Home > Menu > Karya > Artikel > Israk Mikraj Ibrah Sepanjang Hayat

Israk Mikraj Ibrah Sepanjang Hayat

“Seekor semut berada di dalam poket tuannya yang kini berada di Malaysia. Tuannya itu kemudian menaiki kapal terbang ke Mesir dan pulang semula pada hari yang sama seusai tugasannya di sana. Setelah pulang,  semut itu bercerita kepada kawan-kawannya bahawa dia telah ke Mesir semalam  dan alhamdulillah telah selamat sampai di Malaysia pada pagi tadi.”

Jika difikirkan ia terlalu aneh bagi kumpulan semut yang mendengar. Tetapi bukankah ia benar-benar berlaku? Begitulah juga dengan peristiwa israk dan mikraj. Ia benar berlaku kerana Allah SWT sebagai pemunya kepada Rasulullah S.A.W dan sekalian alam telah menjemput baginda untuk bertemu-Nya. Bahkan maha suci Allah mampu melakukannya tanpa sebarang alasan dan logik.

Namun sebagai orang yang beriman, kita diwajibkan untuk percaya peristiwa ini kerana ia disebutkan di dalam al-Quran dan hadis. Justeru itu, peristiwa ini secara tidak langsung menjadi ujian bagi mereka yang mempunyai iman yang meragukan.

Mengenai Israk dan Mikraj

A.Definisi
Pengertian israk:

  • Dari segi bahasa perjalanan pada sebahagian malam
  • Dari segi istilahnya sebuah perjalanan oleh Nabi s.a.w yang  bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di al-Quds.

Pengertian mikraj pula adalah tingkatan atau tangga membelah lapisan langit sehingga sampai ke Sidratul Muntaha seterusnya Bait al-Ma’mur untuk berjumpa Allah s.w.t dengan menaiki binatang yang bernama Buraq.

B.Bilakah Berlakunya?

Berkisar tentang penetapan tarikh peristiwa ini, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama. Yang masyhur dan maklum dalam kalangan umat Islam adalah pada 27 Rejab. Cuma sebagai penanda, ia berlaku selepas baginda diutuskan dan setelah pemergian bapa saudara baginda, Abi Talib dan disusuli pula dengan kewafatan isteri baginda yang pertama iaitu Saidatina Khadijah dalam tahun yang sama. Kedua-dua insan ini telah menjadi tulang belakang dalam memperjuangkan risalah dakwah. Pemergian kedua-dua insan yang tersayang ini pasti memberikan parut besar dalam jiwa baginda. Baginda Rasulullah telah menggelarkan tahun itu dengan gelaran ‘Aam Al-Huzn (Tahun Kesedihan)

C.Perjalanan seorang hamba bukan sekadar rohnya

Ulama berbeza pendapat tentang adakah baginda s.a.w diperjalankan dalam keadaan roh sahaja atau roh dan jasadnya sekali. Ada yang mengambil pendapat pertama dan ada yang kedua. Ada juga berkecuali dengan meletakkan antara israk dan mikraj salah satunya adalah dengan jasad dan roh. Adapun yang paling dekat berdasarkan dalil adalah kedua-duanya iaitu jasad dan roh. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Pentafsiran ayat ini bagi mengukuhkan hujah bahawa baginda diperjalankan dengan keduanya sekali adalah melalui perkataan tasbih (سُبْحَانَ)  yangmerupakan perkataan agung dan semestinya digunakan dalam peristiwa agung. Jika peristiwa ini berlaku hanya dengan roh maka ia bukan merujuk pada peristiwa yang besar, kerana ia ibarat seperti bermimpi. Dalam hal yang demikian dapatlah dikonklusikan bahawa peristiwa ini merupakan peristiwa yang bermakna kepada umat Islam jagatraya.

Tambahan pula, Allah juga menggunakan istilah hamba (عَبْد) yang merujuk kepada seorang manusia yang mana bersatunya roh dan jasad. Hal ini kerana, jika ia hanya berlaku ketika tidur atau sekadar roh sahaja sudah tentu Allah menggunakan istilah “dengan roh hambanya” yang memisahkan erti kata asal hamba yang merangkumi dua aspek tersebut.

D.Apa Yang Perlu Kita Fokus

  1. Solat Anugerah Istimewa Untuk Umat Muhammad

Adapun perkara yang lebih penting untuk diteliti adalah ibrah yang menjadi teladan sepanjang hayat yakni solat.Hal ini kerana orang yang berusaha menjaga solat sebenarnya sedang mengurus kehidupannya dengan baik.Setiap perkara dalam kehidupan berkait dengan solat.

Sebelum melaksanakan solat, rukun yang perlu dilunaskan adalah seperti mengambil wuduk, menjauhi perkara-perkara kemaksiatan untuk mendapat kusyuk seperti menjaga pandangan mata, berfikiran positif dan sebagainya.

Semasa solat, kita diajar berdisplin dengan mengikut arahan Allah SWT dalam setiap pergerakan dan bacaan di samping mengajar kita untuk bergantung hanya kepada-Nya.

Selepas solat pula, solat yang sempurna sepatutnya memberi kesan kepada jiwa dengan mendidik sifat rendah diri. Selain itu kita juga akan berasa malu untuk melakukan perkara yang boleh membawa kepadamaksiat seperti mendedahkan aurat dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana manusia itu harus mematuhi arahan yang Esa setiap waktu dan bukanlah hanya pada waktu-waktu tetentu.

  1. Jalan Dakwah, Jalan Yang Mulia Dipenuhi Mehnah

Di samping itu, israk dan mikraj sebenarnya ubat duka kepada baginda s.a.w oleh Allah SWT setelah kematian bapa saudaranya Abu Talib yang kuat mendokong usaha dakwah baginda meskipun tidak memelukislam, serta wafatnya isteri tercinta Saidatina Khadijah.

Setelah itu, usaha dakwah baginda kian terasa pahitnya. Kabilah Quraisy lebih berani hingga ke tahap menyakiti batang tubuh baginda seperti peristiwa dilemparkan sisa najis ketika solat dan juga peristiwa baginda dilontar batu hingga darah berlumuran ketika di Thaif.

Sunnah dalam berdakwah sememangnya demikian. Pahit lelah tiada kerehatan.hingga terkadang terpaksa bergadai nyawa sehinggabertumpahan darah. Kita mungkin belum sampai ke tahap sedemikan.Namun, Allah meminta daripada manusia untuk mengorbankan jiwa mereka dan harta-harta merekasebagai gantian dengan nikmat yang lebih besar iaitu mendiami syurga-Nya.Maka segala kudrat yang terdaya sepatutnya disalurkan ke jalan agama-Nya serta harus tesemat dalam jiwa selain bercita-cita untuk sentiasa membantu agama-Nya.

Catatan Khusus berkenaan peristiwa sepanjang israk dan mikraj 

ISRAK

  1.  Pembelahan dada (kepentingan bersuci)

Ibn Hajar menyebutkan pembelahan dada berlaku sebanyak tiga kali.

  1. Ketika baginda masih kecil di kampung bani Sa’ad sebagai penjagaan daripada gangguan syaitan
  2. Ketika baginda diutuskan menjadi rasul sebagai pemuliaan dan penyediaan kepada baginda menerima wahyu dengan hati yang bersih.
  3. Israk hal ini berlaku ketika hendak bermunajat kepada Allah.

Hikmah kepada pembasuhan anggota sebanyak tiga kali adalah untuk mencapai tahap kesempurnaan.Hal ini berlaku sebagaimana syariah baginda s.a.w dalam bersuci.Hanya hati yang bersih layak untuk diperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah ketika Israk  serta melihat keindahan apa yang berada di atas langit dunia dan syurga ketika Mikraj.

Manakala hati yang kotor, dicemari dengan kuman kedengkian, buruk sangka, dendam, angkuh, ujub,riak dan sebagainya, tidak layak untuk semua keistimewaan di atas. Maka dengan itu sesiapa yang menginginkan keistimewaan daripada Allah SWT, hendaklah dia terlebih dahulu menjaga rapi akan keadaan hatinya.

  1. Memilih susu berbanding arak (Islam agama fitrah)

Ada perbezaan pendapat disini dalam menentukan ketika baginda diberi minuman tersebut.

Menurut  Ibn Kathir berkemungkinan diberi dua kali

  1. Sebelum baginda di mikrajkan
  2. Selepas baginda sampai ke sidratul muntaha di mana baginda melihat empat batang anak sungai iaitu dua antaranya adalah sungai Nil dan sungai Furat manakala dua lagi disembunyikan daripada pandangan baginda.

Pendapat yang masyhur adalah sekali sehaja iaitu keadaan yang pertama yakni sebelum baginda dimikrajkan.

Apapun ibrah yang lebih utama daripada peristiwa tersebut adalah simbolik Rasul s.a.w memilih susu, ia merujuk kepada agama Islam yang merupakan agama fitrah. Kata ibn Hajar susu itu dikaitkan dengan fitrah kerana ia merupakan minuman pertama manusia setelah dilahirkan.

Ia memberi gambaran kepada manusia untuk melaksanakan sesuatu ibadah dengan sebaiknya kerana dewasa kini ramai dalam kalangan manusia beribadah namun hanya bertopengkan kerosakan dan bukannya fitrah. Ia terselindung disebalik kecantikan luaran amal padahal hakikatnya ia tidak lebih daripadakepura-puraan semata. Dengan sebab itu, kita melihat segala permintaan sukar untuk dikabulkan kerana terdapat penghadang amal itu untuk sampai kepada Allah SWT. 

11834033-1170kredit foto: iso.500px.com

MIKRAJ

Langit pertama (menjauhi setiap jenis dosa-dosa)

Bertemu dengan Nabi Adam a.s. Antara hikmah yang tersembunyi adalah baginda merupakan nabi yang pertama dan bapa seluruh manusia. Di samping itu, perkaitan kepada umat seterusnya adalah sebagai peringatan kepada manusia tentang hukuman Allah kepada baginda yang terkeluar dari syurga. Dan baginda merinduinya semula jelas membawa erti bahawa manusia juga tidak terlepas daripada hukuman sekiranya membuat perkara terlarang, ia juga dapat disamakan dengan kisah hijrah Rasulullah ke Madinah sehinggakan baginda rindu untuk pulang Mekah.

Langit Kedua (menjauhi permusuhan dan sekatan terhadap usaha dakwah)

Bertemu Nabi Isa dan Yahya yang sering dimusuhi pengikutnya, telah berlaku permusuhan pada diri baginda Nabi s.a.w pada awal hijrah, baginda selalu dimusuhi orang-orang yahudi, mereka sering melakukan kejahatan terhadap baginda.

Langit Ketiga (menjauhi permusuhan saudara dan lazimi sikap memaafkan)

Bertemu Nabi Yusuf a.s. yang dikhianati oleh saudara-saudaranya sehingga beliau dilemparkan ke dalam perigi. Namun akhirnya dimaafkan segala perbuatan selepas sujud sebagai tanda penghormatan. Begitu juga nabi disakiti oleh kaum kerabat terdekat seperti Abu Sufyan, namun selepas Islam beliau memaafkan musuhnya. 

Langit Keempat (dakwah untuk keluarga dan masyarakat seluruhnya)

Bertemu Nabi Idris yang mempunyai martabat yang tinggi di sisi Allah SWT dan beliau merupakan nabi yang pertama berdakwah selain ahli keluarga iaitu pengikutnya.

Dan ceritakanlah ( hai Muhammad kepada mereka , kisah ) Idris yang terdapat di dalam al-Quran. Sesungguhnya beliau adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi.57 – Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” [Maryam : 56 – 57]

Langit kelima (berbuat baik balasan baik diterima dan teguh atas jalan kebaikan)

Bertemu Nabi Harun a.s di mana kaumnya kembali mencintai beliausetelah berbuat jahat kepadanya seperti yang berlaku sewaktu pembukaan kota Mekah bagi Rasulullah.

Langit keenam (sabar dalam perjuangan dibenar sifat cemburu ke arah kebaikan)

Bertemu Nabi Musa a.s yang berulangkali disakiti oleh kaumnya seperti mana yang berlaku kepada baginda namun mereka tetap bersabar. Juga Nabi Musa yang menangis kerana sedih dan cemburu terhadap umat Nabi Muhammad s.a.w yang lebih ramai berbanding umatnya.

Langit ketujuh (kekal dalam kebaikan hingga pengakhiran)

Bertemu Nabi Ibrahim yang menyandar di sisi Bait Al-Ma’mur (dimasuki tujuh puluh ribu malaikat dan tidak pernah memasuki buat kali kedua) yang menunjukkan hadiah penutup buat baginda dalam umur terakhirnya iaitu manasik haji. 

Turut disebutkan dalam Sirah Israk Mikraj

Ditunjukkan hadiah khas buat baginda iaitu telaga kauthar dan juga diperlihatkan dua kelompok dari arah kiri dan kanan baginda. Sebelah kanan tersenyum gembira kerana merekalah ahli syurga dan berlainanpula pada sebelah kiri yang menangis kerana mereka adalah ahli neraka.

Disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi bahawa baginda melihat beberapa bentuk seksaan terhadap orang-orang yang melakukan kesalahan di dunia. Walaubagaimanapun ibn Kathir menyifatkan hadis ini lemah kerana salah seorang perawinya. Tetapi masih tetap disebutkan oleh beliau disebabkan ibrah daripadanya terdapat dalil nyata yang menyokong. Antara seksaan tersebut adalah:

  1. i)  manusia berperut besar hingga tidak mampu berdiri

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. (al-Baqarah:275)

  1. ii)  manusia yang menelan bara api

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; (an-nisa’:10)

iii)  memakan daging saudara yang telah mati

 Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (al-Hujurat:12)

Terdapat pelbagai jenis seksaan lagi.Namun, sekadar suntikan buat kita untuk meninggalkan dosa-dosa yang telah dilarang oleh-Nya.Adapun seksaan yang tidak didatangkan hujah yang lebih kukuh untuk menyatakan kesahihannya adalah ditolak dari kebenaran fakta yang berkait dengan peristiwa israk mikraj.

Suatu perkara yang boleh kita muhasabah semula, kebanyakan seksaan yang disebutkan semua terkumpul pada umat kita pada hari ini.Riba berleluasa.Mengumpat berjela-jela.Justeru itu, bagaimana penyakit ini bisa diubati? Tidak lain tidak bukan dengan kefarduan solat yang sempurna seperti yang telah ditetapkan.

Ibrah umum daripada israk dan mikraj

Dalam peristiwa ini terdapat pelbagai macam pedoman yang boleh dijadikan panduan untuk manusia sejagat. Yang utama seperti yang disebutkan sebelum ini berkenaan solat kerana ia merupakan satu-satunya ibadah yang diterima terus oleh Rasulullah daripada Allah berbanding ibadah wajib yang lain. Adapun masih tersirat bermacam suri teladan yang lain padanya:

1. Selamatkan Masjidil Aqsa.

Masjidil-Al-Aqsa-Yang-Sebenarnya-2kredit foto: google.com

Masjidil Aqsa dan Masjidil Haram keduanya  mempunyai perkaitan sehingga sudah jelas dan nyata kedua-dua masjid ini diabadikan namanya oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Tujuannya adalah untuk mengingatkan umat Islam agar tidak lupa akan kedua-duanya.

Lihatlah pada hari ini orang ramai berduyun-duyun datang ke Masjidil Haram. Dalam kata lain,kita sanggup bergolok gadai untuk menjejakkan kaki ke Masjidil Haram tetapi dalam masa yang sama kita membiarkan Masjidil Aqsa dirampas oleh Yahudi laknatullah serta diperolokkan kesuciannnya oleh mereka.

Peristiwa israk dan mikraj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin dan mewakili usaha untuk mempertahankan Islam itu sendiri. Seandainya Masjidil Haram itu ditawan oleh musuh Islam, pasti seluruh umat Islam akan mengerah tenaga bagi memerangi musuh Islam dan begitulah sepatutnya yang berlaku dalam hal Masjidil Aqsa. Membebaskan Masjid al-Aqsa bukanlah tanggungjawab rakyat palestin semata malah tanggungjawab seluruh umat Islam secara amnya . Kecuaian mempertahankan dan membebaskan Palestin merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang beriman dengan Allah dan rasul-Nya kelak.

 

2. Keimanan tahap tertinggi.

Dua perkara berkaitan iman yang boleh diambil iktibar ialah pertamanya kisah keimanan Abu Bakar r.a terhadap peristiwa ini tatkala ramai yang tidak mempercayai sehingga beliau diberikan gelaran as-Siddiq. Selaku mukmin sejati kita wajib beriman kepada setiap apa yang telah Allah garapkan di dalam al-Quran dan apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Keduanya adalah manusia yang beriman dengan sebenar iman dan bersungguh melawan hawa nafsu dapat menandingi kehebatan para malaikat.Seperti mana yang kita ketahui dalam peristiwa mikraj, hanya Rasulullah sahaja orang yang telah sampai ke puncak tinggi yakni Sidratul Muntaha.

3. Kecintaan Rasulullah kepada umatnya.

Baginda telah berada di tahap tertinggi yang menjadi cita-cita setiap umat untuk bertemu sang pencipta Yang Maha Esa. Andai kata kita berada di tempat baginda sudah pasti kita tidak akan pulang semula ke bumi. Namun kerana kasih dan sayangnya terhadap umat,beliau kembali bagi meneruskan dakwah.

4.Dakwah Sunnah yang dilupakan.

Umat Islam merasakan bahawa sunnah hanyalah terletak pada serban dan jubah sahaja walhal ia merupakan sunnah paling besar. Kita haruslah berdakwah dan menyebarkan kebaikan agama Islam sebagaimana para sahabat, tabiin,tabi-tabiin dan ulama terdahulu berusaha melaksanakan gerak kerja dakwah ke seluruh pelosok dunia sehinggakan hari ini hampir di seluruh negara pasti wujudnya umat Islam. Syeikh Said Hawa  menegaskan seruan dakwah perlu disampaikan  kepada dua golongan iaitu pertamanya kepada muslim itu sendiri agar mereka  sedar akan tanggungjawab dakwah dan keduanya kepada yang bukan Islam untuk kembali kepada Islam yang suci dan tertinggi.

 

5. Perkembangan Teknologi

Idea penerokaan angkasa tercetus melalui peristiwa ini.Ia membuka kaca mata manusia dari sudut sains bahawa manusia sebenarnya boleh keluar daripada daya tarikan bumi. Angkasawan pertama secara keseluruhannya adalah baginda s.a.w meskipun ia adalah sebuah mukjizat, ia mampu membuka kotak pemikiran manusia untuk meneroka.

Kesimpulan

Israk dan Mikraj merupakan suatu peristiwa agung dalam lipatan sejarah umat Islam. Ia bukan sekadar hari yang disambut kemuliaanya dan berlalu begitu sahaja. Bahkan, ia adalah hari di mana manusia itu dimuliakan. Dimuliakan dengan ibadah pada-Nya. Dimuliakan kerana hanya bergantung harap pada-Nya tiada yang kedua kerana ia mengandungi ibrah sepanjang hayat iaitu solat. Justeru itu, mereka yang bijak dan ingin berjaya di dunia dan lebih lagi di akhirat akan berusaha menjaga solat dengan sebaiknya.

 

Disediakan oleh :
Unit Tafaqquh
Biro Pembangunan Insan
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2016/2017

 

Rujukan :
Sirah Nabawiyah oleh Syeikh Mustafa Sibaie
Rahiq Makhtum oleh Mubarak Furi
Hari-Hari Allah oleh Syeikh Yusof Al-Qardhawi

 

Tinggalkan komen anda