Home > Menu > Berita > Program FBI Meraikan Ilmu Dan Para Ilmuwan

Program FBI Meraikan Ilmu Dan Para Ilmuwan

ZAGAZIG , 22 November 2015 – PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) telah melancarkan program Festival Budaya Ilmu (FBI) di bawah pengarahan saudara Mohamad Aisar Bin Ahmad, sebagai satu inisiatif untuk menjayakan usul Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) 2014/2015 iaitu “Menyuburkan budaya ilmu dalam komuniti Zagazig berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.” Program ini yang bertemakan “Berilmu, Bukan Sekadar Tahu!” diadakan secara bersiri dan berlanjutan selama seminggu, bermula pada 22 November dengan agenda pertama program iaitu sebuah majlis bernama “Follow Me” yang mempunyai slot bualbicara yang mengupas kitab karangan Sheikh Fathy Yakan bertajuk Maza Yakni atau dalam Bahasa Melayunya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”, dan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Helmi Bin Nor Isham, seorang graduan dari kuliah Usuluddin Tafsir di Universiti Al-Azhar Cawangan Dumyat.

fbi

     Slot bualbicara tersebut diadakan di dewan Zagazig Malaysian Student’s Hall (ZMSH), bermula pada pukul 7.00 sehingga 10.00 malam dan dihadiri oleh peserta-peserta FBI berdaftar. Al-Fadhil Ustaz Mohd Helmi membicarakan sambil mengambil rujukan pada kitab tersebut, tentang pentingnya kita untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam dan untuk menjadi seorang muslim bukan setakat kerana warisan, darah, atau secara zahir sahaja, tetapi secara menyeluruh. Al-Fadhil menyampaikan pembicaraan beliau secara berperingkat atau mengikuti bab-bab, meliputi akidah, ibadat, akhlak, keluarga, pengawalan diri, dan “yakin bahawa masa depan adalah untuk Islam”. Majlis ini juga mempunyai slot aktiviti berkumpulan setelah habisnya sesi bualbicara tersebut, di mana para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan satu soalan yang menyentuh perkara-perkara yang berbeza bagi setiap kumpulan seperti ikhtilat, Smart Circle, dan sebagainya.

     Saudara Ahmed Hannan Bin Mohamed Hussin, pelajar Tahun 1 dalam kuliah Perubatan di Universiti Zagazig berkata, “Bagi saya, di samping dapat menambahkan ilmu pengetahuan, program FBI dapat mengisi masa lapang kita dengan aktiviti yang berfaedah, menggalakkan penglibatan para peserta kerana adanya aktiviti-aktiviti pada setiap agenda yang bervariasi jenis, dan dapat merapatkan ukhuwah sesama kita terutamanya yang datang dari tempat yang jauh seperti Qaumeyah dan Kafr Zend.” Saudari Aisya Wahida Binti Nafiah, pelajar tahun 4 dalam kuliah Perubatan di Universiti Zagazig dan juga merupakan pengerusi majlis bagi agenda Follow Me pula berkata, “Saya berharap agar bermula dari sekarang, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi seorang muslim yang fokus dan faham akan tuntutan Islam. Dan saya berharap agar program FBI ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang supaya kita dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim di kalangan mahasiswa-mahasiswi dari pelbagai tahun pengajian dan kuliah, terutamanya dengan adik-adik yang baru menjejakkan kaki ke bumi Mesir, di samping dapat memantapkan lagi keyakinan dalam membentuk jati diri para mahasiswa.”

 Majlis Follow Me hanyalah agenda pertama dalam kronologi program FBI yang berlangsung selama seminggu. Agenda-agenda yang menarik ialah Forum Gen-Y: “Terbuka Bukan Hanyut, Tertutup Bukan Jumud” pada 23 November, Bahas Bahasa Melayu Piala Pengerusi peringkat kumpulan pada 24 dan 26 November dan pusingan akhir pada 27 November bersama-sama dengan bengkel penulisan “Pena Kreatif”, Bazar Citarasa Kita, forum berjudul Checkmate: “Nasib Umat Islam Dalam Percaturan Politik Dunia” dan Malam Anugerah Cemerlang. Agenda terakhir pula ialah Library Day pada 28 November dan juga merupakan agenda penutup bagi program FBI.

Diharapkan agar festival ini terus mendapat sambutan hangat dari ahli Zagazig seterusnya menyemarakkan lagi budaya ilmu di kalangan ahli.

 

Disediakan oleh,

Fazlan Shah bin Henny Shahril,
Unit Liputan,
Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2015/2016

Tinggalkan komen anda