Home > Menu > Karya > Artikel > Kenapa pentingnya jaga “IKHTILAT” ?

Kenapa pentingnya jaga “IKHTILAT” ?

ikhtilat

“ Takkan la aku ni lelaki nak duduk bersembang-sembang dengan perempuan tu pun tak boleh? Bukannya aku ada perasaan pun dengan dia, kitorang kan satu kelas, dah kawan lebih 3 tahun dah pon, takkan itu pon ikhtilat..”

“ Kitorang nak belajar sama-sama je pun, takkan itu pun dikira ikhtilat?”

Dialog sebegini sering sahaja timbul dalam komuniti kita.  Sering sahaja istilah ikhtilat itu disebut-sebut, tetapi adakah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat itu sendiri? Adapun jika kita telah memahaminya, adakah kita berusaha untuk menjaganya?Walaubagaimana pun, bagi menjelaskan situasi diatas samada dibenarkan dalam Islam mahupun sebaliknya, eloklah kita fahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat serta apakah hukum dan hikmah Islam menggariskan syarat-syarat tertentu dalam keharusan ikhtilat. Ianya sekadar peringatan untuk diri saya sendiri sebagai orang yang berkongsi dan sahabat-sahabat semua dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lebih sempurna.

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan”
[surah al-Ghaasyiyah : 88] 

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhtilat? 

Ikhtilat bermaksud pergaulan secara bebas diantara lelaki dengan perempuan yang ajnabi (orang yang tidak ada pertalian darah dan boleh berkahwin dengannya)pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau berdua-duaan, ditempat yang sunyi mahupun terbuka.

 Ianya terbahagi kepada dua bentuk:

Ikhtilat tidak syari’e (yang tidak mengikut syariat Islam). Sebagai contoh:

  • Yang boleh menjatuhkan maruah diri sebagai seorang muslim.
  • Percampuran yang boleh mendatangkan fitnah seperti percampuran ditempat yang sunyi atau tempat yang bukan kebiasaan perkumpulan seperti dewan atau bilik kuliah.
  • Berlaku perkara-perkara yang bercanggah dengan adab-adab Islam seperti bergurau senda antara lelaki dan perempuan yang ajnabi.
  • Percampuran dengan bukan pada matlamat yang dibenarkan atau bukan pada sebarang hajat yang perlu melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan.
  • Percampuran yang tidak mengasingkan tempat lelaki dan perempuan.

Ikhtilat syari’e (yang berlandaskan syariat Islam)

  • Mempunyai hajat yang memerlukan penglibatan antara lelaki dan perempuan.
  • Menjalankan tuntutan dakwah dan amar makruf nahi mungkar .
  • Menghadiri jemputan.
  • Menunaikan haji dan
  • Menuntut ilmu atau bermesyuarat.

Apakah hukum ikhtilat?

Daripada definisi yang dinyatakan ini memberikan penjelasan kepada kita bahawa pergaulan antara sesama jantina adalah berbeza hukumnya dengan berlainan jantina.Asas pergaulan sesama jantina adalah harus.Manakala pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah haram.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang masih tidak faham kenapa Islam menetapkan hukumnya haram. Secara mudahnya kerana ia merupakan perintah daripada ALLAH SWT. Menerusi surah An-Nur, ALLAH SWT memerintahkan golongan lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan serta kemaluan masing-masing. Ini adalah isyarat kepada kewajipan menjaga ikhtilat terutamanya yang dilarang kerana sudah menjadi fitrah bagi lelaki dan perempuan itu sendiri yang sentiasa tertarik antara satu sama lain, jadi Islam datang untuk menguruskan fitrah tersebut dengan sebaiknya.

Ikhtilat yang tidak dijaga juga boleh membawa kepada zina yang diharamkan kerana lelaki dan wanita ini telah Allah jadikan saling ingin menginginkan antara satu sama lain, bermula dengan berpandangan mata, senyum, bagi salam, bersembang, membuat perjanjian untuk berjumpa, kemudian berjumpa, dan akhirnya mungkin boleh terjerumus ke lembah  penzinaan.Sebagai balasannya,mereka yang terjerumus ke lembah ini akan dimasukkan ke dalam api neraka di akhirat kelak.Kesemua ini adalah jalan zina.ALLAH juga menyebut dalam Al-Quran dengan lafaz “ Jangan menghampiri zina”. Maksudnya semua jalan yang boleh  membawa kepada perbuatan zina adalah haram termasuk pergaulan bebas atau ikhtilat yang tidak dijaga seperti yang disebutkan ini.

Jadi kalau haram, bagaimana cara kita nak belajar, mahupun bekerja nanti?

Dalam hal ini, Ulama’ dari ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil pendapat yang pertengahan, iaitu bersederhana dalam percampuran antara lelaki dan perempuan, ianya tidak mengharamkan secara mutlak dan tidak juga menghalalkan secara mutlak. Namun apa yang perlu kita jelaskan disini, semua perkara yang hukum asalnya adalah haram amatlah perlu diteliti dengan sebaiknya. Oleh itu Ulama’  telah menggariskan beberapa keadaan yang membolehkan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan, yang haram pada asalnya bertukar kepada sesuatu yang diharuskan.

  • Dharurah (keadaan terpaksa)

Iaitu dalam keadaan ingin menyelamatkan dari keburukan yang lebih besar. Sebagai contoh mudah, seorang doktor lelaki ingin menyelamatkan pesakit wanita( atau sebaliknya)  yang terpaksa membuka aurat, maka ianya diharuskan. Namun jika doktor tersebut berlebih-lebihan dengan membuka tempat yang tiada kena mengena sewaktu rawatan,maka hukumnya kembali haram.Contoh yang lain adalah ingin menyelamatkan dari kehilangan nyawa dalam kemalangan atau keadaan bahaya, kehilangan maruah dan banyak lagi.

  • Hajat (keadaan keperluan)

Contohnya keadaan seperti dalam gerak kerja (mesyuarat, perbincangan & program),  menuntut ilmu, berjual-beli, kerja-kerja kehakiman, menjadi saksi, melaksanakan amar maaruf nahi mungkar, melayan tetamu, dalam kenderaan awam, percampuran yang menjadi kebiasaan dalam keluarga. Maka keadaan-keadaan tersebut adalah dibenarkan, akan tetapi jika ianya meleret sehingga bersembang-sembang kosong yang mana tiada kena mengena dengan hajat, maka hukumnya kembali kepada hukum asalnya, haram. 

Firman Allah dari surah an-Nur ayat 30 dan 31 yang bermaksud: 

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.” 

Daripada ayat ini juga menunjukkan pergaulan (ikhtilat) itu dibenarkan oleh syariat dalam suasana terpaksa dan keperluan, namun Islam telah meletakkan beberapa adab dan disiplin dalam pergaulan lelaki dan perempuanPerkara-perkara inilah yang akan mengekang sikap-sikap serong dalam pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi, agar tidak berlaku perkara maksiat. Antara adab dan disiplin dalam pergaulan adalah:

  1. Memastikan niat kita kerana Allah bukan sekadar untuk sembang-sembang kosong.
  2. Memastikan matlamatpergaulan pada perkara yang sepatutnya seperti yang dijelaskan diatas samaada dalam keadaan yang memaksa atau keperluan sahaja.
  3. Menundukkan pandangan sama ada lelaki mahupun perempuan.
  4. Tidak bersentuhan antara kulit mahupun berlapik.
  5. Sentiasa menutup dan menjaga aurat.
  6. Percepatkan urusan serta menjaga adab dalam berkomunikasi, ianya ringkas dan mudah difahami, tidak meleret dan berlebihan. Tidak melunakkan suara bagi perempuan sehingga boleh menarik minat lelaki.
  7. Mengasingkan tempat dengan pengasingan yang jelas samada kiri dan kanan mahupun depan dan belakang.
  8. Dibawah kawalan orang yang dipercayai dan memahami hukum Islam dan mampu menegur jika berlaku pemesongan daripada landasan Islam/ maksiat. Sebagai contoh dalam komuniti mahasiswa Malaysia di Mesir, peringkat JAKSI menetapkan pasangan yang sudah berkahwin sebagai orang yang dipercayai.

Solusi terbaik

Antara penyelesaian yang terbaik kepada persoalan ini adalah dengan cara setiap daripada kita mestilah memahami ajaran Islam dengan sebaiknya dengan mengetahui hukum-hakam yang berkaitan dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan .Tidak kira melalui kelas-kelas pengajian yang dianjurkan mahupun melalui pembacaan. Ia sebenarnya telah dijelaskan di dalam al-Quran, juga hadis dan kisah sirah nabawiyyah (sejarah Nabi SAW) . 

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat kita fahami dengan lebih jelas lagi berkaitan dengan ikhtilat dalam Islam.sekarang kita punya ilmu untuk menilai antara suruhan agama dan kehendak nafsu kita semata. Jika kita ingin mendekati seseorang yang kita sayangi,  pastinya kita akan melakukan sesuatu yang disukainya, lebih-lebih lagi jika kita ingin dekat dengan ALLAH  SWT dan kekasih-Nya baginda RASULULLAH  SAW, pastinya kita harus berusaha  untuk mematuhi semua peraturan yang ditetapkan agar tidak timbul perkara-perkara maksiat yang dimurkai ALLAH SWT.

Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:

Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah ALLAH nescaya ALLAH akan memeliharamu. Peliharalah ALLAH nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari ALLAH.Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan ALLAH. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang ALLAH telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang ALLAH telah tentukannya untukmu.Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).

Tinggalkan komen anda