Home > Menu > Karya > Artikel > Pertunangan Dalam Acuan Islam: Adab dan Hikmah

Pertunangan Dalam Acuan Islam: Adab dan Hikmah

 

Menjadi fitrah manusia dicipta untuk berkasih sayang dan berpasang-pasangan. Namun setiap apa yang diciptakan pasti tidak sempurna dan memerlukan bimbingan dan panduan bagi memastikan hubungan yang terbina mengikut acuan agama. Peringkat awal proses perkahwinan antaranya meliputi proses melamar dan bertunang. Walaupun pertunangan itu mudah, tetapi hakikatnya ramai dalam kalangan anak remaja kini mengambil ringan hingga terkeliru antara adat dan syarak.

Ketika mana kamu tertarik kepada seseorang  setelah melihatnya ,maka hendaklah kamu atau keluargamu melamarnya melalui ibubapanya. Apabila kedua-dua pihak bersetuju antara satu sama lain, maka secara tidak langsung telah berlakunya proses pertunangan.Hikmah di sebalik pertunangan antaranya bertujuan agar pasangan yang ingin berkahwin dapat menempuh alam perkahwinan dalam keadaan pemikiran yang mendalam berpandukan hidayah, sekaligus dapat menghindari masalah serta pertelingkahan dalam kehidupan rumahtangga yang mungkin timbul pada masa akan datang, serta mengeratkan lagi ikatan antara keluarga di pihak si suami dan keluarga di pihak si isteri serta anak-anak dan sanak saudara masing-masing.

Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan,

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.”

(Hadis riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair)

Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Secara lazimnya ia akan berakhir dengan perkahwinan. Akan tetapi tidak mustahil juga boleh tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’menjelaskan bahawa tujuan Islam menggesa pertunangan itu tidak  dihebah-hebahkan antaranya untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad dengki manusia yang akan memudaratkan orang lain.

Selain itu, merahsiakan pertunangan turut mengingatkan kepada kita bahawa pertunangan itu bukanlah pass ticket untuk kita saling bermesra-mesraan antara satu sama lain seperti gaya pasangan suami isteri, kerana pada hakikatnya pasangan bertunang itu masih dikira ajnabi dan perlu dijaga batas pergaulan antara satu sama lain supaya tidak menimbulkan fitnah.

Pertunangan tidak akan mampu menghalalkan yang jelas haramnya.

Bertunang hanyalah merupakan ikrar janji setia yang tidak akan mampu menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal.Menurut Islam, kalian masih terikat sama dengan hukum seperti seorang lelaki yang bukan muhrim kepada perempuan yang dilamar itu dan tidak boleh semudahnya keluar berdua-duaan bersama semata-mata beralasan untuk mengenal akhlak dan sifat pasangan tunang masing-masing.

Amat malang lagi apabila wujudnyaibubapa yang tidak memahamikonsep pertunangan dalam Islam itu sendiri, dengan berpendapat bahawa bertunang ini menjadi ruang kebebasan mutlak kepada anak-anak mereka untuk keluar bersama pasangan tunangsehingga ada yang membenarkan untuk  tidur serumah.نعوذباللهمنذلك.

Rasullullah SAW bersabda:

لاَيَخْلُوَنَّرَجُلٌبِامْرَأَةٍإِلاَّكَانَثَالِثَهُمَاالشَّيْطَانُ

“Tidaklah sekali-kali seorang lelaki berkhalwat(berdua – duaan)  dengan seorang wanita, melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”

Zaman mutakhir ini, sememangnya wujud segolongan masyarakat yang cuba memadam hujah para ulama’ dengan menyisihkan apa yang telah disyariatkan dalam agama. Kalian dapat melihat anak-anak dara dan teruna Muslim mendedahkan aurat, berpeluk-pelukan dan bercumbu-cumbuan di khalayak ramai. Pengamalan atau adat dalam sesebuah masyarakat yang tidak selari dengan syarak secara jelasnya telah mengundang malapetaka dan keruntuhan sosial kepada alam pertunangan seperti kes zina ,rogol dan buang bayi.  Apakah ini layak dilakukan oleh pemuda Muslim yang telah merelakan Islam sebagai agamanya?

Jika kalian mahukan kemuliaan seorang wanita, kesolehan seorang lelaki, keselamatan rumahtangga serta masyarakat yang berakhlak, maka hayatilah ayat ini:

تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَا‌ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

‘’Itulah batasan-batasan Allah maka jangan kamu melampauinya! Siapa yang melanggar batasan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” 

(al-Baqarah:229)

Si lelaki boleh berjumpa dengan tunangnya tetapi bersyarat,

                Islam tidak mengongkong dan tidak bersifat tertutup .Tidak dibolehkan berdua-duaan antara pasangan bertunang tetapi dibolehkan dengan kehadiran mahram kepada si perempuan. Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam menegaskan: 

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ وَلا تُسَافِرَنَّ امْرَأَةٌ إِلاَّ وَمَعَهَا مَحْرَمٌ

“Ketahuilah! Janganlah seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan dan jangan juga bermusafir dengannya kecuali disertai oleh mahramnya”.

(HR Bukhari dan Muslim)

Maka syarak menetapkan si lelaki boleh berjumpa dengan tunangnya kepada perkara-perkara yang perlu seperti perbincangan berkenaan perkahwinan, namun dengan syarat ditemani mahramnya sebagai contoh ibu kepada si perempuan itu sendiri. Hikmahnya,  Islam turut memudahkan pasangan yang ingin melihat, berbincang serta mengenali tunangnya dengan lebih beradab dan secara tidak langsung menutup pintu fitnah kepada mereka dalam menuju hari bahagia.

Tidak boleh masuk meminang ke atas pinangan orang lain,

Islam merupakan agama yang amat menitikberatkantentang penjagaan hak umatnya. Dalam hal pertunangan ini, jika seorang lelaki yang baik agamanya masuk meminang seorang perempuan yang bagus akhlaknya, lalu pinangannya diterima oleh si perempuan dan keluarganya, maka diharamkan bagi lelaki lain untuk masuk meminang kecuali jika putus ikatan pertunangan tadi atau lelaki itu memberi izin.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

لا يَخْطُبِ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الخَاطِبُ قَبْلَهُ، أَوْ يَأْذِنَ لَهُ الخَاطِبُ

“Janganlah seorang lelaki meminang atas pinangan saudaranya hinggalah peminang yang terdahulu meninggalkan atau mengizinkannya.”

(HR al-Bukhari).

Seperti kita semua ketahui, pertunangan atas pinangan orang lain ini akan menerbitkan rasa dendam, mewariskan sifat dengki, merosakkan ummah, menghancurkan kesatuan masyarakat serta membarahkan sifat benci dan fitnah dalam kalangan kaum muslimin. Namun Islam telah berlaku adil kepada umatnya dan memelihara pasangan yang ingin bernikah dari kezaliman.

Pertunangan yang melibatkan wanita yang masih didalam tempoh idah.

        Ini juga telah digariskan oleh syaraksamaada ia disebabkan kematian atau diceraikan suaminya.  Haram bagi lelaki lain untuk masukmeminangnya hinggalah tamat tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, adalah diharuskan bagi lelaki untuk menyuarakan hajat untuk meminang dalam bentuk isyarat tidak langsung, atau sindiran, contohnya dengan mengatakanJika dah habis tempoh idah kau, beritahulah aku”.

         Ini berdasarkan firman Allah:

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ ۚ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَٰكِن لَّا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّا أَن تَقُولُوا قَوْلًا مَّعْرُوفًا ۚ وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنفُسِكُمْ فَاحْذَرُوهُ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Maksudnya: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

(Surah al-Baqarah:235)

Perkara ini sangat berhikmah dan murni,dimana Islam tidak menghalang seorang lelaki meluahkan perasaannya tetapi tetap  beradab dan mampu menjaga sensitiviti dan emosi seorang wanita yang baru diceraikan atau kematian suaminya.Perkara ini jugasudah dibuktikan secara saintifikdimana ianya dapat menjaga kesihatan dan membersihkan rahim dari benih suami asal wanita tersebut sepanjang tempoh idah. Secara tidak langsung menjaga ketulenan keturunan apabila wanita tersebut berkahwin sekali lagi.

 Cincin emas tanda pertunangan adalah diharamkan untuk lelaki memakainya.

Disini Rasulullah SAW menegaskan seorang lelaki muslim haram baginya memakai emas terutamanya cincin emas.  Ini berdasarkan hadis Nabi SAW :

Diriwayatkan oleh Ashab al-Sunan dan al-Imam Ahmad, daripada Saidina Ali KW menceritakan bahawa RasulullahSAW pernah mengambil sehelai sutera lalu diletakkan di kanannya. Kemudian Baginda mengambil seketul emas lalu diletakkan di kirinya dan bersabda: “Sesungguhnya dua benda ini adalah haram untuk kaum lelaki umatku”. Ibn Majah menyatakan hadis ini ada tambahannya iaitu: “Halal untuk perempuan’’.

Seorang muslim hidup di dunia ini berdasarkan prinsip yang murni iaitu jika masyarakat itu baik maka bersama meraka juga perkara yang baik dan begitulah sebaliknya.

Allah  SWT berfirman:

قُلْ لَّا يَسْتَوِى الْخَبِيْثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ اَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيْثِ ۚ فَاتَّقُوا اللّٰهَ يٰۤاُولِى الْاَ لْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ

Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.
(Surah al Maidah:5) 

Sedarilah bahawasanya pertunangan adalah suatu janji yang kuat antara dirimu , bakal mertua, dan Tuhanmu. Allah SWT melarang pembatalan janji dan menyuruh untuk setia kepada janji dan menganggapnya sebagai  ciri kesempurnaan iman.Seorang Muslim tidak sepatutnya mengingkari janji tanpa alasan munasabah,mengingkari kesepakatan, dan melanggar prinsip pertunangan tanpa sebab yang jelas. Sesungguhnya ia merupakan suatu perkara  yang penting dalam mengangkat hati dan perasaan sesama manusia. Bagaimana kalian menjaga pertunangan ini menggambarkan bagaimana kalian menjaga perkahwinan kelak.

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam melakukan persediaan menuju ke alam perkahwinan. Wallahu a’lam.

13839866_1253330994700144_890227151_o

Unit Bait Muslim,

PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2016/2017.

Rujukan buku:

i)Tajuk :  Perkahwinan & Rumahtangga: Syurga Yang Disegerakan, Penulis : ‘Adil Abdul Mun’im Abu Al-‘Abbas ,Publishing : Inteam Publishing.

 ii)Tajuk :Adab al-Khitbah wa al-Zifaf wa Huquq al-Zawjayn. Penulis : Syeikh Abdullah Nasih Ulwan.

iii)Tajuk: Aku terima nikahnya , Edisi 2014. Penulis: Ust. Hasrizal Abdul Jamil.

 

 

Tinggalkan komen anda