Home > Menu > Karya > Artikel > Ramadan Terakhir

Ramadan Terakhir

“Ish.. korang tengoklah si Aqiff tu. Nak tunjuk baiklah tu konon. Jangan haraplah orang nak percaya..” kata Razif pada rakan-rakannya, sambil menjuihkan bibir dan menjeling ke arah seorang pemuda yang sedang tekun membantu melipat sejadah dan mengutip sisa makanan yang bertaburan usai moreh pada malam itu. “Muka kalau dah dicop jahat, banduan pulak tu, buat baik macamanapun sia-sia..” tambah Halim. “Hahaha..” mereka ketawa berdekah-dekah. Walaupun perbualan lima pemuda itu agak jauh dari Aqiff, namun Aqiff dapat merasakan, tawa dan senyuman sinis mereka yang menjeling-jeling ke arahnya memang khas buatnya. Hati Aqiff terguris, pedih, ngilu. Namun, cuba dikuatkan diri. Dalam diam hati Aqiff berbisik, “Ya Allah, kuatkan aku..” Walaupun sedih, Aqiff tetap meneruskan kerja-kerjanya.

“Eh.. sudah-sudahlah. Astaghfirullah.. tak baik kita mengumpat orang di bulan yang mulia ni,” kata seorang lagi pemuda, sambil tersenyum dan cuba menekup mulut menahan gelak. Lagak gayanya seperti imam muda. Lengkap berjubah dan berketayap. Ya, itulah Ehsan, ustaz muda lulusan Timur Tengah. Memang ramai anak muda kampung yang kagum dengannya. Suaranya yang merdu tika mengalunkan al-Quran, lulusan agama dan ditambah dengan secalit wajah yang tampan sudah cukup membuatkan Ehsan mempunyai kelompok pengikutnya tersendiri. Secara zahiriahnya Ehsan memang mempunyai pakej yang lengkap, namun hakikatnya mungkin tidak seperti yang dilihat. Jelas, tegurannya tadi pada rakannya yang lain bukan seikhlas hatinya. Namun semakin galak menambah perasa dalam umpatan mereka. Tanpa sedar, malaikat sedang mencatat.

Mereka berjalan beriringan keluar meninggalkan perkarangan masjid at-Taqwa. Kini, tinggallah Aqiff sahaja bersama Pak Muda yang baru selesai menutup lampu dan pintu masjid. Mereka juga sedang bersiap-siap untuk pulang.

“Pak Muda, Aqiff balik dulu yaa,” kata Aqiff sambil mencium tangan tua Pak Muda, antara penduduk yang lama menetap di Kampung Adabi. Pak Muda mengusap-usap kepala Aqiff seraya berkata, “Aqiff, Pak Muda bangga dengan Aqiff sekarang. Pak Muda harap, Aqiff kekalkan ya nak perubahan diri ni. Banyak-banyak doa di bulan Ramadan ni. Moga Allah berkati kita. Pedulikan apa orang kata ya nak”. “ Baik Pak Muda. InsyaAllah. Aqiff balik dulu yaa. Assalamualaikum” “Waalaikumussalam. Kirim salam pada ayah yaa” “Baiklah Pak Muda”. Mereka pun pulang membawa haluan ke rumah masing-masing.

**

“Assalamualaikum, mak, ayah. Aqiff dah balik,” Aqiff berjalan penuh sopan dan tertib, menapak menuju ke bilik. Namun, beberapa langkah sebelum masuk ke biliknya, tiba-tiba, ’PAANGGG!!’ “Aduhh!!” Aqiff terjelopok dan jatuh. Kopiahnya terlacar ke hujung dinding rumah kayu itu. Aqiff meraba-raba pipinya. Terasa pijar dan pedih sekali. Aqiff memegang pipinya dan memandang dengan takut-takut ke arah sosok tubuh yang kecil dan tua itu. “Aa.. ayahh.. apa salah along ayah..” “Kau ni kan, tak habis-habis memalukan aku. Lepas satu, satu masalah yang timbul. Aku malu tahu tak” kata Pak Deris, ayah Aqiff. Dengan misainya yang lentik dan matanya yang merah menahan kemarahan membuatkan suasana cukup tegang.

“Abang,, sudahlah tu. Sudahlah. Takde bukti pun abang yang anak kita buat tu. Anak kita dah tak macam dulu. Abang percayalah,” kata Mak Yam sambil menangis dan memeluk Aqiff. Aqiff tidak menyedari bila ibunya muncul kerana mindanya hanya terarah pada ayahnya. Namun sekurang-kurangnya dia lega, ada ibu yang masih membela. Cuma,dia masih pening-pening lalat. Tidak faham. Apa sebenarnya yang telah dia lakukan.

“Kau yang pecah masuk rumah Wak Karto orang kaya tu kan??! Dasar anak tak tahu diuntung. Mari sini, nak kena lagi dengan aku ni kan,” kata Pak Deris sambil mengangkat tangan. Hasratnya ingin melempang Aqiff buat kali kedua terbantut apabila Mak Yam pula bangun bertindak. Mak Yam memegang tangan suaminya. Kalah. Pak Deris kalah. Pak Deris merentap tangannya dengan kasar dan terus meninggalkan dua beranak itu dan keluar ke pangkin rumah.

Aqiff tidak menangis. Dia sudah lali. Kini tahulah dia, bahawa dia sekali lagi telah dituduh mencuri. “Mak.. along minta maaf ya mak. Disebabkan perangai jahat along dulu, sampai sekarang mak dan ayah kena tanggung malu. Maaf ya mak. Tapi mak percaya along kan. Along dah tak buat mak. Bukan along yang pecah masuk rumah Wak Karto tu.” Kata Aqiff sambil memandang Mak Yam sayu, cuba meraih kepercayaan daripada ibu kandungnya. Hanya ibu satu-satunya harapan beliau. Mak Yam mengangguk sambil mencium Aqiff. “Sudahlah sayang. Pergi masuk tidur. Ni dah lewat. Esok nak sahur.” “Baik mak” Aqiff akur.

Pak Deris masih berada di luar rumah. Disebalik hembusan asap rokoknya, Pak Deris cuba mencari ketenangan. Marahnya sudah reda, namun kesedihan pula yang menyapa. Berkerut-kerut dahi tuanya yang kedut seribu menahan sebak dan sendu. Namun, menitiskan air mata? Oh, tidak sama sekali. Ego Pak Deris pada isteri dan anak tunggalnya cukup tinggi. Namun, kasih ibu sehingga ke syurga, kasih bapa sejati selamanya. Pak Deris memandang tangannya yang terketar-ketar. Rasa bersalah kerana menampar Aqiff menjalar di hatinya. Jauh di sudut hatinya, dia sendiri dapat merasakan, perbuatan itu bukan salah anaknya. Bukan anak kandungnya yang lakukan. Namun, rasa malu dan ego mengatasi segala. Terimbau peristiwa tadi, usai berbuka puasa, saat Aqiff berada di masjid, rumah buruk mereka didatangi Wak Karto dan pengikutnya. Pak Deris yang selalu sakit-sakit sejak belakangan ini dan hanya mampu solat di rumah sahaja, baru berkira-kira ingin ke bilik air untuk berwuduk, namun dikejutkan dengan goncangan kuat pintu rumahnya. Berdetak-detak mangga pintu melantun.

Saat dibuka pintu, belum sempat Pak Deris bersuara, seperti machine gun, kata-kata kesat, tuduhan dan makian dilemparkan oleh Wak Karto pada Pak Deris. Katanya Pak Deris tidak pandai didik anak. Tidak pandai jaga anak. Aqiff pencuri dan pelbagai lagi kata-kata. Mak Yam hanya mampu beristighfar sambil mengesat air mata.

Suara nyamuk yang berdengung di telinganya membantutkan lamunan Pak Deris.

“ Ish..kacau betullah,” gumam Pak Deris. Lantas bangkit dan masuk kembali ke dalam rumah.

**

Aqiff masih menekup wajahnya pada bantal. Dua peristiwa yang benar-benar menyedihkan hatinya berlaku pada malam ini. Sudahlah disindir rakan sekampung, ayah kandung pula yang tidak mempercayai dirinya membuatkan dadanya cukup sesak dan sebak. Namun, Aqiff redha. Mungkin ini adalah kaffarah atas dosanya. Perlahan-lahan Aqiff membuka kembali lembaran ingatannya pada kehidupannya yang lalu. Walau Aqiff sedaya-upaya ingin membuang segala memori itu, namun Aqiff sedar dia masih lemah untuk melupakan segalanya. Sementelah, dia masih baru dalam penghijrahan ini.

Siapa tidak kenal Aqiff. Sedari awal remaja sehingga usianya mencapai mencapai 24 tahun, Aqiff dikenali sebagai “Kacang Hantu” dalam kalangan penduduk kampung. Sifat nakalnya keterlaluan. Aqiff juga tidak nafikan, dahulu dia memang suka mencuri duit penduduk kampung, suka menyakat anak gadis, melepak tanpa arah tujuan, solat diabaikan, puasa jauh sama sekali. Aqiff juga selalu melawan kata ibu dan ayahnya. Jika hendak dibandingkan diri Aqiff dengan Ehsan, ustaz muda kesayangan penduduk kampung, perumpamaannya “seperti  langit dan bumi”.

Aqiff sedar itu semua. Dalam keikhlasannya, Aqiff juga berdoa agar suatu hari nanti dapat menjadi seperti Ehsan, tinggi ilmu agama, dapat merantau ke Tanah Arab menimba ilmu, namun Aqiff juga sedar, impian itu umpama “mengimpikan hujan turun di tengah gurun Sahara”.

Pedih. Perit. Kusut. Tidak tenang. Aqiff menjadi semakin sesak dadanya jika teringatkan memori lalu. Aqiff bangkit. Perlahan dia membuka pintu, menapak ke bilik air. Berhati-hati jalannya, tidak mahu mengganggu Pak Deris dan Mak Yam yang mungkin sudah tidur. Aqiff berwudhuk dengan sempurna. Selesai berwudhuk, Aqiff bersolat. Hanya disitu Aqiff temui ketenangan. Menakjubkan! Kekusutan jiwanya seakan terungkai tatkala dahinya mencecah sujud. AllahuRabbi. Suatu ketenangan luar biasa mengalir di dalam urat sarafnya, hatinya terasa lapang. Kesakitan ditampar tadi seakan reda dirawat air mata syahdu, pilu yang membasahi pipinya. Sujud akhir Aqiff begitu lama. Aqiff selalu mempraktikkan sujud akhir yang lama di dalam solat, setelah Pak Muda memberitahunya sebelum ini bahawa, saat itu, Allah begitu dekat dengan hamba NYA. Ilmu baru bagi Aqiff.

Usai solat, Aqiff berdoa. Mengadu pada yang Esa. Mengharap secangkir kerahmatan dicurah ke dalam dada, buat pedoman, pengikat ketaqwaan dalam jiwa, dalam menjalani fasa penghijrahan yang masih panjang dan mungkin tidak menjanjikan seribu kemanisan.

Aqiff meraup wajah penuh keikhlasan, mengharap doa diterima. Aqiff mencapai al-Quran tafsir, hadiah daripada Pak Muda. Al-Quran tafsir tersebut menjadi teman karibnya semenjak beliau bertatih-tatih dalam arena penghijrahan ini. Suatu harta yang cukup bernilai buat Aqiff kerana ayat-ayat suci itu menjadi perantaraan bagi Yang Maha Esa dengan dirinya. Cinta. Aqiff cukup cinta dengan hobi barunya iaitu mentadabbur ayat suci al-Quran. Suatu ketenangan dan kemanisan yang belum pernah Aqiff rasai sebelum ini. Aqiff membaca al-Quran dengan perlahan-lahan. Aqiff belum mampu membaca dengan lancar, masih merangkak-rangkak. Namun Aqiff kuat semangat. Ditambah dengan dorongan Pak Muda, Aqiff terus kuat. Aqiff bersyukur Allah kurniakan Pak Muda dalam membantunya mendalami agama. Besar jasa Pak Muda. Moga insan tua yang beriman tersebut mendapat sahamnya di akhirat kelak, doa Aqiff. Aqiff memujuk hati sedihnya dengan selang seli membaca terjemahan ayat, sehinggalah matanya tertancap pada satu ayat yang benar-benar menyentuh hatinya :

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) : sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah Ayat 186)

Ayat ini benar-benar memujuk hati Aqiff. Aqiff tersenyum. Biarlah seluruh manusia membencinya, namun jika Allah ada,itu sudah cukup baginya.

Hidayah yang datang menyapa Aqiff adalah satu benda mahal yang tidak mampu ditukar ganti dengan seisi dunia. Teringat Aqiff pada peristiwa emas itu, titik tolak pada perubahannya hari ini. Fikirannya melayang kembali pada peristiwa tersebut yang berlaku pada Ramadan tahun lalu..

**

Malam 27 Ramadan 2014/1435 H.

“Aduhhh… tolongggggggg… mak ayahhhhhhhh… tolong along mak. Sakittt… Ya Allah ampunkan aku…aku tak buat lagi Ya Allah…. Tolongggg… arghhhhhh!!!”

Aqiff menjerit. Aqiff tidak mampu berlari kerana dirinya dikepung oleh api yang sungguh besar dan panas. Asap hitam yang melangit tinggi membatasi pandangannya. Dalam keadaan yang sungguh dasyat itu, tiba-tiba Aqiff terlihat seorang lelaki tua berjubah putih, berwajah bersih yang melambai-lambai ke arahnya. Lelaki tua itu menghulurkan tangannya ke arah Aqiff. Aqiff terselamat daripada kepungan api yang luar biasa itu.

“Wahai anak muda. Tahukah kamu..” Lantas lelaki tua itu membacakan satu ayat al-Quran :

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Az-Zumar : 53)

Kemudian, lelaki tua itu hilang daripada pandangan… 

Aqiff terjaga. Ya Allah. Tubuhnya berpeluh. Dia menggigil. Matanya melihat jam pada  dinding. Pukul 2 pagi! Aqiff terasa peristiwa tersebut seakan benar-benar di alam realiti. Aqiff menangis semahunya. Baharulah Aqiff sedar dosanya setinggi gunung. Allah memberinya hidayah melalui mimpi. Aqiff menyesal. Benar-benar menyesal. Aqiff menangis semahunya sehingga subuh.

**

Hampir setahun peristiwa itu berlaku. Aqiff tersenyum. Sungguh mimpi yang menakjubkan tersebut begitu berharga buat dirinya. Aqiff bersyukur kerana Allah S.W.T masih lagi memberinya kesempatan untuk bertaubat. Aqiff takut. Takut pada azab kubur dan hari akhirat.

Aqiff menjeling ke arah botol kosong yang dijadikan tabung yang berada di hujung meja. Botol itu hampir penuh dengan not-not duit kertas dan syiling. Aqiff tersenyum. Aqiff teruskan mentadabbur ayat suci al- Quran.

Malam pun berlalu. Menutup tirai  yang menyaksikan cinta suci seorang hamba dengan pencipta.

Hari ini sudah masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan. Aqiff bersemangat sekali. Aqiff tidak sabar ingin mengejar manfaat sepuluh hari terakhir ini. Kata Pak Muda, dalam hari-hari terakhir ini, ada malam al-Qadr. Malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan. Aqiff mencongak-congak. Wahh! Seribu bulan kalau dibahagi dengan setahun, nilainya umpama sekitar 83 atau 84 tahun, Aqiff mempraktikkan ilmu hisab yang kali terakhir beliau pelajari sewaktu darjah enam. “He he..pandai juga aku mengira” monolog Aqiff sambil tersenyum. Aqiff berazam untuk memperhebat amal ibadahnya. Aqiff berharap dapat bertemu malam yang istimewa itu. Oleh kerana tidak sabarnya Aqiff ingin berjumpa malam tersebut, setiap hari seawal Ramadan Aqiff berdoa agar Allah memakbulkan impiannya.

**

Di tangan Aqiff sarat dengan kuih muih. Biasanya selepas waktu asar, Aqiff akan menjaja kuih muih di sekeliling kampung. Biasanya penduduk kampung akan membeli kuih muih yang dijaja pada waktu petang buat juadah berbuka. Kuih muih tersebut buatan ibunya. Kuih Mak Yam memang terkenal dalam kalangan penduduk kampung kerana keenakannya. Walaupun Aqiff sedar, kadang-kadang ada penduduk kampung yang seakan takut-takut untuk membeli kuih jualan bekas banduan sepertinya, namun Aqiff tetap tabah. Niatnya hanya ingin membantu meringankan beban ibunya. Mak Yam turut terkejut apabila Aqiff dengan rela hati menawarkan diri ingin membantu Mak Yam menjaja kuih tersebut. Katanya hendak berbakti pada Mak Yam. Ingin menebus dosa-dosanya yang lalu pada Mak Yam. Mak Yam terkejut namun dalam hatinya melahirkan rasa syukur atas perubahan Aqiff.

Aqiff melihat bakul kuihnya. Masih berbaki. Cuaca petang itu panas pula. Aqiff mengambil kesempatan berehat sebentar. Tambahan, kepalanya terasa digigit-gigit. Sejak belakangan ini, sakit kepala Aqiff semakin teruk dan menjadi-jadi. Pernah juga beberapa kali Aqiff pitam seorang diri tanpa disedari sesiapa. Walaupun sakit, Aqiff cuba berlagak biasa terutama dihadapan ibu bapanya. Tidak mahu mereka susah hati.

Aqiff menyerigai kesakitan. Jalannya terhuyung-hayang. Aqiff duduk di tepi tembok sambil mulutnya basah mengungkapkan zikir. Moga zikir itu dapat menebus dosa-dosanya yang lalu.

Tiba-tiba “Bukk!!” Terpelanting keluar semua kuih muih daripada bakul yang dibawa Aqiff.

“Ya Allah..” Aqiff menjerit perlahan. Bakul tersebut disepak dengan angkuh oleh seseorang. Aqiff mengangkat muka. Ehsan. Ustaz muda tampan yang dikagumi, namun sayang, akhlaknya tidak setampan rupa. “Kenapa Ehsan? Apa salah saya?” tanya Aqiff memohon simpati. Dengan wajah yang mencebik, Ehsan berkata, “Kau ingat, ada orang nak beli ke kuih daripada orang fasik seperti kau?” Kata-kata Ehsan jelas berbaur kesombongan. Mungkin dia lupa pada sabda junjungan mulia, “Tidak akan masuk syurga seseorang manusia yang ada hatta sebiji sawi sifat sombong dalam hatinya”.

“Ehsan.. saya sedar siapa saya. Tidak sehebat awak. Saya jahat. Namun itu semua dulu. Sekarang saya dah tak buat kerja-kerja jahat tu. Salahkah saya berubah??”

Ehsan hanya tersenyum sinis sambil berlalu pergi.

Aqiff mengutip satu persatu kuih yang bertaburan. Dia tersenyum pahit. Mungkin inilah harga yang harus dibayar dek kerana dosa-dosanya dahulu. Walaupun sudah hampir setahun Aqiff ‘cuci tangan’ daripada segala perbuatan buruknya dahulu, namun masih ada yang memandang serong padanya. Almaklum, bekas banduan. Aqiff redha.

“Ya Allah.. ampunkan aku..” Walaupun dicemuh dan dihina, dirinya tidak lekang daripada memohon kata taubat. “Ehsan lebih baik daripada aku. Itu hakikatnya. Tidak mengapalah. Aku maafkan dia” bisik hati kecil Aqiff. Dalam situasi sedemikian pun Aqiff terus cuba untuk bersangka baik. Hatinya bersih sekali.

**

Malam Jumaat,27 Ramadan 2015/1436 H.

Sakit kepala Aqiff semakin kronik. Lehernya terasa tegang. Matanya berpinar-pinar. Kelam..

“AllahuRabbi.. sakitnya ya Allah”. Namun digagahi juga untuk bertahajjud. Aqiff tidak mahu sia-siakan.

Dalam sujudnya yang panjang, Aqiff berdoa :

“Ya Allah.. yaa Rahman… yaa Rahim…

Aku hamba Mu yang penuh dosa.

Ya Allah.. aku kembali pada Mu dengan membawa dosa yang menggunung langit. Ampunkan dosaku ya Allah, juga dosa kedua ibu bapaku…

Ya Allah…

Andai Ramadan ini terakhir bagiku, terimalah amalanku yang tidak seberapa ini Ya Allah. Jagakan kedua ibu bapaku Ya Allah andai aku tidak lama di atas dunia yang fana ini.. Ampunkan aku Ya Allah kerana aku tidak mampu menjadi hamba yang terbaik buat Mu yaa Rahman.. juga aku tidak mampu berbakti sepenuhnya pada kedua ibu bapaku…

Ya Allah..Ya Allah…Ya Allah…

Akhirilah hujung nafasku dengan kalimah Mu yang mulia LAILAHAILALLAH………………..”

**

“Tok tok tok… alongg.. bangun long. Sahur. Dah nak azan subuh ni long. Bangun.” Mak Yam mengetuk pintu bilik anak bujangnya. Mak Yam pelik. Lewat pula Aqiff bangun pagi ini. Biasanya Aqiff bangun awal. Kadang-kadang, Aqiff yang terdahulu menyediakan makanan sahur mereka bertiga “Tak mahu susahkan mak. Moga-moga bila along tolong mak ni, Allah mudahkan along ke syurga bila along dah takde nanti..” kata Aqiff sambil menghadiahkan senyuman paling manis buat Mak Yam. Pelik benar gurauan Aqiff sejak akhir-akhir ini. Namun Mak Yam pendamkan sahaja. Walaupun naluri keibuannya seakan merasakan sesuatu.

“Alongg..bangun..” kali ini ketukan di pintu makin keras. Namun masih tiada sahutan. Hatinya cemas. “Abangg.. cepat bang. Buka pintu along ni bang. Senyap je. Risau saya.” Mak Yam memanggil suaminya. Pak Deris datang menghampiri sambil mengilas kain pelikat. “Alongg.. buka ni. Tidur mati ke apa budak ni,” kata Pak Deris sambil mengetuk pintu dengan lebih kuat. Namun, giliran Pak Deris pula cemas bila ketukan yang hampir berpuluh kali tidak mendapat sahutan. Berbekalkan tenaga tuanya, Pak Deris menopak daun pintu. Terpelenting engsel ke tepi pintu. Mereka berdua menerpa masuk.

Mereka terpaku melihat susuk tubuh anak tunggal mereka. Lagak gayanya seakan sedang bersujud. Sangka mereka Aqiff tertidur. Pak Deris menghampiri. Digoncang perlahan tubuh Aqiff. Namun Aqiff longlai. Aqiff terjatuh dalam dakapan Pak Deris. Dahinya berpeluh. Tubuhnya masih terasa hangat. Wajahnya pucat namun tergambar seraut ketenangan. Goncangan demi goncangan namun tubuh itu terus longlai, tiada tindak balas.

“Alongggg….” raung Pak Deris. Mak Yam sudah tidak mampu berkata-kata. Bahunya terhincut-hincut menahan tangis. Bergema dinihari itu dengan raungan dan esak sendu pasangan tua itu.

**

Ke hadapan mak dan ayah yang along sayangi. Maafkan along. Mungkin sewaktu surat ini dibaca along sudah tiada lagi di dunia ini. Pertama sekali, beribu keampunan along pohonkan. Terlalu banyak dosa along pada mak dan ayah. Kerana perbuatan along, mak dan ayah menanggung malu. Maafkan along yaa…

Mak/ayah..

Along tak tahu bila ajal along akan tiba. Namun along dapat rasakan ia sudah dekat. Perasaan along rasa lain sejak akhir-akhir ini. Maaf mak, ayah. Sakit along ini terpaksa along rahsiakan. Along sudah banyak susahkan mak dan ayah. Kali ini, along tidak mahu sakit along ini menjadi beban pula buat mak dan ayah. Mungkin juga ini Ramadan terakhir buat along. Siapa tahu kan. Namun along serahkan segala-galanya pada Allah takdir hidup along.

Mak/ayah..

Halalkan makan minum along. Doakan kesejahteraan along. Bersama surat ini, along sertakan tabung kecil ini. Duit yang along kumpulkan sedaya along. Mak dan ayah sedekahkan pada mana-mana penduduk kampung yang memerlukan yaa. Along tidak tahu bagaimana cara untuk menebus dosa along pada mereka yang along khianati, duit mereka yang along curi. Mak,ayah…doakan dosa along diampunkan…

Mak/ayah..

Andai ini Ramadan terakhir buat along, along redha. Along sudah sedia. Mungkin bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil along. Semoga kita dapat bersua lagi. InsyaAllah di syurga yang abadi.

Salam Ramadan,,

Along

**

Mak Yam mencium dan mendakap surat itu. Surat yang ditemui diatas meja tulis along berserta tabung kecil. Serasa memeluk tubuh Aqiff. Air matanya tumpah lagi. Mak Yam dan Pak Deris benar-benar tidak menduga anak tunggal mereka menderita sakit kronik, barah otak tahap 4 seperti yang dikatakan doktor sewaktu jenazah Aqiff dibawa ke hospital untuk pemeriksaan yang menjadi asbab pemergiannya. Namun mereka redha. Redha atas segalanya. Aqiff sudah pergi menemui Pencipta dalam keadaan yang bersih. Mereka yakin. Walaupun sedih, mereka bersyukur, Aqiff sempat berubah. Perubahan yang benar-benar menakjubkan..

“Tenanglah nakk… moga dikau bahagia di sana,” bisik Mak Yam.

Pak Deris diam.. tunduk… sayu… air matanya menitis…..

**

Seorang lelaki muda sedang memegang dua nisan putih itu…

“Maafkan aku…..” Ehsan menyesal. Dirundung seribu satu penyesalan. Namun, segalanya sudah terlambat. Ehsan terus-terusan menangis. Dia rasa berdosa. Berdosa yang amat….

**

**** Nama dan watak di dalam cerpen ini hanyalah rekaan semata-mata. Moga kita sama-sama dapat mengambil iktibar. Ingatlah, walaupun dosa kita setinggi langit, namun Allah tidak pernah menutup pintu taubatnya. Sentiasa ada harapan buat kita si pendosa. Juga kita jangan mendabik dada dan merendahkan pelaku maksiat. Kerana jika mereka berubah, mungkin mereka lebih baik daripada kita.

Semoga kita dapat menemui Ilahi dalam Husnul Khatimah, insyaAllah.

Salam Ramadan..

Nurul Farahain Bt Mohd Anafi
Tahun 3 Perubatan

Tinggalkan komen anda