Home > Menu > Karya > Artikel > Ramadan Vs Puasa

Ramadan Vs Puasa

RAMADAN BULAN MESRA IBADAH

Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian (sebatang kara), sebagaimana kami jadikan kamu ada mulanya. Dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu dan kami tidak melihat kepada kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka adalah sekutu-sekutu ALLAH dalam kalangan kamu. Demikian sesungguhnya telah putuslah perhubungan antara kamu dan mereka, dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang kamu anggap dan sifatkan (mampu memberi faedah dan manfaat)..” Al-Anaam:94

Ayat ini ALLAH SWT telah sebutkan di dalam al-Quran khusus kepada kita semua tentang keadaan suasana yang sememangnya bakal kita hadapi. Perihal keadaan akhirat ini sememangnya tidak akan pernah ataupun mampu disebut oleh mana-mana agama mahupun aliran pemikiran ideologi samada demokrasi ataupun nasionalis melainkan agama Islam. Ianya disebut di dalam al-Quran supaya kita sedar bahawa kita akan kembali kepada ALLAH SWT suatu hari nanti seorang diri (sebatang kara) sebagaimana kita mula-mula lahir dahulu. Jadi segala perbuatan kita dan segala ilmu ALLAH yang dipelajari di atas muka bumi ini, tanpa mengira samada ilmu perubatan mahupun farmasi, dan apa sahaja yang kita laksanakan janganlah sesekali kita lupakan al-Quran. Ini kerana hanya di dalam al-Quran kita akan mendapat ilmu berkaitan dosa dan pahala, syurga dan neraka, perihal hari kiamat dan juga soal jawab ALLAH SWT dengan kita di akhirat kelak sebagaimana ayat yang disebutkan di dalam ayat di atas.

Alhamdulillah sekarang ini kita semua masih diberikan oleh ALLAH SWT kesempatan dan kekuatan untuk berada di dunia ini secara percuma, akan tetapi kita diingatkan dan diajar oleh Islam bahawa apa sahaja yang kita kerjakan di dunia ini sama ada untuk mencari ilmu, harta, pengaruh, pangkat bahkan keluarga. Ia haruslah mengikut acuan Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah saw agar ia mampu menjadi saham dan bekalan di akhirat kelak kerana disanalah kehidupan yang kekal abadi akan bermula. Oleh yang demikian, sebagaimana yang disedari bahawa kita sekarang berada di pengakhiran bulan Rejab dan akan memasuki bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadhan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Jadi di bulan-bulan yang penuh keberkatan ini marilah kita merebut peluang untuk mengutip sebanyak-sebanyaknya saham untuk menjadi bekalan ketika bertemu yang Esa.

Ramadan Vs Puasa

Ramadan Karim. Ramadhan merupakan satu-satunya bulan di antara 12 bulan yang disebut dalam al-Quran. Ianya dimuliakan lagi apabila turunnya al-Quran iaitu kalam Allah yang paling mulia. Bulan ini tidaklah kita menyebutnya sebagai bulan puasa semata, kerana puasa itu hanyalah salah satu ibadah yang wajib dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan, bermulanya puasa seusai azan subuh dan berakhir apabila azan maghrib berkumandang. Akan tetapi di dalam bulan Ramadhan ini, kita juga diajar untuk menyusun dan mengatur kehidupan seharian dengan sebaiknya. Kita diperuntukkan 24 jam sehari semalam dan haruslah memanfaatkan tiap detik supaya Ramadhan yang bakal kita temui akan menjadi yang terbaik dalam hidup kita, dan tidaklah akan kita kesali sekiranya ini merupakan Ramadhan yang terakhir yang ditakdirkan oleh-Nya. InsyaAllah.

“(masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, ia menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan kepada petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar ataupun yang salah. Oleh itu siapa diantara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan atau (mengetahuinya), maka hendaklah ianya berpuasa pada bulan itu…sehingga akhir ayat..” Al-Baqarah : 185

ALLAH SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani telah membuka seluas-luasnya pintu-pintu Rahmah dan menutup serapat-rapatnya pintu maksiat kepada umat Nabi Muhammad. Dibuka seluasnya juga pintu-pintu syurga, serta ditutup rapi pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan juga telah dibelenggu. Setiap malam sepanjang Ramadan juga ALLAH mengeluarkan senarai bagi mereka yang akan dimerdekakan dari api neraka. Maka amatlah beruntung bagi mereka yang mengambil peluang di bulan yang mulia ini untuk membersihkan jiwa serta menghapuskan segala dosa-dosa. Maka berbahagialah mereka di dunia dan akhirat. Akan tetapi, celaka dan rugilah kepada mereka yang mengambil Ramadan ini sebagai jalan untuk mengaut keuntungan dunia semata-mata, 30 hari Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa mendapat keampunan daripada ALLAH. Maka ALLAH akan mencampakkan mereka ke dalam azab neraka ALLAH, wanauzubillah.

Persiapan Dan Amalan Di Bulan Ramadan

Apabila kita memahami bahawa bulan Ramadan ini bulan yang amat mulia dan diberikan gandaan pahala yang besar bagi setiap amalan, pastinya kita perlukan persiapan yang rapi untuk menghadapinya supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Antara amalan sunat yang disarankan adalah:

1. Istighfar Dan Doa
Hati yang sentiasa dibasahi dengan istighfar dan doa merupakan hati yang amat dekat dengan ALLAH SWT. Bulan Ramadan ini kita disunatkan untuk memperbanyakkan doa walau dimana sahaja kita berada, apa sahaja kerja yang kita lakukan samada sedang berjalan, berniaga mahupun bersukan sentiasalah menghidupkan hati kita dengan doa. Tambahkan doa-doa sunat samada yang panjang mahupun pendek yang diajar oleh Rasulullah saw sepanjang Ramadhan ini.

Sebagai contoh, jika biasanya kita berdoa sewaktu rukuk dengan doa yang bermaksud:“ Mahasuci Tuhanku yang Maha Agung..”

Sebenarnya terdapat lagi doa yang lebih panjang yang diajar oleh Rasulullah saw dengan doanya yang bermaksud: “Ya Allah sesungguhnya aku rukuk ini adalah untuk-Mu, aku beriman juga adalah untuk-Mu, bilamana aku rukuk kepada-Mu, sebenarnya bukan sekadar tulang belakang aku sahaja yang rukuk tetapi juga telingaku yang mendengar, mataku yang melihat juga tunduk kepada-Mu sehinggakan lemak dalam tulang dan sendiku juga rukuk kepada-Mu”.
Dan banyak lagi doa-doa yang kita boleh amalkan sepanjang Ramadan, tidak sesaat pun masa akan berlalu tanpa doa dan istighfar kepada-Nya.

2. Berpuasa
“ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dalam keadaan dia beriman dan mengharapkan pahala dan rahmat ALLAH taala, nescaya di ampun baginya dosa-dosa yang lalu”
(hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa lagi yang kita harapkan selain daripada mendapat keampunan daripada ALLAH SWT. Bagi mereka yang berpuasa tetapi tidak melaksanakan ibadah lain dan tuntutan ALLAH SWT yang lain sebagai contoh, berpuasa tetapi tidak solat maghrib ataupun lambat kerana ambil masa yang lama ketika berbuka, berpuasa tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna, berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat, ini umpama berpuasa tetapi bukan atas dasar keimanan dan mengharapkan pahala daripada ALLAH. Apa yang kita perlu faham bahawa bilamana kita berpuasa pastinya kita hendak merasai hikmah berpuasa itu sendiri iaitu mengharapkan pahala, mengekang nafsu dan merasai perasaan mereka yang berlapar, oleh itu elakan daripada kita membazir disaat bersahur dan berbuka. Berpada-pada dalam menyediakan makanan untuk berbuka dan bermurah hati untuk memberi makan kepada sahabat-sahabat yang berpuasa, moga kita mendapat hikmah itu.

ramadan_iftar_01
(kredit photo: content.time.com)

3. Membaca Al-Quran
Para Ulama bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan, sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, ada yang setiap satu minggu, dan ada yang sepuluh hari sekali. Mereka membacanya ketika di dalam solat dan luar solat. Imam As-Syafie rahimahullah juga telah khatam sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan diluar solat. Adapun terdapat larangan untuk mengkhatamkan al-Quran kurang daripada 3 hari, akan tetapi tidak dilarang pada beberapa tempat dan masa seperti dalam Masjidil Haram dan di bulan Ramadan, malah disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran itu sendiri.

Melihat kepada diri kita sendiri, cuba kita susun dan rancang dalam kehidupan kita sepanjang Ramadhan nanti dengan meletakkan objektif untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadhan ini. Jika dapat lebih daripada sekali itu lebih baik. Pahala yang besar diberikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh menghabiskan masa mereka dengan belajar dan membaca al-Quran. Bagi mereka yang belum mampu membaca al-Quran, ambillah peluang di bulan yang mulia ini untuk belajar membaca, bagi mereka yang tidak memahami al-Quran, ambillah peluang dibulan Ramadan ini untuk memahami dan mentadabbur kalam-Nya sehingga hati dan mata kita sentiasa melihat al-Quran, telinga sentiasa mendengar al-Quran, tangan sentiasa memegang al-Quran dan begitu juga dengan anggota tubuh kita yang lain juga sentiasa bersama al-Quran.

4. Qiamullail Dan Tarawih
Bagaimana kita hendak merancang untuk mendapat pahala qiamullail sepenuhnya setiap malam sepanjang Ramadan ini? adakah dengan cara kita mengabaikan kerja kita yang lain atau dengan tidak tidur sepanjang malam?
Abu Hurairah r.a berkata “ adalah Rasulullah saw menggalakkan qiamullail (beribadah di waktu malam) dibulan Ramadan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda : “ Sesiapa yang bangun malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, mereka akan diampunkan dosa-dosa yang lepas..” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

ribuan-umat-muslim-menjalankan-ibadah-shalat-tarawih-pertama-_120720233253-377
(kredit photo: ahsanul-marom.blogspot.com)

Hadis ini menuntut bahawa kita disunatkan solat tarawih pada bulan Ramadan dalam keadaan beriman dan mengharapkan pahala, dan kita akan diampunkan dosa. Hadis ini memberi peringatan untuk setiap ahli jemaah menyempurnakan solat tarawih bersama imam supaya namanya ditulis bersama orang-orang yang qiam dan berdiri malam. Dengan itu kita akan mendapat pahala qiamullail sepanjang Ramadhan jika kita sempurnakan solat tarawih bersama imam. Sama-sama kita kunci diri kita dengan Hadis ini untuk sempurnakan solat tarawih pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan nanti. InsyaAllah

Sememangnya terdapat pelbagai lagi amalan-amalan sunat yang dapat kita laksanakan sepanjang Ramadan ini untuk kita rebuti seperti bersedekah, memberi makan untuk berbuka, berzikir, beriktiqaf di masjid, menuntut ilmu dan lain-lain.

Kesimpulan

Kini kita sudah begitu hampir untuk bertemu dengan bulan Ramadan yang mulia, marilah kita perbanyakkan doa supaya kita diberikan lagi kesempatan untuk bertemu Ramadan kali ini.

“Ya ALLAH berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban ini, dan sampaikan kami sehingga bulan Ramadhan..”

Sungguh Ajal itu tidak pernah bersyaratkan muda ataupun sakit, ketetapan ALLAH itu tidak akan lambat walau sesaat dan tidak akan cepat walau selangkah, ianya boleh berubah hanya dengan izin-Nya, Berapa ramai dikalangan kita yang telah dijemput bertemu yang Esa beberapa hari sebelum tibanya hari pertama Ramadan. Tetapi persoalannya jika kita diberikan peluang bertemu dengan Ramadan, sudahkah kita bersedia?
Tepuk dada tanyalah Iman. Sama-sama kita persiapkan diri dengan ilmu secukupnya untuk menjadikan Ramadan ini lebih baik dari Ramadan yang sebelumnya.

Daripada Salman r.a berkata : telah berkhutbah Rasulullah saw pada hari terakhir bulan Syaaban dengan bersabda : “ wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu suatu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang ALLAH jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan, dan berqiamullail (beribadah pada malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada ALLAH pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan amalan yang wajib pada bulan Ramadan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan 70 amalan fardhu..”

Dan daripada Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad saw bersabda : “ Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadan, para malaikat menyeru dengan berkata : “ Wahai orang-orang yang mahu melakukan kebaikan, segeralah kamu mengerjakannya dan wahai orang-orang yang melakukan kejahatan, berhentilah dari meneruskannya. Ketahuilah bahawa ALLAH telah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan neraka daripada memasukinya. Seruan dan keampunan yang demikian diberikan pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan..” (Riwayat Tirmizi dan Nasai)

Disediakan oleh:
Biro Pembangunan Insan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2016/2017

Tinggalkan komen anda