Home > Menu > Karya > Artikel > KEMANISAN IMAN, ITULAH KEKUATAN SEBENAR

KEMANISAN IMAN, ITULAH KEKUATAN SEBENAR

KEMANISAN IMAN, ITULAH KEKUATAN SEBENAR

Jom Bergandingan Ke Syurga!

Dalam mengharungi kehidupan seharian sebagai seorang individu muslim, pastinya jelas 4 tuntutan dan tujuan diciptakan kita di atas muka bumi ini iaitu:

1)Beribadah

2)Khalifah

3)Tunaikan amanah

4)Bertaaruf

Maka keempat-empat perkara ini menyimpan hikmah yang menjadi sumber utama kekuatan umat Islam bagi sesiapa yang melaksanakannya untuk ke arah menggapai reda Allah yang setiap manusia impikan. Sedar atau tidak, dalam seharian kita disyariatkan dengan ibadah-ibadah tertentu pada setiap waktu sebenarnya membekalkan tenaga dan kekuatan terhadap setiap diri kita. Ramai di antara kita hanya menerima syariat semata-mata tanpa mencari hikmah fizikal kepada diri atau tubuh badan manusia. Selain fokus akademik, selaku seorang penuntut sains kesihatan, sepatutnya apa yang perlu kita perhatikan adalah hubungkait antara ibadah dan sains yang mempunyai penyumbang utama tenaga kepada diri manusia secara fizikal.

                Solat berjemaah yang sering menjadi galakan dan tuntutan kepada kita merupakan contoh yang paling mudah dalam memahami hubungkait solat kepada diri manusia yang rata-ratanya, majoriti di antara kita tahu dan mengakui kelebihan tersebut. Namun, terdapat persoalan-persoalan lain seperti, mengapakah Allah syariatkan solat fardu pada waktu-waktu tertentu? Mengapakah solat fardu mempunyai rakaat yang berbeza mengikut waktu? Hal ini bukan menimbulkan penafian terhadap syariat Allah, tetapi perlu difahami, ia merupakan wasilah kita bertaqarrub dengan Sang Pencipta. Maka persoalan-persoalan seperti inilah yang perlu menjadi tanda tanya dalam setiap diri umat Islam umumnya, dan setiap penuntut sains kesihatan khususnya.

9e152666-a9fc-4785-bf35-b11948ae106b
Sumber foto: coverjunction.com

Secara saintifiknya, waktu solat mempunyai hubungan yang berkait rapat dengan tenaga alam semulajadi bagi memperbaharui tenaga dan cas-cas positif serta negatif dalam badan kita. Warna alam yang berbeza pada langit di setiap waktu solat sebenarnya mempengaruhi sistem dalam badan. Sebagai contoh, warna alam di waktu subuh(biru muda) menghubungkan tenaga alam dan kelenjar tyroid pada setiap manusia untuk berfungsi dengan baik dalam mempengaruhi metabolisma tubuh manusia yang memberi kesan terhadap kemahiran komunikasi kita. Apabila masuk waktu duha, warna langit berubah kepada hijau dan seterusnya kuning yang menandakan masuknya waktu zuhur. Warna pada waktu ini berkait dengan sistem penghadaman makanan serta keceriaan seseorang. Di waktu asar, warna alam berubah kepada warna oren yang berfungsi dalam meningkatkan kreativiti seseorang. Masuk waktu maghrib, warna alam bertukar kepada warna kemerahan dan ia menghampiri frekuensi jin dan iblis. Pada waktu isyak, alam berubah menjadi warna biru nila dan memasuki fasa kegelapan. Maka pada waktu ini menyimpan hikmah kedamaian dan ketenteraman kepada tubuh manusia dimana seluruh sistem tubuh memasuki waktu rehat. Hikmah-hikmah ini meningkat apabila pengamalan solat dilakukan di awal waktu.

                Allah SWT juga mencipta setiap waktu itu mempunyai amalan dan ibadahnya yang tersendiri. Setiap waktu yang berbeza mempunyai fungsi mereka yang tersendiri terhadap tubuh badan. Ini adalah kerana, ibadah solat dapat menyerap tenaga alam dalam diri manusia. Selain waktu solat, pernahkan terfikir mengapa solat fardu mempunyai rakaat yang berbeza? Selain meyakini ketentuan dan perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi.

Sebenarnya manfaat bilangan rakaat dalam solat juga membantu menstabilkan dan meneutralkan cas-cas positif dan negatif dalam tubuh manusia selari dengan keperluan harian dan penggunaan tenaga pada setiap waktu tersebut bermulalah bangun dari tidur sehingga kembali tidur pada malamnya.

Sebagai contoh, solat subuh hanya 2 rakaat kerana badan kita yang telah stabil dengan bantuan tidur pada malamnya, maka tambahan cas tenaga yang diperlukan oleh badan hanya sedikit. Solat zohor mempunyai 4 rakaat kerana pada waktu paginya umat manusia menghabiskan tenaga dengan pekerjaan masing-masing. Begitu juga solat fardu asar, 4 rakaat yang dikerjakan bagi memulihkan cas-cas yang telah hilang setelah menyambung kerja selepas solat zuhur. Ia berlainan pada solat fardu maghrib yang hanya dilakukan 3 rakaat bersesuaian dengan kurangnya penggunaan tenaga pada waktu ini. Maka pasti timbul persoalan disebalik solat isyak yang dikerjakan sebanyak 4 rakaat, tetapi sebagai umat islam, bangun malam(qiamullail) adalah sangat dituntut. Oleh kerana inilah hikmah solat isyak yang diwajibkan adalah demikian. Tuntasnya, selain mengembalikan tenaga yang telah digunakan, rakaat solat fardu juga membekalkan tenaga kepada kita untuk pekerjaan seterusnya.

waktu_solat_khusyuk_solatSumber foto: google.com

                Jika dilihat pada sudut pandang sejarah, sirah para anbiya’ terdahulu juga dapat kita lihat peri pentingnya asas kekuatan yang diperolehi melalui ibadah yang sahih. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam siri-siri peperangan Rasulullah S.A.W. setelah Baginda berhijrah ke madinah. Sebagai contoh,bukti yang dapat diambil sepertimana dalam peperangan Badar Al-Kubra, kemenangan dalam pertempuran ini bukan bergantung dengan kuantiti atau kelengkapan persenjataan sahaja, tetapi dicapai dengan kekuatan roh maknawi yang dimiliki oleh tentera. Tentera Islam dalam pertempuran-pertempuran ini mewakili aqidah yang suci, iman yang menyala-nyala, kegembiraan untuk mati syahid, juga keinginan mendapat pahala dan syurga Allah. Mereka juga mewakili kegembiraan kerana bebas merdeka daripada kesesatan, perpecahan dan kerosakan. Sementara tentera orang musyrik pula mewakili aqidah yang rosak, akhlak yang punah, ikatan sosial yang terlerai, tenggelam hanyut dalam kelazatan dunia serta asobiyyah yang membuta tuli kepada adat resam yang lapuk, nenek moyang yang lalu dan tuhan-tuhan yang palsu. Lihatlah tindak-tanduk yang dilakukan oleh kedua-dua angkatan tentera tersebut sebelum bermulanya peperangan.

350px-prayer_in_cairo_1865Sumber foto: ms.wikipedia.com

                Sebelum peperangan bermula, orang musyrik berkeras untuk berpengkalan selama tiga hari (di Badar). Tujuan mereka ialah untuk berpesta arak sambil didendangkan nyanyian oleh penyanyi-penyanyi wanita dan diiringi pula dengan paluan gendang serta menyalakan unggun-unggun api di persekitaran mereka. Semua ini dilakukan agar bangsa Arab mendengar dan berasa gerun terhadap mereka. Mereka menyangka tindakan tersebut sebagai cara untuk mencapai kemenangan. Sebaliknya, orang Islam menghadapkan hati-hati mereka kepada Allah, memohon daripada-Nya kemenangan, mengharap-harapkan mati syahid dan menghidu bau-bauan syurga. Rasulullah s.a.w. menyungkur sujud dengan penuh rendah diri meminta Allah menolong hamba-hamba-Nya yang beriman. Natijahnya golongan yang bertaqwa lagi khusyuk beroleh kemenangan, manakala golongan yang leka dan berfoya-foya ditimpa kekalahan.

Maka secara kesimpulannya, hanya dengan ibadah solat yang Allah wajibkan, terdapat banyak kelebihan dan manfaat serta hikmah kepada diri manusia yang bersifat memerlukan, belum lagi ibadah yang lain. Inilah yang membezakan agama Islam dengan agama yang lain. Subhanallah…Itulah kasih sayang Allah kepada diri kita yang bergelar hamba-Nya agar kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur kepada-Nya. Akhir sekali, saya tamatkan artikel ini dengan kata Imam Ahmad bin Harb r.a :

Aku beribadah kepada Allah swt selama 50 tahun maka aku tidak dapat merasai kemanisan iman sehinggalah aku meninggalkan 3 perkara; pertama, Aku tinggalkan reda manusia sehingga aku mampu mengatakan kebenaran. Kedua, Aku tinggalkan bersahabat dengan orang yang fasik sehingga aku menemui sahabat dari kalangan orang yang soleh. Ketiga, Aku tinggalkan kemanisan dunia sehingga aku merasai kemanisan akhirat.

Kemanisan beribadah, itulah kekuatan sebenar.

Moga bermanfaat.

Renung-renungkan…dan Selamat Beramal!

Wallahu a’lam…

Tinggalkan komen anda