Home > Menu > Karya > Artikel > 6 Persiapan Bertemu Si Dia Dengan Bergaya Syawal Ini

6 Persiapan Bertemu Si Dia Dengan Bergaya Syawal Ini

Ramadan dikaitkan dengan bulan mendidik ruh, kerana pada bulan ini Allah menjanjikan syaitan diikat, lantas menjadikan sebulan ini manusia hanya perlu berperang dengan diri sendiri. Allah memberitahu melalui Al-Quran salah satu tujuan berpuasa adalah untuk meraih taqwa melalui pengawalan hawa nafsu. Imam Al-Ghazali mendefinisikan puasa sebagai ‘ibadah yang memecah dua nafsu‘, iaitu :

  1. Nafsu terhadap makanan dan minuman
  2. Nafsu terhadap syahwat (berkaitan seksual)

Kedua-dua bentuk nafsu ini bukannya perlu dibuang sepenuhnya, kerana Allah menjadikan manusia semuanya bernafsu dan ianya salah satu sifat semulajadi manusia, malah penting untuk kelangsungan hidup. Walaubagaimanapun, ianya dapat dijinakkan dan dikawal supaya manusia tidak menjadi hamba kepada nafsu dan supaya syaitan tidak menggunakan kelemahan kita dalam mengawal nafsu sebagai jalan untuk membawa kita jauh dari Allah.

Betapa kasihnya Allah kepada kita, dia tahu kita ini hamba yang mudah lupa dan cepat lalai, lalu dia hadiahkan kepada kita Ramadan untuk kita fokus semula, berlatih menguatkan diri. Dia tahu kita letih dan keliru dengan godaan syaitan selama 11 bulan, jadi Dia beri kita sebulan untuk mencari semula diri dan kembali kepadaNya.

Maka, kita perlu gunakan masa ini untuk betul-betul membentuk diri, peluang bagi kita untuk melawan godaan syaitan supaya jika bertemu lagi dengan syaitan pada Syawal nanti kita mampu berjumpa dengan pertahanan yang lebih kukuh. Berikan kejutan kepada si dia setelah sebulan berpisah!

Nak dapat pinggang yang ramping kurang lemak dan lengan yang berketul berotot, tentu sahaja kita perlu menjaga pemakanan seharian. Makanan secara fizikalnya memberikan kita tenaga untuk memikul beban dan melaksanakan tugasan harian, namun tidak memberikan kita tenaga untuk berjihad pada agama dan nafsu. Jika kita tidak punya tenaga untuk berjuang, maka ada silap pada tarbiah rohani kita. Pepatah ideal yang boleh kita gunakan sebagai matlamat dalam beribadah bulan Ramadan ialah,

Rahib pada waktu malam, kuda pada waktu siang

Kata-kata ini adalah gambaran tentera Rom Timur (Byzantine) kepada tentera Islam dalam peperangan menakluki Syam (Perang Yarmouk) pada 636 Masihi.

Di dalam Kitab Tarbiah Ruhiyyah karangan Dr.Abdullah Nashih Ulwan, beliau menjelaskan ibadah yang perlu kita ambil berat dalam mendidik jiwa ialah :

  1. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran

Ulama menyarankan membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 100 ayat sehari dan jika tidak sempat juga, kita dengari bacaan Al-Quran ketika melakukan tuntutan dunia. Jangan tiada langsung masa untuk Al-Quran itu dalam sehari.

“Bacalah Al-Quran seolah-olah ianya diturunkan kepadamu”

Bacaan dan tadabbur akan menajamkan pandangan kita yang tumpul, pemusnah pandangan yang sempit dan ubat kepada hati yang sakit. Mesti pernahkan, terkadang bila membaca ayat Allah, tiba-tiba kita rasa betul-betul ayat itu dituju kepada kita, terasa jawapan kepada persoalan tersedia di depan mata dan jiwa lebih tenang kerana sepantas itu rasa yakin kepada Allah kembali.

  1. Hidup bersama Rasulullah dengan menghidupkan sunnahnya

Kesemua amalan Rasulullah jika kita amalkan akan mendatangkan pahala. Istimewanya mengikuti sunnah adalah, kita menjadi jalur penyambung kepada kesukaan Baginda. Rasulullah bengkak kaki kerana banyaknya solat. Tapi kita dizaman sekarang mungkin bengkak tangan kerana banyak menaip pada telefon pintar dan menekan papan kekunci.

  1. Berada dalam kelompok mereka yang dekat dengan Allah

Menyertai orang yang berhati bersih atau orang-orang yang terpilih bersahabat dengan orang yang boleh menarik kita ke syurga. Merapatkan diri dengan mereka mengelakkan kita daripada berbuat maksiat. Kita memerlukan mereka kerana mereka akan menjaga ketakwaan kita. Bersama mereka,  kita akan saling menasihati dalam kebenaran, dengan kesabaran dan kasih sayang.

Jika kita turuti nafsu, tentu sahaja kita suka bersama dengan kawan yang bergelak ketawa dan menuruti kehendak keseronokan kita.

  1. Melazimkan zikir dan istighfar

Mengingati Allah itu adalah satu kewajipan, bukan pilihan

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

“Maka, ingatlah kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku”

Melazimkan bermaksud kita membiasakan diri dengan sesuatu. Bila sudah biasa tanpa sedar pun kita boleh lakukan dan kita tidak akan rasa berat melakukannya. Melazimkan zikir ialah bila dalam kehidupan seharian pun kita mampu melakukannya, bukan hanya selepas solat diatas sejadah.

  1. Sedikit ketawa dan banyakkan menangis

Banyak ketawa menggelapkan hati dan menyuburkan nafsu. Manakala banyak berfikir dan menangis menundukkan nafsu dan meringankan hati. Kebanyakan kita pula sikit-sikit ketawa, sikit-sikit ketawa. Menangis hanya bila menonton drama dan bila dapat keputusan peperiksaan sahaja.

Satu qasidah arab menyebut,

“Nafsu itu seperti bayi, jika kau biarkan maka sampai besar dia akan menyusu dengan ibunya. Jika kau putuskan susunya, pastilah dia akan berhenti menyusu”

Maka jika kita ikuti turutan nafsu, ia tak kan berhenti dan puas. Belajarlah untuk tegas pada diri dengan meletakkan had ketika mahu bersuka dan ketika mana perlu berhenti.

  1. Perbanyakkan amalan sunat.

Amalan sunat menutup kelemahan amalan  fardhu dan meningkatkan kekuatan diri. Memperbanyakkan amalan sunat bukan sahaja melatih diri supaya biasa dengan ibadah, tapi membantu membina benteng diri daripada maksiat.

Memang tidak berdosa pun jika tidak melakukan amalan sunat, tetapi melakukannya secara istiqamah memberi manfaat tersendiri. Contohnya, membaca zikir Al-Mathurat di pagi dan petang, membaca Bismillah ketika memasuki rumah dan membaca doa sebelum masuk tandas – semua ini tidak mengurangkan pahala ibadah fardhu yang kita dirikan tetapi ianya membantu melindungi diri kita dan mendatangkan kebaikan.

Jika ibadah fardhu kita misalkan sebagai pokok yang kita tanam, dimana buahnya kita rasa di akhirat kelak. Maka, tarbiah ruhiyyah adalah umpama langkah yang kita buat dalam memastikan buah itu berjaya berbuah. Dalam memelihara buah itu supaya subur, kita perlu dirikan struktur bantuan agar daunnya dapat melilit kukuh. Kita letakkan teduhan agar pokok kita tidak kecut dengan pancaran matahari dan kira sirami dengan air agar tumbesarannya stabil. Penekanan tarbiah ruhiyyah membantu untuk kita sentiasa istiqamah melakukan ibadah dan menjaga diri dari maksiat, walaupun setelah berakhirnya Ramadan.

Jadi, jom kita persiapkan diri! Gunakan Ramadan ini untuk muncul sebagai orang baru yang bakal memberi kejutan pada si Dia ketika Syawal nanti!

Fatin Azzyati Binti Pakururazi
Tahun 5, Fakulti Farmasi Universiti Zagazig

Tinggalkan komen anda