Home > Menu > Karya > Artikel > Manifestasi Cinta Ayah

Manifestasi Cinta Ayah

Aku pernah mendengar kawanku berkata,

“Ayah aku baik!  Dia selalu berikan aku apa-apa sahaja yang aku mahukan.”

Terus, aku berfikir dan cuba untuk berkata

“Ayah aku.”

Putus bicara. Aku kehilangan kata. Tidak tahu bagaimanakah caranya untuk membalas dabikan dada kawanku tentang ayahnya.

***

“Ayah, Ana nak beli baju raya baru boleh?” manja sahaja suara aku menyuarakan hasrat hati.

“Boleh sayang. Ana pilih yang mana suka. Nanti ayah belikan ye sayang?” balas ayah sambil mengusap lembut kepala aku.

Spontan tangan aku mendepa memeluk ayah sambil garisan senyuman terlukis di muka. Aku memeluk ayah erat. Seerat-erat yang boleh. Persis seorang anak kecil yang baru sahaja mendapat mainan walhal aku sudahpun berusia belasan tahun.

“Terima kasih ayah. Sayang ayah” ucapku lembut.

Pipi ayah ku kucup lembut tanda sayang.

***

“Ana, kenapa tak kemas lagi?! Mama kan dah suruh kemas daripada tadi!”

Tengkingan ibu memecahkan keheningan suasana. Marah sungguh mama dengan aku. Aku berlari mendapatkan ayah yang berada di ruang tamu. Aku memeluk ayah sebaik sahaja berada di hadapannya dengan esakan tangis yang dibuat-buat bagi menagih simpati ayah yang sedang duduk berehat di sofa.

“Kenapa ni, sayang?” ayah bertanya dengan suara yang lembut cuba untuk memujukku.

“Mama marah Ana” aku cuba meraih simpati Ayah dengan muka yang masih bergenang dengan air mata.

Ayah tersenyum sahaja.

“Nanti Ayah marah mama. Jangan nangis-nangis. Buruk muka anak ayah apabila menangis. Nanti kita pergi jalan-jalan di taman ya?”

Aku tersenyum gembira sambil memeluk erat ayah. Ayah tahu bagaimanakah caranya untuk memujuk aku dan aku bahagia walaupun mungkin ayah bukanlah seorang yang berada sangat.

***

Imbas kembali

Ketika itu, aku dan ayah sedang berjalan-jalan di taman. Ayah seringkali membawa aku bersiar-siar di taman jika dia mempunyai masa untuk berbuat demikian. Kadang-kadang kami akan sekadar duduk-duduk sahaja di bangku sambil melihat pemandangan sekeliling. Ayah juga akan menemani aku untuk bermain buaian jika aku berkehendak sedemikian.

Hari itu, aku meminta ayah untuk bermain kejar-kejar dengan aku. Aku meminta ayah untuk menjadi polis manakala aku pula akan menjadi pencuri. Ayah bersetuju. Lalu kami pun bermainlah permainan kejar-mengejar.

Tiba-tiba semasa sedang mengejar aku, ayah terjatuh tidak semena-mena. Daripada raut mukanya dia kelihatan sangat sakit sambil memegang kepalanya. Tangannya diurut-urut dengan harapan ia dapat melegakan kesakitan yang bersarang di kepalanya itu.

“Ayah okay ke ni?”

“Ayah okay je sayang. Jom kita duduk di situ” balas ayah sambil tangannya menunjukkan ke arah satu buah bangku yang terletak di satu sudut taman itu.

“Ana, ayah nak tanya. Besar nanti Ana nak jadi apa?” soal ayah.

“Ana nak jadi doktor! Bolehlah nanti Ana jaga dan rawat ayah dan mama. Ayah jangan risau, kalau ayah sakit nanti, biar Ana yang ubatkan ya? Masa itu, jangan ayah lari pula” jawab aku bersahaja.

“Haha. Pandainya anak ayah. Ayah doakan Ana berjaya jadi seorang doktor. Kalau nak jadi doktor, kena belajar rajin-rajin. Kena sentiasa dengar cakap ayah dan mama. Kalau mama marah, jangan melawan”

“Ala ayah, mama garang sangatlah. Asyik nak marah Ana sahaja. Tak faham Ana”

“Mana ada begitu. Mama marah sebab mama sayang Ana. Dia mahu Ana jadi seorang anak yang baik” balas ayah dengan lembut.

“Okay. Ana janji dengan ayah yang Ana akan jadi doktor satu hari nanti. Ayah janji ya untuk jadi pesakit Ana”

“Janji” balas ayah sambil jari kelinkingnya bertaut dengan jari kelingking aku.

***

Kenangan-kenangan aku bersama ayah menguasai fikiran dan ingatan aku belakangan ini. Entah kenapa kenangan bersama ayah sentiasa terus menerus hadir dalam ingatan aku. Mungkinkah aku rindu? Oh tidak! Ayah aku bukanlah lagi ayah aku yang dahulu. Aku benci akan ayah. Jeritan hati aku mengatakan untuk tega membenci seorang susuk tubuh ayah aku sendiri. Terlalu benci aku akan dia sehingga tidak dapat diungkap oleh kata-kata. Tanpa sedar, manik-manik jernih mulai membasahi pipiku. Tidak mampu aku untuk menahan air mata yang keluar. Walau mulut mengatakan benci tapi sesungguhnya jiwaku terasa perit sekali menanggung derita. Masih tersimpan kemas lagi peristiwa yang mengubah hidup aku.

Setahun lepas.

Sebaik sahaja cikgu keluar dari kelas, aku mengemas peralatan sekolah dan buku dengan pantas. Bergegas keluar keluar dari kelasku menuruni anak tangga. Fikiranku, mesti ayah sudah menungguku seperti biasa di ruang menunggu ibu bapa. Akan tetapi, terpamer sedikit riak kecewa di muka ku apabila melihatkan tiada kelibat ayah seperti biasa yang menungguku. Setengah jam berlalu, ayah masih tidak kelihatan untuk menjemput aku pulang. Mana pernah dia menunggu aku sebegitu lama.

“Mana ayah ini?” getus hati aku.

Peluh mula membasahi wajahku. Aku menjadi tidak keruan. Berdiri salah, duduk pun salah. Semuanya seperti tidak kena gayanya. Bayangan ayah masih tidak kelihatan walau kawan-kawanku yang lain mula beransur pulang.

Aku mendail nombor telefon bimbit ayah. Berkali-kali aku mendail namun tiada jawapan yang aku perolehi. Aku menjadi semakin bimbang. Otak aku ligat berfikir. Mungkin ayah masih di pejabat? Lantas aku cuba untuk menelefon pejabat ayah. Suara seorang operator perempuan kedengaran membalas panggilan aku.  Kata operator perempuan tersebut, ayah tiada di pejabat hari ini. Awal-awal pagi lagi dia sudah keluar. Akhirnya, aku mendail nombor telefon rumahku. Panggilan aku berjawab.

“Mama, ayah tak jemput Ana lagi ini” aku mengadu kepada mamaku.

“Ana tunggu sekejap. Kejap lagi ibu datang ambil” mamaku menjawab ringkas dan terus mematikan panggilan.

15 minit kemudian, Mama tiba di sekolah. Sudah menjadi kebiasaan, pergi dan pulangku dari sekolah akan sentiasa ditemani oleh ayah atau mama aku.

“Mama, kita singgah sebentar di shopping complex boleh? Ana ada nak beli barang untuk aktiviti seni esok” aku meminta kepada mama walaupun mama bukanlah seperti ayah yang sentiasa menurut permintaan aku.

“Boleh. Selepas itu, kita terus pulang” mama menjawab tegas.

Tiba sahaja di shopping complex, aku bergegas ke gedung buku MPH yang terdapat di dalamnya. Ibu membiarkan sahaja aku berada di hadapan sambil dia berjalan perlahan di belakang. Seketika kemudian, baru aku sedar yang mama sudah tiada di sisiku. Mataku melilau mencari kelibat mama. Akhirnya, aku perasan yang mama sedang berada di satu sudut sambil matanya menumpukan perhatian pada sesuatu yang dilihatnya. Terdapat perubahan pada riak wajah mama. Manik-manik jernih mula mengalir jatuh daripada kelopak mata mama. Ternyata mama sedang memerhatikan tingkah laku seorang lelaki dan seorang perempuan yang sedang makan tidak jauh dari situ. Aku cuba mengecam orang yang dilihat oleh ibu itu. Beberapa ketika, aku mula perasan yang lelaki itu adalah ayah aku manakala kelibat wanita yang sedang makan bersama ayah tidaklah pula aku kenali.

“Siapakah perempuan itu?”  hatiku mula bertanya.

“Jom kita balik, Ana” mama mengajak aku pulang. Aku dapat merasakan tangannya yang lemah memegang aku pulang.

Aku keliru. Aku dapat merasai kesedihan mama. Dalam masa yang sama juga, aku seakan-akan mahu mempertahankan ayah. Masakan ayah akan memperlakukan mama sebegitu. Aku kenal akan ayah.  Dalam fikiranku, ligat aku mencari jawapan. Akan tetapi, tidak berjaya pula berjaya mencari jawapan. Biarlah nanti ayah menjelaskan sahaja. Aku berharap.

Malam itu, aku terdengar ibu dan ayah bertengkar. Aku menyembunyikan diri di bilik. Cuba memasang telinga dan mata.

“Abang, mengapa abang tidak ambil Ana tadi?” mama bertanya lembut pada awalnya.

Ayah tenang sahaja.

“Abang ada kerja tadi. Lupa untuk telefon Amal supaya ambil Ana tadi. Maaf.” ayah cuba berdalih sambil matanya cuba untuk melarikan daripada pandangan mata mama.

“Abang, siapakah perempuan tadi? Yang abang makan dengan dia semasa di shopping complex tadi?!”

Air mata mula membasahi pipi mama. Mata mama tepat memandang ayah yang masih melarikan pandangan matanya daripada bertentang mata dengan mama. Ayah hanya diam menikus. Tidak menjawab. Kemudian, ayah berdiri untuk meninggalkan mama yang masih menantikan jawapan daripada mulut ayah, menuju ke bilik aku.

“Ayah minta maaf ya sayang sebab tak dapat ambil Ana tadi” ayahku memujuk lembut sambil tangannya mengusap-usap akan kepala aku. Perbuatan yang selalu dilakukannya untuk memujuk aku.

Aku diam tidak memberikan reaksi. Aku tidak tahu sebetulnya dalam situasi ini, bagaimanakah seharusnya aku memberikan tindak balas. Tanpa sedar, air mata mula membasahi pipiku. Aku cuba untuk menyeka tetapi semakin banyak pula air mata yang turun. Aku sedih sejujurnya.

“Kenapakah Ana menangis ini? Ana marah ayah ya sayang? Ayah minta maaf ya?” ayah masih berusaha untuk memujukku.

Aku memeluk ayah erat. Entah mengapa, aku dapat merasakan yang mungkin selepas ini aku tidak berpeluang untuk memeluk ayah lagi.

“Ana janji dengan ayah ya sayang, walau apapun yang berlaku, Ana kena jaga mama dengan baik. Jangan sesekali tinggalkan mama” ujar ayah dengan nada yang sebak. Aku tidak dapat menangkap dengan sebetulnya apakah yang dimaksudkan dengan ayat ayah itu.

“Ana janji, ayah. Ayah jangan tinggalkan kami ya?” aku membalas.

Ayah hanya tersenyum membalas sambil memeluk erat aku.

Siapakah yang mampu menyangka itulah kali terakhir aku bertemu dengan ayah?

***

Semenjak itu, tiada lagi kelibat ayah di rumah. Kini, aku tinggal berdua sahaja dengan mama. Malam itu merupakan malam yang membawa kami ke haluan yang berbeza. Mama tidak bercerita mengenai hal itu. Aku juga tidak sampai hati untuk bertanya. Kata-kata terakhir ayahku yang membuatkan aku bertahan sehingga kini. Walau secara zahirnya, aku katakan aku membenci ayah tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati, aku sangat sayang akan ayah. Hatiku masih cuba untuk memberitahu yang ayah akan pulang satu hari nanti ke rumah ini.

“Pulanglah ayah” kataku sendirian dalam hati.

***

Pasca kehidupan selepas “kehilangan” ayah, aku tinggal berdua sahaja dengan mama. Mama merupakan seorang jururawat terlatih di hospital kerajaan dalam bidang perbidanan. Tugasnya yang memerlukan dia berada di hospital mengikut shift waktu bekerja kadang kadang menimbulkan perasaan sunyi dalam jiwaku. Akan tetapi, aku tidaklah menunjukkannya di hadapan mama. Takut-takut nanti dia berasa risau dengan diri aku. Lagipun aku faham situasi kami berdua sekarang. Jadi, aku pendamkan sahaja rasa ku itu. Aku bersyukur kerana mempunyai mama yang sanggup berkorban demi kelangsungan hidup kami berdua. Semuanya berlaku sekelip mata sahaja tanpa aku sedari sepenuhnya. Benar kata orang. Setiap orang mempunyai ujian hidupnya yang tersendiri. Aku perlu bersyukur tidak mengeluh kerana aku masih beruntung mempunyai seorang mama yang kuat jiwanya.

“Alhamdulillah”.

Melihat keadaan mama yang terpaksa bersusah payah seorang diri dalam membesarkan aku sejak “kehilangan” ayah kadang-kadang menimbulkan perasaan benci aku kepada ayah. Aku berasa kasihan akan mama kerana sejak ketiadaan ayah, beban tugasnya bertambah. Apabila aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku kepada mama, mama hanya mendiamkan diri tidak memberi reaksi. Pernah juga mama memarahi aku kerana aku mengatakan benci ayah.

“Ana benci ayah! Sebab ayahlah kita jadi begini!” aku meluahkan perasaan aku yang terpendam kepada mama.

Mama hanya mendiamkan diri.

“Mengapakah mama diam? Betulkan apa yang Ana cakap ini?” aku masih menyuarakan rasa tidak puas hati yang berbuku di hati.

“Ana! Cukup!” tengkingan mama cukup membuatkan aku terdiam daripada berkata-kata.

Aku mengumpul tenaga sekali lagi untuk meneruskan percakapan aku.

“Ana tahu apa yang sebenarnya terjadi. Ana nampak apa yang berlaku pada hari itu.”

“Apa Ana merepek ini?” balas mama dengan suara sedikit meninggi.

“Ayah meninggalkan kita sebab ada orang lain. Ana nampak apa yang berlaku pada hari itu dan mama menangis ketika itu” aku menyambung kata- kataku.

Mama hanya mendiamkan diri sahaja. Dia memilih untuk tidak menambahkan lagi kemarakan emosi aku ketika itu. Kelihatan manik-manik jernih turun perlahan mengalir ke pipi mama.

Mama menarik nafas cuba untuk bertenang.

“Ana jangan salah faham. Ayah tidak seperti yang Ana fikirkan. Satu hari nanti, Ana akan mengetahui kebenarannya.”

Sebaik sahaja mama menuturkan kata-kata itu, mama terus melangkah meninggalkan aku sendirian. Aku tidak menghalang kerana aku tahu mama sedang berperang dengan jiwanya sendiri. Cukuplah apa yang dilalui oleh mama. Aku tidak mahu menambahkan derita mama.

Aku mungkin kehilangan ayah, tetapi aku tidak sanggup untuk kehilangan mama.

***

Hari raya kian menjelma. Bagi aku dan mama, ini merupakan Syawal kedua kami beraya bersama tanpa kelibat ayah di sisi. Walau pada mulanya agak pahit untuk diterima tapi alah tegal alah biasa. Persiapan menyambut raya hanya dilakukan sekadar yang mampu sahaja. Tidak terlalu melebih-lebih dan tidak juga terlalu kurang. Bersyukur dengan apa yang ada sahaja.

Hari ini juga merupakan hari lahir mama. Aku mahu menceriakan mama dengan membuat kejutan di tempat kerjanya di hospital. Setibanya aku disana, aku terus ke wad mama bekerja. Semenjak ketiadaan ayah, aku selalu akan ke hospital terlebih dahulu apabila pulang dari sekolah menunggu mama habis bekerja jika shift pagi. Akan tetapi, aku tidak nampak kelibat mama seperti biasa.

“Kak, ada nampak mama saya?” soalku kepada salah seorang jururawat, rakan sekerja mama.  Aku sudah dikenali oleh rakan-rakan mama kerana sering menunggu mama di wad.

“Staff Nurse Amalina ya?” jururawat itu bertanya kepada ku semula.

“Ya” aku membalas sambil menganggukkan kepala.

“Rasanya mama adik ada di wad itu” terang jururawat itu sambil tangannya menunjukkan kepada aku arah wad tersebut.

Aku mengucapkan terima kasih kepada kakak jururawat itu. Tidak sabar rasanya aku ingin berjumpa dengan mama dan membuat kejutan hari lahir yang telah aku rancang sejak seminggu lalu. Semenjak ketiadaan ayah, jarang sekali aku nampak mama tersenyum. Jadi aku ingin mengambil kesempatan ini untuk menggembirakan hati ibu. Aku merasakan sudah tiba masanya untuk menjadi seorang anak yang baik kepada ibuku.

Langkahku terhenti. Dihadapanku, aku lihat ibuku sedang memberi ubat kepada seorang pesakit lelaki yang amat ku kenali wajahnya. Lelaki yang sentiasa menjadi kerinduan aku dalam setahun ini.

“Ayah” aku memanggil perlahan. Aku terlalu rindu akan ayah. Sudah lama aku tidak berjumpa apatah lagi memeluknya. Seperti biasa, air mata mula turun untuk membasahi pipiku. Aku tak tahu kenapa air mata perlu turun ketika waktu ini. Kehadiran aku yang terkaku disedari oleh ayah dan mama. Aku berlari meninggalkan mereka dan mahu pulang ke rumah dengan segera.

“Ana! Ana!” ayah menjerit tetapi tidak mampu untuk menghentikan larian aku yang semakin laju meninggalkan mereka. Lama kelamaan suara ayah memanggil aku hanya sayup sayup kedengaran sahaja.

Aku cuba untuk berfikir secara waras dalam langkahan aku. Mengapakah aku berlari meninggalkan mereka sedangkan selama ini aku menahan kerinduan terhadap ayah? Sepatutnya aku memeluk ayah erat seperti biasa dahulu.

Tanpa aku sedari, sebuah kereta bergerak laju menghampiri aku yang sedang melintas jalan. Aku yang sudah berada di separuh jalan tidak sempat untuk mengelak. Aku seakan-akan terpaku melihatkan kereta bergerak menuju ke arah aku.

Dan apa-apa yang berlaku selepas itu tidak dapat aku ingati.

Aku hanya mampu mendengar suaraku menyebut nama ayah dengan perlahan sambil mataku perlahan-perlahan tertutup. Mungkinkah ini pengakhiran hidupku?

“Ayah.”

***

Wad Kecemasan.

“Puan Amalina, anak puan mengalami pendarahan yang serius akibat kemalangan tadi. Jadi kami memerlukan pemindahan darah ke dalam tubuh anak puan agar ada peluang untuk dia terus hidup” terang Dr. Aiman kepada Puan Amalina dan Encik Fandi.

“Jadi doktor, mengapakah tidak melakukan sahaja prosedur tersebut? Apakah yang ditunggu lagi? balas Puan Amalina tidak sabar.

“Malangnya anak puan memiliki kumpulan darah yang paling jarang untuk ditemui iaitu Bombay Blood” terang Dr. Aiman dengan sabar.

“Tapi doktor, saya mempunyai darah jenis O. Setahu saya, mereka yang berdarah jenis O ini boleh menyumbangkan darah mereka kepada sesiapa sahaja” ujar Puan Amalina tidak mengalah.

Dr. Aiman tersenyum sabar. Dia tahu yang Puan Amalina perlu diterangkan dengan hikmah dan sabar.

“Benar, puan. Akan tetapi mereka yang berdarah jenis Bombay ini hanya boleh menerima pemindahan darah daripada mereka yang berdarah sama jenis juga. Mereka yang berdarah O pun tidak boleh memindahkan darah mereka kepada mereka ini”

“Saya berdarah Bombay, doktor. Gunakanlah darah saya untuk proses pemindahan darah itu. Apapun, dia juga merupakan anak saya.” Encik Fandi tiba- tiba bersuara.

“Abang” Puan Amalina memandang suaminya.

“Tidak mengapa, Amal. Biarlah sekali ini abang menebus kesalahan abang meninggalkan kamu berdua selama ini. Ana perlu untuk terus hidup”

***

“Aku di mana?” soalku dalam kebingungan. Aku tidak ingat sangat apa yang terjadi. Apa yang aku ingat, aku dilanggar oleh kereta ketika aku sedang melintas jalan. Kemudian, segala apa-apa yang berlaku di luar ingatan aku.

“Alhamdulillah, Ana. Akhirnya, anak mama sedar juga”

Aku melihat mama menangis kegembiraan melihatkan aku sudah mula sedar. Mama menangis lagi. Kali ini disebabkan aku. Bersalahnya aku pada mama. Mama memeluk aku tanda syukur dia kepada Tuhan. Secara tiba-tiba, aku berpaling ke satu jasad yang berada di belakang mama.

“Ayah” ujar aku dengan nada tidak berperasaan.

“Sayang ayah dah sedar?”

Aku tidak membalas soalan ayah. Aku masih menyimpan rasa terhadap ayah atas apa yang dia buat selama ini kepada aku dan juga mama. Mama yang melihat reaksi aku itu, seakan-akan mahu bersuara.

“Tidak mengapa, biar abang sendiri yang bercakap dengan dia”

Mama meninggalkan kami berdua. Ayah sendiri yang meminta sedemikian.

“Ana ingat lagi dahulu kalau Ana merajuk ayah akan pujuk Ana. Kemudian, ayah akan peluk dan usap kepala Ana”

Aku tidak menjawab soalan ayah. Mulutku seakan berat untuk menjawab soalan ayah itu walaupun hakikatnya hati aku ingin sekali mengatakan ya.

“Kenapakah ayah buat begini dengan mama dan Ana?”

Ayah tersenyum sahaja.

“Sejak ayah tiada, ayah tahu tak bagaimana terseksanya mama?” aku membalas dengan nada yang geram bercampur sedih.

Ayah akhirnya menceritakan segala-galanya kepada aku. Ayah menceritakan bagaimana dia disahkan mempunyai sakit barah otak setahun yang lalu. Perempuan yang dilihat oleh aku dan mama semasa di shopping complex itu merupakan Dr. Atiqah, doktor yang mengikuti perkembangan kes penyakit ayah. Dialah yang merawat ayah selama ini. Semuanya adalah salah faham semata-mata. Bukanlah ayah berniat untuk berlaku curang kepada kasih yang dibina bersama antara ayah, mama dan aku. Semua kenangan yang pernah berlaku antara aku dan ayah bermain di minda. Patutlah ayah tidak mengambil aku di sekolah pada hari itu. Patutlah ayah pernah mengadu dia selalu sakit kepala. Ayah melarikan diri daripada kami berdua kerana ayah berasa putus asa dengan kehidupan ketika itu. Siapakah yang mampu untuk terus semangat dalam hidupnya apabila dia tahu yang dia hanya mempunyai beberapa ketika sahaja untuk terus hidup? Ayah mengalami tekanan perasaan itu.

Aku menangis semahunya. Tubuh ayah yang kurus dipeluk erat.

“Mengapakah ayah tak beritahu Ana? Ana sunyi apabila ayah tiada”

“Ayah bukan sengaja sayang. Ayah mahukan Ana terus kuat dan mampu untuk terus hidup tanpa ayah disisi. Ayah mahu Ana untuk belajar hidup tanpa ayah disisi. Ayah tak mahu Ana sedih apabila Ana dapat tahu tentang penyakit ayah. Pada mulanya, ayah memang ada memikirkan rancangan untuk membuatkan mama dan Ana salah faham akan ayah supaya ayah mempunyai alasan untuk meninggalkan kamu berdua. Akan tetapi, takdir Tuhan ayah rasa bersalah sangat dengan mama dan Ana. Ayah tahu yang ayah bersalah kerana meninggalkan mama dan Ana begitu sahaja. Maafkan ayah ya sayang?”

Aku masih tidak berhenti menangis. Pengakuan ayah menjawab segala persoalan yang bermain di minda aku selama ini. Segala kekeliruan yang ada dalam fikiranku terlerai jua.

“Ayah, Ana sentiasa sayang akan ayah. Walau Ana sedih apabila ayah buat mama dan Ana begini tapi tidak mengapalah. Ana bersyukur yang Ana masih sempat untuk peluk ayah dan berbual dengan ayah. Itulah yang Ana selalu doa selama ini” kataku dengan air mata yang masih leka membasahi pipi.

“Ana maafkan ayah. Ayah maafkan Ana juga ya?”

“Ya sayang. Matang anak ayah sekarang. Bolehlah ayah pergi dengan senang hati selepas ini” ayah melanjutkan bicara sambil mengukir segaris senyuman.

Aku dapat melihat kebahagian terpancar di muka ayah. Walau mungkin hanya seketika, aku merasakan itu adalah hadiah paling bermakna pernah aku terima daripada ayah.

“Raya nanti kita raya sama-sama ya sayang?”

Aku tersenyum tidak menjawab soalan ayah sambil aku memeluk erat ayah. Rasanya aku tidak perlu untuk menjawab soalan itu, ayah sendiri sudah tahu akan jawapannya.

“Ana mahu ayah pakai baju sama warna dengan Ana raya nanti ya? Kalau tidak, Ana merajuk!”

“Boleh sayang” jawab ayah dengan lembut.

***

13 tahun kemudian.

Hari ini merupakan hari pertama dalam bulan Syawal. Raya kali ini juga merupakan kali pertama aku bergelar seorang doktor. Seperti tahun sebelum ini, raya kali ini disambut bersama dengan mama.

“Mama, Ana nak keluar kejap ya? Melawat ayah” pinta aku kepada mama.

“Hati-hati ya Ana. Kirim salam dengan ayah” balas mama tersenyum.

Aku hanya berjalan kaki sahaja ke tempat yang terletak tidak jauh dengan rumah aku. Aku lihat ramai orang yang turut mempunyai destinasi yang sama denganku. Ada juga anak-anak kecil yang turut ikut serta. Aku meneruskan langkahan aku sehinggalah tiba ke tempat yang aku tujui. Aku berhenti dan melihat nama yang terukir di atas sebuah batu nisan.

“Fandi bin Mansur”

Aku diam seketika. Cuba untuk mengawal air mata aku. Kalaulah ayah melihat aku sekarang ini, mesti dia akan metertawakan aku.

“Assalamualaikum, ayah”

Akhirnya aku mengalah juga, air mata turun deras membasahi pipiku. Aku terlalu rindu dengan ayah. Aku rindu akan pelukan ayah dan tutur katanya. Aku rindu semua perkara mengenai ayah.

“Ana dah jadi doktor ayah. Maafkan Ana sebab terlambat untuk menunaikan janji Ana kepada ayah. Jika ayah masih ada sekarang, mesti Ana akan jaga ayah” aku bermonolog sendirian.

Aku mengambil peluang itu untuk menceritakan segala-galanya yang berlaku walaupun sudah berulang kali aku menceritakan perkara tersebut di hadapan kubur ayah. Seakan-akan tidak jemu aku berbuat demikian walau aku tahu yang aku hanya bercerita bersendirian.

Satu jam lamanya aku duduk di tepi kuburan ayah. Di samping membaca surah Yaasin dan juga tahlil kepada arwah ayah, aku juga bercerita apa-apa yang berlaku dalam kehidupan aku ketika ini. Aku dapat merasakan yang ayah hanya tersenyum sahaja mendengar akan cerita aku. Bahagia.

“Ayah, Ana pulang dahulu ya? Nanti Ana datang lagi. Ana akan sentiasa doakan ayah. Ana janji. Satu hari nanti pasti kita akan berjumpa lagi”

“Assalamualaikum, ayah”.

*

Syaufiq Effendy,
Tahun 5 Kuliah Perubatan.

Tinggalkan komen anda