuk berpuasa dengan menawarkan ganjaran duit hari raya. Satu hari puasa bersamaan satu ringgit Malaysia. Maka jika penuh sebulan berpuasa, tiga puluh ringgitlah duit raya yang bakal diperolehi. Jadi apakah nilai puasa sebulan itu hanyalah tiga puluh ringgit sahaja? Jika nilaian duit digunakan, sudah pasti jumlah duit yang diberikan itu tidak berbaloi dengan kepenatan berpuasa yang dialami. Menginjak dewasa, penghayatan berpuasa itu sekurang-kurangnya berbeza dengan penghayatan kita semakin kecil dahulu. Tiada lagi ganjaran duit yang diberikan kepada orang dewasa yang berpuasa. Selari dengan perkembangan usia, kita mungkin telah sedar yang berpuasa itu satu tuntutan dalam beragama sebagaimana dituntutnya ke atas kita untuk solat lima waktu. Apabila tiba sahaja bulan Ramadan, tahulah kita perlu berpuasa selama 30 hari dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari bagi mereka yang tiada keuzuran syarie. Jika dahulu, puasa kita didasarkan kepada nilaian ganjaran duit pada hari raya nanti, maka puasa kita dewasa ini seharusnya didasarkan kepada puasa didasarkan kepada rasa kefahaman, ta’abbud dan taqwa kepada Allah SWT. Puasa yang didasarkan kepada ‘will-power’ akan menjadikan ramai yang terkandas di tengah jalan disebabkan tidak memahami makna ibadah puasa mengikut logika Islam yang sebenarnya. Motivasi upah (hatta dalam bentuk duit, ganjaran pahala) dan ‘willpower’ semata tidak mencukupi melainkan taqwa dan iman yang kukuh untuk menjalani ibadah puasa secara konsisten.  Sekiranya kita berjaya berpuasa atas dasar-dasar ini, maka itu adalah merupakan satu bentuk kemenangan yang besar ertinya kepada diri kita. Norma manusia adalah menyukai perkara yang mudah dan tidak menyusahkan dan berpuasa bukanlah satu perkara yang memudahkan. Dengan berpuasalah, kita dapat melatih kemahuan diri kita kepada perkara yang benar daripada segi etika dan peraturannya.

    Sebagaimana konseptual puasa dalam agama-agama lain yang menjadikan puasa sebagai satu bentuk pembersihan dosa dan penyucian jiwa, begitu juga dengan konseptual puasa dalam agama Islam secara asasnya. Ianya tidak seperti agama Yahudi, yang menyuruh penganutnya berpuasa pada hari Yom Kippur sebagai satu bentuk pembersihan dosa. Akan tetapi puasa dalam Islam adalah sebagai satu jalan dalam mengejar ketakwaan. Sebagaimana yang ditulis oleh Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, tingkatan orang yang berpuasa itu ada tiga. Pertama ialah Shaum Al-‘Umum, keduanya ialah Shaum Al-‘Khusus dan yang ketiga ialah Shaum Al- Khawasi Al-Khawas. Kebanyakan daripada kita mungkin tingkatan puasanya ialah Shaum Al-‘Umum iaitu sekadar puasa bagi menahan makan & minum serta nafsu syahwat. Seharusnya kita berusaha untuk mencapai tingkatan yang lebih tinggi sesuai dengan peningkatan usia kita. Jika dahulu sekadar keinginan makan & minum dan nafsu syahwat sahaja yang kita cuba tahankan, pancaindera yang lain juga perlu kita jaga. Ini termasuklah mulut kita ini daripada berkata buruk. Alangkah ruginya puasa kita sekiranya hal-hal berkaitan makan, minum dan syahwat sahaja yang ditahan, tetapi tidak kepada perilaku dan tutur kata.  Tidak hairanlah jika ada dalam kalangan kita yang berpuasa, tetapi mulutnya masih mengeluarkan kata yang tidak elok dan juga masih berkelakuan yang tidak baik.

pucukpise
Sumber foto: saungtasbih.blogspot.com

    Imam Al-Ghazali melalui magnum opusnya Ihya Ulumuddin, ada menyentuh mengenai dua keinginan manusia dalam buku Disciplining the Soul & Breaking the Two Desires (Menghancurkan Dua Keinginan).  Dua keinginan utama manusia ialah rakus (gluttony) dan nafsu (lust). Rakus (gluttony) adalah merupakan obsesi kepada makanan manakala nafsu (lust) adalah merupakan kemahuan seksual. Kerakusan (gluttony) ini dapat dilihat kepada peristiwa Nabi Adam dan juga Hawa daripada syurga. Kerakusan (gluttony) ini ialah yang menyebabkan Allah mengusir mereka berdua daripada syurga ke dunia. Mereka berdua dilarang memakan buah daripada pohon khuldi oleh Allah. Akan tetapi keinginan mereka telah menyebabkan mereka memakan buah tersebut. Keinginan terhadap buah pohon khuldi inilah yang telah memulakan kepada proses pengusiran Adam dan Hawa daripada syurga. Perut manusia adalah sumber kepada keinginan dan dasar kepada penyakit dan juga kecacatan. Kemudiannya, ia diikuti pula kepada keinginan hubungan seksual (lust). Keinginan yang kuat kepada makanan dan juga hubungan seksual akan membawa kepada keinginan kepada status kedudukan dan juga kekayaan kerana kedudukan dan kekayaan ini akan membawa kepada lebih banyak peluang untuk memenuhi keinginan makanan dan hubungan seksual. Sekali kita memenuhi keinginan makanan kita, keinginan yang lain akan turut mengikut. Apabila keinginan-keinginan ini dipenuhi, maka sikap bermegah-megah, sombong, bangga diri dan angkuh mula muncul dalam diri. Seterusnya ia akan membawa kepada kebencian, iri hati dan dendam dan menyebabkan berlakunya perilaku buruk dalam diri seseorang. Ini semuanya berlaku disebabkan kerakusan (gluttony) yang tidak dikawal dengan baik. Jadi, puasa seharusnya mengajar kita kepada dua perkara penting dalam mengawal kerakusan (gluttony) kita iaitu makan apa yang ada dan tidak cerewet serta mengurangkan keinginan dan tidak terlalu obses kepada makanan.

    1 daripada 9 orang dalam populasi dunia ketika ini yang tidak mempunyai makanan secukupnya. Jumlah ini bersamaan dengan lebih kurang 795 juta manusia. Seringkali kita mendengar bahawa berpuasa itu membantu kita untuk memahami perasaan orang-orang miskin. Mereka yang sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tempoh puasa dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari sememangnya meninggalkan satu kesan yang mendalam terhadap diri kita, kerana tempoh inilah pada kebiasaanya orang-orang miskin ini kelaparannya pada tahap yang maksima. Akan tetapi sejauh manakah diri kita cuba mengaplikasikannya kepada diri kita? Bukanlah satu benda yang rahsia, apabila tiba sahaja bulan Ramadan, ianya dianggap sebagai satu bulan perniagaan. Begitu banyak bazar dibuka bagi memenuhi tuntutan konsumerisme oleh orang Islam yang inginkan makanan yang bervariasi ketika berbuka. Perlu diingat, tanpa permintaan tiadanya peluang. Peniaga-peniaga berani menjual di bulan Ramadan, kerana mereka tahu pasaran jualan mereka ada dan meningkat berkali ganda.

maxresdefault
Sumber foto; youtube.com

Ini seperti yang dikatakan oleh Aloe Blacc, seorang komposer muzik Amerika:

Kita hidup dalam era kepenggunaan dan ianya adalah mengenai kepenggunaan yang berdasarkan kepada keinginan. Ianya tidak ada kena-mengena dengan perkara yang kita benar-benar perlu.

    Mungkin suasana berbuka adalah berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Sebagai contohnya di Mesir, budaya berbukanya adalah Maidah Rahman. Secara mudahnya, Maidah Rahman ialah mereka yang kaya dan berkemampun akan menganjurkan majlis berbuka kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ianya bukanlah sekadar sehari dua, bahkan satu bulan Ramadan terus menerus. Pernah ditanya kepada tuan pemilik Maidah Rahman, berapakah jumlah yang perlu dihabiskan untuk menyediakan Maidah Rahman ini sebulan? Jumlahnya mencecah 50,000 genih (RM 25,000). Adakah kita mampu mengeluarkan jumlah sebanyak itu bagi menyediakan makanan berbuka kepada orang lain? Ataupun kita lebih gembira menghabiskan duit di bazar ramadhan membeli makanan dan minuman yang pelbagai? Adakah tercapai matlamat untuk kita merasai perih payah seorang miskin sekiranya ketika berbukanya seakan-akan orang yang tidak pernah jumpa makanan selama 3 hari?  Melalui suasana berbuka yang berbeza di antara Malaysia dan Mesir, kita dapat menyimpulkan dua persepsi yang berbeza. Persepsi yang pertama ialah bulan Ramadan merupakan bulan perniagaan. Persepsi yang kedua ialah bulan Ramadan merupakan bulan untuk melakukan amal kebaikan. Maka seharusnya kita perlu memilih persepsi manakah yang kita harus ikuti?

    Puasa bukanlah sekadar ritual keagamaan sahaja. Ianya merupakan satu proses penjagaan kesihatan antara lainnya. Tidak hairanlah sekiranya, agama-agama lain turut menganjurkan umatnya berpuasa atas dasar kesihatan. Jadi, ada hubung kait yang rapat antara puasa dan nilai kesihatan. Selalu kita dengar, selepas makan tanpa henti selama 11 bulan dan Ramadan lah bulan untuk merehatkan sistem penghadaman kita. Bayangkan juga seperti diri kita yang terpaksa bekerja buruh selama 11 bulan tanpa henti, kemudian majikan kita memberikan kita cuti sebulan daripada bekerja. Adakah kita akan gembira? Sudah semestinya. Hal yang sama boleh diaplikasikan kepada sistem penghadaman kita. Ianya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, akan tetapi ianya adalah untuk kebaikan kita pada masa akan datang. Berpuasa mampu mengurangkan berat badan, nilai gula dan kolesterol dalam darah dan menjadikan ingatan lebih kuat. Begitupun sekiranya ketika berbuka, kita makan seperti tidak ingat dunia, tiadalah manfaatnya kepada kita. Bersederhana dalam berbuka bagi mendapatkan manfaat optima untuk kesihatan kita.

    Seperti yang disebutkan sebelum ini, amalan berpuasa turut dilakukan oleh penganut agama-agama lain.Berpuasa juga memainkan peranan yang penting dalam sejarah dunia. Seorang aktivis keturunan Mexico di Amerika Syarikat, Cesar Chavez dilaporkan mengadakan mogok lapar berciri ahimsa selama 25 hari pada tahun 1968. Ketua kesatuan pekerja dan petani itu juga menggalakkan para pengikutnya berpuasa sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan.Para penganut agama Kristian tentu sedia maklum akan insiden Jesus (Nabi Isa) berpuasa selama 40 hari, 40 malam semasa berada di padang pasir; sementara Syaitan pula dilaporkan cuba mempengaruhi Jesus supaya menggunakan mukjizat untuk menukar batu-batan menjadi roti dan memakannya. Begitu juga dengan Mahatma Gandi, seorang tokoh kemerdekaan India yang seringkali mengadakan puasa/mogok lapar sebagai bantahan kepada kerajaan British yang memerintah India ketika itu. Mungkin contoh yang lebih dekat kepada diri kita ialah bagaimana 313 orang Islam berperang menentang orang Musyrikin Mekah yang berjumlah selama 1000 orang dalam peperangan Badar. Hal-hal ini jelas menunjukkan puasa juga bukan sekadar berperanan sebagai nilaian peribadi individu, akan tetapi mampu mengubah nilaian sejarah dan komuniti. Apalah sangat sekiranya kita berpuasa, jika hanya mampu terlentang tidur menunggu waktu berbuka? Puasa seharusnya menjadikan kita lebih berimpak tinggi dalam komuniti kita ini bukan sekadar pertempuran peribadi antara kita menentang nafsu.

    Seperti mana orang Yahudi mempunyai hari Yom Kippur dan Tisha B’Av sebagai hari kebesaran berpuasa mereka, begitu juga dengan orang Islam.

Bulan Ramadan adalah merupakan bulan ganjaran kebaikan kepada orang Islam. Ianya merupakan pesta ibadah kepada orang Islam kerana segala amalan yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipat-gandakan ganjaran pahalanya. Ketika bulan Ramadan inilah, dosa-dosa akan dihapuskan selagi tidak melakukan dosa-dosa besar, syaitan-syaitan dirantai, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Selain itu, terdapat satu malam yang istimewa yang digelar malam Al-Qadar (Lailatul Qadar).

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”.
(al-Qadr: 1-5)

    Dikatakan, malam Al-Qadar ini adalah lebih baik daripada seribu bulan lamanya. Tiada kepastian yang nyata mengenai bilakah berlakunya malam Al-Qadar itu kerana ianya merupakan hadiah rahsia yang diberikan kepada mereka yang betul-betul mencari dan menghayatinya. Sebagai orang yang beragama dan mempercayai kewujudan Tuhan, sudah pasti tawaran-tawaran yang dibuat ini cukup untuk meliurkan. Hidup seribu tahun lama sekalipun, tidak ada kepastian yang amalan kita mampu mengatasi kelebihan bulan Ramadan dan malam Al-Qadar khususnya. Tidakkah rugi jika peluang ini diabaikan begitu sahaja?

*
Menutup makalah ringkas ini, sesuailah kiranya dititipkan kata-kata hikmah daripada Hamka;

Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa.

Tulisan oleh:
Syaufiq Effendy bin Ngaliman
Tahun 6 Perubatan Universiti Zagazig.

Tinggalkan komen anda