Home > Important Post > Kenyataan Rasmi : Gesaan Membayar Yuran Pengajian

Kenyataan Rasmi : Gesaan Membayar Yuran Pengajian

logo baru

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji kita panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat dan peluang yang di berikan kepada kita sehingga hari ini kita masih bernafas dan setia menggalas amanah sebagai seorang mahasiswa sains kesihatan. Tidak lupa selawat dan salam ke atas kekasih hati baginda Nabi Muhammad SAW atas jasa dan pengorbanan beliau, kita berdiri pada hari ini sebagai seorang Muslim yang benar benar memahami Islam hendaknya.

Baru-baru ini, pihak universiti telah menghubungi pihak PCZ berkenaan isu yuran yang tertunggak. Dalam kenyataan pihak universiti, mereka telah menggesa dan menyeru agar para pelajar melangsaikan yuran pengajian mereka dengan kadar segera. Pihak universiti telah menyatakan akan mengambil beberapa tindakan seperti menyekat pengeluaran slip keputusan peperiksaan akhir(syahadah) dan surat pengesahan belajar(tasdiq) bagi mereka yang gagal melangsaikan yuran pengajian mereka dalam waktu yang ditetapkan.

Oleh hal yang demikian, melihatkan situasi terkini pihak universiti yang semakin tegas dalam urusan yuran pengajian, maka pihak Jabatan Bendahari (JBEN) mengambil langkah awal dengan memaklumkan kepada semua ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) supaya bersegera untuk membayar yuran pengajian.

Pihak Jabatan Bendahari merasa bimbang sekiranya kekalutan sebelum ini akan berulang sekali lagi iaitu pihak universiti menghalang pelajar yang tidak membayar yuran pengajian untuk menduduki peperiksaan akhir tahun. Urusan yuran merupakan tanggungjawab pelajar dan perkara ini telah di pertegaskan oleh pihak universiti dan juga pihak EME. Pihak PCZ tidak mempunyai daya untuk membuat rayuan melewatkan tempoh bayaran.

Namun demikian, sekiranya para pelajar mempunyai masalah dalam menjelaskan yuran pengajian secara segera sebelum peperiksaan akhir, antara langkah yang dapat diambil adalah mengisi surat akuan daripada pihak universiti berkenaan tunggakan yuran pengajian kalian. Surat ini bertujuan bagi membolehkan pihak universiti mengeluarkan satu surat khas berhubung yuran kalian untuk diserahkan kepada pihak penaja kalian.

Keputusan membenarkan pelajar untuk menduduki peperiksaan terletak sepenuhnya pada pengurusan universiti. Perkara ini mungkin berubah mengikut ketetapan pihak universiti dan rayuan daripada pihak pelajar.

Kami berharap supaya setiap pelajar bersikap proaktif dan cakna dengan masalah ini dan berusaha untuk menyelesaikannya. Pihak PCZ sentiasa bersedia untuk cuba memberikan idea dan tenaga untuk membantu berdasarkan kemampuan kami.

Dalam kesempatan ini, kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua dan terus melangkah sebagai seorang penuntut ilmu yang amanah dengan ilmu kedoktoran. Kita tidak boleh sekali-kali berputus asa dalam memohon pertolongan dari Allah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat seperti firman-Nya di dalam al –Quran,

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ ,الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ 

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang  khusyu’ , (iaitu) orang-orang yang menyakini, bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya” (Al-Baqarah 2:45-46)

Perjalanan yang akan di tempuh ketika zaman mahasiswa inilah yang akan menentukan siapa kita pada masa hadapan di dalam masyarakat kelak. Oleh yang demikian, teruskan melangkah menggapai cita menjadi doktor muslim professional dan gunakan sehabis mungkin masa yang kita ada untuk melakar sejarah yang cerah pada masa hadapan.

Sekian.

” Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati “

maulana - bendahari

SHUKRI MUSLIM MAULANA BIN MAHAMAD ANUAR
Jabatan Bendahari
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2015/2016

JB - NISRIN

NISRIN BINTI CHE RAHMAT
Jabatan Bendahari
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2015/2016

 

Tinggalkan komen anda