Home > Menu > Karya > Artikel > Kerana Allah Tidak Akan Memberi Ujian di Luar Batas Mu.

Kerana Allah Tidak Akan Memberi Ujian di Luar Batas Mu.

Ali : Man, macam mana result exam? Ok ke?
Seman : Cukup-cukup makan je. Macam biasalah aku ni. Kau macam mana pula?
Ali : Alhamdulillah, aku lulus dua je. Macam biasa lah.

.. Kedua-duanya gelak bersama-sama…

Antara perbualan yang paling sukar untuk kita hadapi adalah sewaktu keluarnya keputusan peperiksaan. Bagi yang berjaya, mereka tiada masalah untuk menghadapi situasi ini. Tapi yang kurang berjaya, yang terpaksa menghadapi dur thani, perbualan ini menjadi seakan-akan satu tamparan hebat dan amat berat untuk mulut berkata-berkata. Tambahan pula kalau ibu bapa yang bertanya soalan ini. Berjaya, kita yang pertama menelefon mereka dengan rasa gembira. Bagi yang kurang berjaya, jawapan apakah yang ingin di khabarkan kepada mereka Apabila menghadapi situasi ini, tanamkan dalam diri, semuanya datang daripada Allah. Memang sukar untuk kita menerima tapi hakikatnya sememangnya begitu.

“Sesungguhnya segala sesuatu Kami ciptakan dengan qadar (ukuran, aturan)”

 al-Qamar:49

Yang penting, bagaimanakah kita menghadapi situasi ini? Keputusan sudah termaktub.

Pertama : Kurang Berjaya

Sebelum berangan jauh melayan kesedihan kita, kembalikan semula fitrah kita kepada ayat Allah SWT : “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya” al-Baqarah :286

Akan tetapi, ia bukan terhenti disitu sahaja, perkara keduanya ialah refleksi diri, tanyakan pada diri, sejauh mana usaha kita untuk mencapai kecemerlangan sebelum ini.

Berapa jam yang diperuntukkan untuk mengulang kali pelajaran dalam sehari?
Berapa banyak movie aku korbankan?
Berapa banyak soalan aku jawab?
Berapa kerap menghubungi emak dan ayah?
Berapa jam main game setiap hari?
Berapa jam baca manga?

Yang paling penting, dalam sehari, berapa lama kita merasakan hidup ini sebagai HAMBA ALLAH? Waktu belajar, waktu kita solat, waktu kita bermain.

Jadi, apa seterusnya? Terhenti di situ ?

Tidak. Mulakan langkah baru.

“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah”

az-Zumar : 53

Langkah terakhir , positifkan diri. Mungkin Allah uji kita dengan ujian sebegini untuk ubah perjalanan hidup kita. Kegagalan bukan gagal segala-segalanya. Sekali kegagalan bukanlah bermakna gagal selama-lamanya. Michael Jordan dibuang daripada pasukan bola keranjang di usia muda, namun kemudiannya menjadi atlet terkemuka di bidang kesukanan tersebut hasil daripada tidak berputus asa dan terus bersungguh-sungguh berusaha menjadi yang terbaik serta belajar daripada kesilapan yang lama. Jangan dihiraukan anasir-anasir ‘sumbang’ Yang merendah-rendahkan kita.Teruskan fokus maju ke hadapan. Tiada istilah gagal dalam kehidupan sebenarnya!

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”

at-Taghabun : 12

Kedua : Berjaya

Terlalu luas untuk mengungkap definisi berjaya. Secara mudahnya, keputusan keluar, hati gembira dan berpuas hati dengan keputusan dikira berjaya. Itu yang mudah kita fahami. Walau bagaimanapun itu bukanlah ukuran kepada kejayaan sebenar

Bersyukurlah apabila perasaan ini diberikan kepada kita. Mungkin penat lelah kita berusaha untuk menghadapi peperikasaan, maka Allah berikan ganjaran lebih berbanding orang lain.

Yang paling penting, tanamkan bahawa semuanya datang daripada Allah. Usaha itu hanya wasilah sahaja.

Cuba kawal hati daripada bersifat riya’, takabbur dan sum’ah. Suka mendengar pujian daripada orang lain. Pada masa yang sama jaga hati sahabat yang kurang berjaya.

Terakhir, bantu sahabat anda. Bantuan bukan sekadar mengajar, tutor tetapi, bertanyakan khabar itu pun satu bentuk bantuan yang amat bermakna untuk sahabat kita. Belanja makan, nasihat pun boleh memberi manfaat kepada sahabat.

Keputusan peperiksaan ini bukanlah segala-segalanya. Mungkin ia sebahagian daripada ujian Allah berikan kepada kita. Yang paling pentiing, bagaimana kita bertindak selepas diberikan satu nikmat atau ujian?. Makin dekat dengan Allah atau makin jauh dari-Nya.

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”

at-Taghabun : 12

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”

Ibrahim :14

Ditulis oleh:

Hamba Illahi

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2016/2017.

Tinggalkan komen anda