Home > Menu > Berita > Syantah Ramadan: “Bahagia Dengan Berbagi”

Syantah Ramadan: “Bahagia Dengan Berbagi”

 

ZAGAZIG, 2 Julai 2016 – PERUBATAN for Peace And Care (PEACE) di bawah Biro Kebajikan, PERUBATAN Cawangan Zagazig telah mengajurkan program Syantah Ramadan yang juga merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan. Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi PCZ 16/17, Saudara Muhammad Miftahuddin bin Sufyan bertempat di Zagazig Malaysian Students Hall pada 24 Jun 2016.  

Seramai 46 orang aktivis berdaftar daripada kalangan ahli PCZ telah bersama-sama menjayakan program ini. Sehari sebelum program dijalankan, para aktivis bertungkus lumus dalam membungkus syantah di dewan. Fasa pengagihan syantah Ramadan ini telah menyasarkan sebanyak 160 syantah dibahagikan kepada pesakit hospital, warga emas, fakir miskin dan tabung kemanusiaan.

IMG_0663

IMG_0641

 

Sejak awal pagi lagi, para aktivis telah berkumpul di sekitar Hospital Salam Sadnawi sebelum dibahagikan kepada beberapa kumpulan, yang kemudiannya bergerak ke beberapa Jabatan terpilih termasuklah Jabatan Kardiologi, Neurologi, GIT , Pediatrik dan lain- lain untuk diagihkan syantah.

Sementara itu beberapa orang aktivis daripada kalangan mahasiswa telah bergotong-royong bagi membersihkan kawasan Masjid Salam agar dapat memberi keselesaan kepada jemaah masjid amnya dalam menunaikan ibadah. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah membersihkan karpet masjid, menyapu sampah, membersihkan tandas dan sebagainya.

 

Program ini bertujuan juga untuk menyuburkan budaya sedekah dalam kalangan ahli terutama pada bulan ramadan yang mulia ini bertepatan dengan firman Allah daripada surah al-Hadid ayat 18, “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.”.

Disediakan oleh,

Nur Aini Binti Mustafa
Unit Liputan,
Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2016/2017.

 

 

Tinggalkan komen anda