Home > Menu > Karya > Artikel > Epilog Rindu

Epilog Rindu

Ramadan berasal daripada kalimah arab`RAMDHYI’ bermaksud gersang, kering lagi kontang. Bulan yang sudah makruf dengannya terik panas mentari, sungguh menguji keringat setiap mukmin yang melalui sekolah Ramadan ini. Dalamnya yang penuh dengan kenikmatan bagi  insan Ubudiyyah yang jiwanya begitu berkobar-kobar penuh pengharapan tersenarai menjadi senarai peserta  terpilih akademi terbilang ini sedari fasa Rejab lagi.

*********************

Bayu lautan Mediterranean lembut membelai pipi gempal Awal. Rambut halusnya menjerungkau ditiup angin pantai menutupi dahinya yang luas menggamit suasana berdua bersama arwah atuk di hadapan Selat Melaka sepuluh tahun yang lalu. Usai menziarahi Maqam Sayyidi Abu Abbas Al-Mursi, Maqam Sayyidi Imam Abu Bussiri dan maqam-maqam wali Allah di sekitarnya, tubuh kenit  ini melewati pinggir pantai, lalu duduk berlantaikan batu besar yang dibaluti lumut hijau. Adunan udara klorofil dan masin bayu petang tiga Ramadan ini penuh mendamaikan. Si pantai seolah-olah memberi salam, girang menyambut kedatangan Awal. Lautan yang tadinya tenang, terus-terusan menghempas batu yang didudukinya. Benarlah pesan gurunya bercakerama dengan orang-orang soleh ini baik yang masih hidup mahupun yang sudah tiada pasti meringankan segala sesak di dada.

Awal; anak muda Tahun Tiga kuliah Perubatan, Universiti Benha berusia 21 tahun. Saban minggu, menjadi rutin mingguannya ke utara Kaherah menghadiri kelas pengajian Tasawwuf. Seorang yang sentiasa menghargai makhluk tidak bernyawa. Angin, matahari, bulan, bintang, lautan seolah-olah teman karibnya di bumi Kinanah ini.

“Pasti kelak ku merindui kalian wahai tentera Allah angin. Tidak pernah jemu kalian berkhidmat kepada kami. Sugguhpun bahang terik Ramadan kali ini paling menyeksakan, khidmat kalian begitu mengasyikkan. Pasti aku akan merindui kalian,” getus Awal sendirian. Saat ini kalamNya yang dinukilkan dalam surah Ali-Imran berputar di cuping telinganya :

(Mereka adalah) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan siang (seraya berkata) : ”Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini sia-sia; Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka. (2:191)

*****

Bulan Ramadan adalah medan terbaik mendidik rasa sabar dalam diri setiap mukmin. Orang yang lapar ditambah cuaca yang sangat terik seringkali menghakis kesabaran buat mereka yang tiada Ruh Ramadan dalam dirinya. Bukankah inti puasa adalah kesabaran? Seseorang yang sabar, ia akan diliputi dan dinaungi Allah SWT dengan :

a) Rahmat-Nya.
b) Perlindungan-Nya.
c) Pertolongan-Nya.
d) Redha-Nya.

“Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan lawannya, tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (Muttafaqun ‘alaih)

*************

Fasa sepuluh kedua menjengah. Kelihatannya masyarakat  Arab di sini masih belum ampuh Ruh Ramadhan mereka. Acapkali berkelana  ke bumi tinggalan Yunani dan Rom ini, pelbagai tontonan  yang disaksikan. Masing-masing tidak mahu mengalah dengan ‘Adrenaline Rush’ tersendiri. Namun, satu perkara yang paling  menakjubkan pabila diseru nama Al-Mahbub Saidina Nabi terus masing-masing lembut, akur. Bersalaman dan berpelukan.

Sedari tahun lalu, nostalgia Ramadan Awal begitu luar biasa penangannya. Petang 15 Ramadan, peristiwa menaiki keretapi, menghampiri waktu berbuka ke terminal utama Sidi Jabir. Keretapi berenjin diesel dengan kelajuan 250km/jam membelah deretan kedai-kedai kecil yang menjalar di sepanjang laluan besi ini. Hon dipalu-palu di sepanjang perjalanan merupakan perkara yang sudah menjadi kebiasaan. Menaiki  keretapi adalah pengangkutan utama yang dipilih Awal bergerak dalam kawasan Iskandariah kerana lebih murah.

Gerabak penuh dengan muatan penumpang yang pelbagai rencam. Ada yang tidur kepenatan, tekun menelaah Al-Quran dan tidak kurang juga yang bersendirian dengan gajetnya. Konduktor melewati setiap penumpang. Awal menghulurkan dua keping syiling keemasan 50 piaster.

Tiba-tiba, keretapi yang tadinya deras berlari, dipaksa berhenti dengan tidak semena-mena. Suasana gamat seketika. Inersia kelajuan yang diberhentikan secara mendadak menyebabkan ada yang jatuh tersembam dan ada juga hampir-hampir tercampak keluar gerabak. Syiling  dalam genggaman konduktor bertaburan ke suatu sudut. Semuanya bergelongsor ke arah sepatu lusuh seorang tua buta, berjubah putih, dan rapi janggutnya yang duduk di suatu sudut. Gegak-gempita suasana  tidak langsung merampas ketenangannya yang sedari tadi meratib buah-buah kayu di tangannya.

Ketenangan Awal benar-benar dirampas. Ekor matanya tertancap kepada pak cik tua itu. Semakin gamat apabila dimaklumkan ada bom yang diletakkan  di salah satu gerabak. Bertempiaran lari penumpang menyelamatkan diri. Awal masih memerhatikan pak cik tua itu. Tidak berganjak walau setapak. Dia berlari mendekati si tua ingin menyelamatkannya.

“Ulli hasbunallah wani’mal wakil, wala haulawala quwwata illa billah, la ilaha ill anta subhanaka inni kuntu mina zhalimin, ya habibtiy”, disapa lembut pak cik buta itu bagai celik matanya melihat kehadiran Awal di sampingnya.

Awal akur menuruti. Bagai renjatan tenaga menjalar ke segenap salur darah venanya. Kalimah yang baru diucapkan serta merta mendamaikan. Hiruk pikuk di luar tidak langsung merobek ketenangannya yang baru dirasai. Pengumuman di corong pembesar suara menyatakan keretapi akan berhenti selama satu jam untuk pemeriksaan. Tekun Awal mendengar pengumuman dalam bahasa arab pasar itu. Mukanya dipalingkan ke sudut si tua kembali. Tiada. Hanya gumpalan kertas kecil sahaja yang ada. Kertas itu dibuka dan dibaca. Awal mudah memahami kalam yang dicoretkan kerana ditulis dalam bahasa Arab Fusohah.

Anakku yang kucintai,

Aku mengerti akan kerinduannmu akan Dia dan kekasih-Nya,

Gandakan zikirmu!

Puluhan menjadi ratusan,

Ratusan menjadi ribuan,

Ribuan menjadi jutaan

kerana

                Orang yang cinta pasti takut,

                Orang yang takut belum tentu dia cinta.

 

Awal terpana seketika. Itulah perasaanya sepanjang menjadi tetamu Ramadan saban tahun. .

*********

Peperiksaan akhir tahun ini berakhir tanggal 19 Ramadan. Awal berkelana pula ke bumi Kaherah. Sehariannya buat hari-hari terakhir di bulan Ramadan lebih banyak di masjid daripada ke tempat lain. Acap kali selesai solat fardhu, titisan mutiara jernih pasti mengalir laju di pipi  jantan Awal.

Ya Allah,

Izinkan aku untuk berlama-lama dengan Ramadan ini,

Tidak kutahu adakah aku masih dipilih menjadi tetamunya di kemudian hari,

Andai dizinkan sehari di hujung Ramadan ini digandakan menjadi 48 jam,

Hamba merayu,

Kerana sesungguhnya nikmat-Mu sungguh luar biasa di saat ini.

*******

Terawih 10 malam terakhir di Masjid Sidi Abdul Muta’al diimamkan oleh hafizullah Pakar Bedah Otak daripada Hospital Damardash. Lunak suaranya mengimamkan solat sunat terawih sekitar satu hingga dua juzu’ tidak terasa lelahnya. Ditambah pula dengan sesi tazkirah sebelum solat bermula dan diselang-selikan juga dengan solat jenazah di antara selang empat rakaat.

Malam itu imam mengupas tentang kehidupan dua negeri. Dunia itu penjara bagi orang mukmin. Semakin meronta-ronta jiwa Awal apabila diberi peringatan mengenai hadis tersebut. Sementelah pula sengaja dia berkejar untuk berada di saff hadapan agar dapat mengamati jenazah-jenazah hebat yang dijemput-Nya dalam bulan agung ini. Inilah juga harapannya sepanjang berada di bulan mulia ini. Moga disembahyangkan oleh lautan orang yang berpuasa.

Ya Allah izinkan kami disembahyangkan oleh orang yang berpuasa dan matikan kami dalam keadaan yang paling Kauredhai dan kami redhai….

Aiman Binti Bakar Redin
Tahun 5 Perubatan

Tinggalkan komen anda