Home > Menu > Karya > Artikel > Papa, Adik Janji

Papa, Adik Janji

Sebuah coretan kisah berkisar tentang seorang gadis remaja yang tidak menitikberatkan perihal aurat. Namun hidayah Allah menyapa dan membimbing gadis ini ke arah menjadi muslimah yang lebih baik.

1

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Ahzab: Ayat 59

“Kecantikan seseorang wanita itu bukan terletak pada alat mekap apa yang menghiasi wajahnya, namun terbias daripada hatinya yang suci, pemakaian yang menepati syariaat dan tunduk dalam sifat tawadhuk dan taat”

Suraya terpaku di hadapan skrin laptop. Matanya tertancap lama pada petikan kata-kata hikmah tersebut. Kata-kata yang dinukilkan di sebuah blog itu benar-benar menusuk hatinya. Serasa ada suatu perasaan yang mengalir di dalam jiwa. Suraya menggumam rasa. Sedari tadi Suraya tidak berganjak dari meja studynya. Direnung potret insan tersayang  yang menghiasi sudut meja. Rindu. Teramat rindu pada insan itu. Air matanya diseka. Sebak bergulung di dalam dada. Namun Suraya tahan supaya tidak terhambur raungan itu. Takut mengganggu teman serumah. Dalam kegelapan malam, hanya bersuluh cahaya suram lampu bilik tidur dan biasan cahaya skrin laptop, satu demi satu blog-blog Islamik yang menyentuh perihal aurat muslimah telah dilayarinya. Namun dalam banyak-banyak blog yang dilewati, kata-kata ini yang seakan lekat di hatinya.

“Sudah tiba masanya…” Suraya bermonolog sayu.

Suraya bangkit daripada kerusi. Seakan ada suatu semangat baru yang menerpa diri. Perubahan yang memerlukan bukan sekadar laungan teori tetapi manifestasi tindakan. Langkah longlainya menapak ke cermin yang tersergam gah di tengah bilik tidurnya. Suraya melihat dirinya dalam-dalam.

Ya, dia akui. Walaupun pada pandangan teman-teman di luar Suraya beruntung kerana memiliki wajah persis sang ratu, namun Suraya masih merasai ada yang tidak lengkap, ada yang tidak sempurna, ada yang tidak kena pada dirinya.

Suraya mengurai-urai rambut ikal mayangnya yang sengaja diwarnakan perang, yang menyerlahkan lagi kecantikan wajahnya yang berdarah kacukan melayu-irish. Namun, yang nyata, kecantikan yang tidak menepati syariat hanyalah kecantikan palsu belaka. Dengan secalit wajah ayu dan tubuh yang dibaluti fesyen terkini yang tidak seratus-peratus menutup aurat, ditambah dengan tubuhnya yang tinggi lampai serta lenggok gaya ala model, cukup untuk membuatkan Suraya menjadi siulan dan pujaan teman sekuliah. Bagi Suraya, definisi kemodenan itu adalah pakaian yang singkat dan ada ‘class’. Semakin singkat, semakin moden. Apa nak dirisaukan. Buka minda. Kita sedang menuju alaf baru. Minda tidak boleh di takuk lama. Begitulah pendapatnya tika kejahilan merajai jiwa.

Walaupun Suraya terkadang rimas dan lemas, namun nafsu yang melingkari hatinya membuatkan Suraya tenggelam dalam keasyikan dunianya tersendiri. Fitrah kesucian yang mendambakan kebaikan terkapai-kapai hanyut tenggelam di dalam gelombang kejahilan. Tambahan dengan usia yang menginjak dewasa, Suraya galak mengikut arus dunia. Namun diakui, dalam kehidupannya yang penuh populariti, Suraya rasa ada sesuatu yang kosong pada dirinya. Namun,dia cuba meneruskan kehidupan seperti biasa.

Sehinggalah berlaku satu peristiwa yang menarik tabir lenanya…

…………

“Adik… papa dah tak lama ni dik.. sakit sangat dah ni,” kata Encik Hisyam, papa Suraya sambil mengurut-urut dadanya. Suraya menangis tersesak-esak di sisi papanya. Sebagai anak tunggal dalam keluarga, Suraya sememangnya menjadi anak kesayangan. Mama Suraya yang turut berada di sisi suaminya turut mengalirkan air mata. Sayu dan sendu.

“Pa.. jangan cakap macam tu pa… adik tak sanggup hidup tanpa papa…,” Suraya meraung dan menangis.

“Adik, satu papa nak pesan sebelum papa pergi. Dik, janji dengan papa. Pakai tudung yaa sayang. Maaf papa tak didik adik dengan sebaiknya. Papa culas dalam agama. Tak didik anak dengan baik. Papa menyesal. Maafkan papa dik. Adik janji yaa dik. Tutup aurat. Pakai tudung. Papa takut. Papa tak sanggup disoal Allah nanti. Kesian papa dik. Dengar cakap mama. Jadi anak yang baik.”

Encik Hisyam tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Dadanya berombak kencang. Doktor dan petugas perubatan meminta Suraya dan mamanya tunggu di luar. Dalam hati mereka berdoa agar Allah menyelamatkan Encik Hisyam.

…………

Suraya merenung sayu kubur yang masih merah itu. Bercucuran air matanya. Perancangan Allah tiada yang berdaya menolaknya. Allah telah mengambil  papanya. Tiada lagi insan yang akan bergelak tawa bersamanya. Sudi mendengar masalahnya. Berjenaka….ah..rinduuu…cukup rindu…

Setelah Encik Hisyam didiagnos menghidap masalah paru-paru yang dijangkiti kuman, kebahagiaan mereka sekeluarga seakan direggut. Kehidupan mereka banyak dihabisan di hospital yang seakan sudah menjadi rumah keduanya.

“Papa, adik janji….” Kata Suraya dalam tangisan sendu.

…………

Janji yang dilafazkan, bersaksi makam yang masih merah dan Allah sebagai Pemerhati Yang Utama, Suraya sedaya upaya mengotakan. Bukan kerna sesiapa, tetapi kerna Yang Esa. Juga demi kasih pada ayah tercinta. Kasih seorang anak yang tidak mahu si ayah diseksa di alam sana disebabkan oleh dosa anak perempuannya. Sungguh tidak berbudi taraf anak itu jika tegar membiarkan ayah menanggung dosa.

…………

Suraya semakin tekun mempelajari agama. Buku-buku yang menyentuh perihal aurat dan akhlak wanita muslimah banyak yang dikhatamnya. Alhamdulillah.. suatu perubahan yang cukup drastik. Walaupun kehilangan Ayah tercinta, namun hidayah yang datang menyapa sungguh begitu berharga melebihi dunia dan seisinya. Suraya bertekad ingin berhijrah ke arah yang lebih baik.

Namun sebagai manusia, terkadang perubahan itu perlukan kekuatan di dalam diri. Bukan sedikit yang memerli tika pakaian labuh menjadi ganti. Usikan, perlian, gelakan teman-teman membuatkan telinga Suraya seakan bernanah. Perit mendengar. Namun di sebalik kepahitan, terselit kemanisan iman yang semakin bercambah subur.

Dalam melayari bahtera perubahan, tiada mungkin tidak terselit ujian. Jalan terbaik untuk tidak terus hanyut dibawa gelombang adalah berpegang teguh pada tali keimanan. InsyaAllah moga selamat kita sampai ke pelabuhan.

Syaitan tidak pernah akan duduk diam. Ada sahaja perancangan supaya kita jauh daripada Tuhan.

Jadi, kuatkan diri.

Mujahadah itu pahit kerna syurga itu manis.

Dalil-dalil penting berkaitan aurat: 

  • Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah : “Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Riwayat Muslim dan Bukhari).
  • “Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan dihari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibnu Majah)
  • “Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • “Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Duhai muslimah,

Perhiasan dunia yang paling sempurna adalah wanita solehah

Mengapa mudah mencabut maruah yang membaluti diri sedangkan ia benteng yang merentasimu daripada neraka?!!

Di mana malumu? Di mana seganmu?

Begitu mudah kita leka dengan keseronokan dunia sedangkan akhirat yang lebih utama

Duhai muslimah,

Di mana yang terbuka, tutuplah… di mana yang masih belum melengkapi syariaat, sempurnakanlah..

Hidup di dunia hanya singgahan…

Sebentar nanti kita bakal pulang..

Sedarlah…

Tinggalkan komen anda