Home > Menu > Karya > Artikel > Ramadan Membawa Erti Perkongsian

Ramadan Membawa Erti Perkongsian

Cuaca panas terik hampir sahaja mencecah 43 darjah celcius. Kipas yang berputar pada kelajuan maksimum masih lagi terasa bahang dan masih lagi berpeluh walaupun berada tepat di bawahnya. Mengikut ramalan kaji cuaca hari ini bakal berlaku ribut pasir. Ah! Panas betul hari ini. Walau macam mana pun harus melangkah ke mahattoh untuk membeli barangan wajib, kerana di rumah sudah kehabisan stok. Kalau tidak keluar hari ni, alamatnya tak makanlah aku. Dek kerana musim peperiksaan, memang tak dinafikan memang jarang keluar ke rumah. Ibarat katak di bawah tempurung. Langsung tidak ambil tahu keadaan di luar rumah.

Perjalanan harus diteruskan walaupun tekak ini sudah terasa kering dan peritnya. Tambahan pula, dengan kepadatan manusia di dalam tremco (van) menu ju ke mahattoh. Macam-macam bau ada! Bau keringat, bau badan, bau mulut, huh! Terduga sedikit pada hari ini. Walaupun tingkap sudah dibuka seluasnya, masih tidak mampu menghilangkan bau dan rasanya seperti sukar sekali untuk bernafas.

saudi-beggar

“Nak beli tisu?” Terkalih pandanganku kepada si tua yang bertanya kepada gadis-gadis yang lalu-lalang sambil melemparkan senyuman yang paling manis aku kira. Senyumnya bukan senyuman dipaksa.

Orang yang lalu lalang memandang sinis sekali. Malah, ada yang menepis tangan tua itu. Bukk! Terjatuh tisu yang dipegang. Terbongkok-bongkok mengambil tisu dibawah kereta yang parkir dikaki jalan. Walaupun jalan itu dua hala, cukup padat, mau juga si pemilik kereta parkir di situ. Di ambilnya tisu tadi setelah bersusah payah membongok mengais tisu itu dengan tangan. Walaupun terjatuh tisu itu, masih lagi tersenyum manis sama senyumannya ketika menanyakan kepada seorang gadis agar membeli tisunya itu tadi. Tremco masih lagi tidak bergerak. Jalan mulai sesak. Orang ramai mulai keluar untuk mempersiapkan keluarga dengan barangan rumah untuk bekalan bulan puasa nanti.

Berjalan dia ke setiap kenderaan yang beratur dalam kesesakan itu.

“Semoga Allah merahmati kalian di bulan Ramadan ini. Ramadan kareem! Allahu akram!” jeritnya sambil menadah tangannya yang kotor dan mendongak wajah polos ke langit. Peluh keringatnya membasahi dahi, bajunya kelihatan lencun seperti baru sahaja dijirus sebaldi air. Masih lagi dia mendoakan orang ditengah-tengah jalan itu walaupun tiada siapa pun yang membeli atau memberinya sedikit wang. Kalau sahaja dia menghampiri tremco ini…

Sedekahnya dalam meminta sedekah! Senyumannya mungkin sekali mendamaikan hati orang yang sedang berkecamuk. Senyumannya itu juga menghijab segala keperihan yang dia alami. Mungkin dia tidak punyai harta untuk memberi sedekah kepada orang, tapi dia menggunakan senyumannya sebagai satu sedekah.

Masih lagi aku memerhatinya jauh dari ruang tingkap tremco. Dia berjalan tanpa sepatu di kaki! Dalam cuaca panas begini aku kira pasti lecur, paling tidak pasti rasa panas yang amat dengan tiada bersepatu. Berjalan di setiap kenderaan tanpa lekang senyumannya di bibir. Lihat! Sedekahnya dalam meminta sedekah! Senyumannya mungkin sekali mendamaikan hati orang yang sedang berkecamuk. Senyumannya itu juga menghijab segala keperihan yang dia alami. Mungkin dia tidak punyai harta untuk memberi sedekah kepada orang, tapi dia menggunakan senyumannya sebagai satu sedekah. Dalam pada itu, mulutnya tidak henti mengucapkan doa-doa dan tasbih memuji Allah. Pasti Allah mendengar doanya. Dan mungkin ini ujian buatnya. Kesusahan di dunia untuk menjadi senang di akhirat.

Teringat aku di mana pernah di ceritakan, apabila di akhirat kelak, alangkah gembiranya orang-orang yang ditimpa kesusahan di dunia lantas ia bersyukur dengan kesusahannya, akan diberikan ganjaran syurga sehingga orang-orang kaya dan senang dengan kehidupannya di dunia berkata “alangkah beruntungnya aku jika aku ditimpa kesusahan di dunia. Sehingga yang kaya dan senang meminta-minta untuk dikembalikan ke dunia dan ditimpakan kesusahan buat mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Engkau tidak akan dikembalikan!

Aku terfikir… pasti pakcik tua ini juga seorang bapa. Punyai anak, punyai keluarga. Mesti dia mencari nafkah buat anak isterinya. Agar makan pakai terjaga walaupun dirinya tidak terurus. Sungguh! Begitu berat dugaanmu pakcik dikala usia tua begini. Perkiraanya mungkin di kala tua, sudah goyang kaki, melayani keletah cucu-cucu yang datang ziarah ke rumah setiap minggu, mengubati luka penat jerih memerah keringat untuk menyara keluarga dahulu. Duit simpanan cukup untuk di hari tua. Anak- anak juga menghulur sedikit wang buat ibu ayah walaupun simpanan mereka mencukupi. Agar berkat katanya. Dan begitu, si tua tidak perlu lagi membanting tulang mencari nafkah. Pasti ini ujian berat buatmu. Pasti ada cerita disebalik itu.

Tremco sudah pun bergerak melintasi pak cik tua itu tadi. Masih lagi dia mendoakan orang ramai yang lalu lalang di hadapannya. Masih lagi memegang tisu. Masih lagi terbongkok-bongkok di situ. Masih lagi jalan tanpa sepatu. Dan masih lagi dia tersenyum. Senyumannya barangkali menipu orang ramai tentang kehidupannya, tetapi sepasang mata itu tidak! Sungguh, wajah dan anak mata itu pasti menyimpan begitu banyak rahsia dan duka lara dalam menjalani kehidupannya. Di kala susah, masih lagi tersenyum. Membuatkan aku malu pada Tuhanku yang selama ini sering kali sedih akan ujian yang menimpa. Ada orang yang lebih susah dari aku tapi tetap ia bersyukur.

Selamat menyambut Ramadan pakcik. Aku berdoa pasti akan ada orang yang membantumu. Semoga Allah merahmatimu dan mengurniakan ganjaran hebat buatmu di akhirat kelak di atas kesusahanmu. Semoga sahaja kita sentiasa bersedekah kerana harta dan segala kepunyaan ini bukan milik kita sepenuhnya. Berkongsilah. Walaupun dengan sekecil-kecil perkongsian. Kerana mungkin dengan perkongsian yang sedikit ini dapat memberi sinar kebahagiaan buat yang lain dan mungkin ini merupakan persembahan kita yang terbaik di hadapanNya kelak. Yang paling utama, semoga juga Ramadan ini menimbulkan rasa untuk memahami kesusahan mereka. Bukankah ini yang dituntut? Supaya erti puasa ini lebih dirasai dan kita sentiasa memaknakan Ramadan ini.

Siti Nor Sarah binti Hanipah
Tahun 2 Perubatan

Tinggalkan komen anda