Home > Menu > Karya > Artikel > Artikel : Memaknakan Kembali Patriotisme dan Janji Kemerdekaan

Artikel : Memaknakan Kembali Patriotisme dan Janji Kemerdekaan

b84c5756f6a889fa332015e4458021f9_XL

“…akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.” –Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Pemasyhuran Kemerdekaan yang diucapkan pada 31 Ogos 1957 itu merupakan suatu janji, cita-cita bangsa, ucapan keramat dan menandakan munculnya negara baru yang bebas daripada penjajah kolonial dan terbitnya negara yang menjunjung kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Percayalah, kemerdekaan tanah air kita ini bukan hanya untuk bebas daripada cengkaman kolonialisme, tetapi lebih daripada itu. Kemerdekaan di tanah air ini hadir untuk melaksanakan keadilan sosial buat seluruh rakyat tanpa mengira darjat, kaum dan agama. Bahkan kemerdekaan juga hadir untuk melindungi, mensejahterakan dan memberdayakan rakyat.

Memaknakan semula patriotisme

Makna patriotisme adalah suatu sikap sedia berkorban untuk kejayaan dan kemakmuran tanah air. Ataupun dalam bahasa yang mudah, disebut sebagai semangat cinta akan tanah air. Apatah lagi untuk bersama-sama mencapai, mempertahankan dan mengabdikan identiti, integriti, kemakmuran dan kekuatan bangsa itu sendiri.

Adalah tidak patut untuk kita menilai semangat patriotik seseorang itu hanya sebatas kibaran bendera yang dilakukan, memaparkan bendera Malaysia samada di hadapan rumah mahupun di kereta, atau juga dengan menghadiri perhimpunan aman yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa. Ianya sungguh dangkal jika ada yang berfikiran sebegitu.

Jika dahulunya pemahaman patriotisme dan nasionalisme ini digunakan sebagai ideologi perlawanan terhadap sistem penjajahan dan penindasan,tetapi pada zaman moden sekarang, kita memerlukan pemaknaan semula kepada memahami erti sebenar semangat patriotisme supaya ia terus relevan dalam memajukan bangsa Malaysia.

Patriotisme masih lagi diperlukan untuk memupuk semangat cinta akan bangsa dan tanah air dan secara tidak langsung mampu untuk menumbuhkan kemajuan dan toleransi dalam keragaman yang kita ada di Malaysia. Kerana kita bercakap dalam konteks kesatuan kaum.

Kita juga tidak patut memandang patriotisme itu hanya disekat fahaman cauvinisme. Sekiranya kita masih disekat fahaman-fahaman  sebegitu, ianya akan menimbulkan patriotisme garis keras. Ianya bersifat ekstrim dan akan menjadi eksklusif sebatas kaum dominan sahaja.

Nilai patriotik yang sebenar

Semangat patriotik sebenar yang wajib dihayati seluruh rakyat Malaysia adalah dengan kita memenuhi janji-janji kemerdekaan. Pemasyhuran Kemerdekaan yang diucapkan Tunku Abdul Rahman itu bukanlah semata-mata ekspresi kosong, tetapi ia adalah janji. Janji untuk melindungi, mensejahterakan,dan memberdayakan seluruh rakyat Malaysia.

Jadi soalnya sekarang adalah bagaimana untuk kita melunasi janji-janji kemerdekaan. Ia bukan hanya tanggungjawab pemimpin negara. Tetapi ia adalah tanggungjawab seluruh anak bangsa. Ia adalah tanggungjawab kita bersama.

Kita sangat mengimpikan akan lahir ramai anak muda yang mempunyai idealisme yang jelas, berilmu, kepekaan yang tinggi terhadap negara dan juga mempunyai hati nurani untuk melunasi tujuan dan janji-janji kemerdekaan kita iaitu terciptanya keadilan untuk semua, kemakmuran tanpa pilih kasih, dan ikatan persaudaraan yang tulus antara semua kaum tanpa mengira apa pun sukunya dan juga agama.

Perayaan hari kemerdekaan juga bukanlah hanya untuk memperingati pejuang-pejuang yang terkorban tetapi adalah untuk memperkukuh dan memperteguhkan janji kemerdekaan kita. Lantas memacu kita untuk terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah bangsa yang maju.

Akhir sekali, izinkan saya mengutip puisi yang ditulis Chairil Anwar yang sangat bermakna untuk mengenang pejuang-pejuang bangsa kita, meskipun berlainan latar tetapi keterkaitan maksudnya masih ada dengan kita:

Kami cuma tulang-tulang berserakan,
Tapi adalah kepunyaanmu,
Kaulah lagi yang tentukan nilai tulang-tulang berserakan,
Ataukah jiwa kami melayang untuk kemerdekaan,
kemenangan dan harapan,
atau tidak untuk apa-apa,
Kami tidak tahu, kami tidak lagi bisa berkata,
Kaulah sekarang yang berkata,
Kami bicara padamu dalam hening di malam sepi,
Jika dada rasa hampa dan jam dinding yang berdetak,
Kenang, kenanglah kami. –  4 September 2015.

Oleh :
NAZIRUL MUBIN HAMDAN,

MAHASISWA UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM).

**Artikel yang ditulis adalah dari sudut pandang penulis semata-mata

 

Tinggalkan komen anda