Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Kenyataan Rasmi: Pelantikan Pengarah Dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN Sesi 2015/2016

Kenyataan Rasmi: Pelantikan Pengarah Dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN Sesi 2015/2016

logo baru

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang tidak terhingga ini, dapat kita meneruskan kehidupan dengan segala nikmat dan rahmat-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW atas berkat perjuangan baginda, kita dapat menikmati dua nikmat terbesar pada hari ini iaitu nikmat iman dan Islam.

Allah SWT telah menurunkan agama Islam sebagai agama yang benar dan paling sempurna. Melalui wahyu yang disampaikan kepada Rasulullah SAW, Allah SWT mengatur segala hal dalam urusan setiap hamba-Nya termasuk di dalamnya urusan kepimpinan dan sistem kepimpinan. Kepimpinan adalah satu aspek yang penting dalam sesebuah organisasi dan juga masyarakat. Pimpinan bertanggungjawab membantu dalam mengurus tadbir urusan dan membimbing masyarakat ke arah kebaikan atau kebenaran. Ia seiring dengan tujuan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, mentadbir dunia dengan kebaikan dan menegakkan syiar Islam di muka bumi.

Petikan kata-kata Imam Ibnu Taimiyah Rahimullahu Ta’ala yang boleh kita renungi bersama, “Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajiban agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”

Maka, adalah satu tanggungjawab yang besar ke atas kita dalam memilih pemimpin. Satu tanggungjawab yang pasti akan ditanya di akhirat kelak. Memilih pemimpin juga perlu melihat syarat-syarat dan ciri-ciri yang Islam gariskan, antaranya ialah memilih pemimpin yang arif akan agama, amanah dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan rakyatnya.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) 2015/2016.

Seperti yang semua sedia maklum, saban tahun legasi kepimpinan PERUBATAN silih berganti, pimpinan yang baharu akan menggantikan yang lama. Barisan pimpinan PERUBATAN, sama ada di peringkat Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) mahupun di peringkat PERUBATAN Cawangan akan dipilih oleh ahli PERUBATAN yang berdaftar setiap tahun. Barisan pimpinan yang dilantik bertanggungjawab dalam membawa PERUBATAN selari dengan tujuan penubuhannya dan agenda tahunan PERUBATAN.

Proses pelantikan barisan pimpinan PERUBATAN akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa bebas yang ditubuhkan khas yang dinamakan Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC). Mereka bertanggungjawab memastikan proses pemilihan dalam keadaan bebas dan bersih serta berjalan dengan lancar.

Selari dengan Perlembagaan PERUBATAN, Fasal 17 (1)(a): “Jawatankuasa Khas untuk pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN yang selepas ini disebut sebagai Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN.” maka Lembaga Penasihat PERUBATAN 2015/2016 dengan ini telah bersetuju untuk melantik:

1. Muhammad Zariff bin Mat Yusoff sebagai Pengarah JPP 2015/2016

2. Nurul Husna binti Muryadi sebagai Timbalan Pengarah JPP 2015/2016

Semoga pilihan raya kali ini akan lebih meriah dan berjalan dengan lancar. Akhir sekali, saya mengajak seluruh ahli PERUBATAN untuk terlibat dengan pilihan raya kali ini dan sama-sama turun mengundi dalam pelantikan barisan pimpinan yang berwibawa.

Sekian, terima kasih.

ARIF RUKAINI pres

Mohamad ‘Arif Rukaini b. Mohamed Sufian,
Ketua Lembaga Penasihat PERUBATAN sesi 2015/2016

Tinggalkan komen anda