Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Kenyataan Rasmi : Penubuhan Majlis Ketua Batch

Kenyataan Rasmi : Penubuhan Majlis Ketua Batch

logo baru

Assalamualaikumwarahmatullahwabarakatuh.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan, kita masih lagi dapat meneruskan pengembaraan di atas muka bumi ini seterusnya menjadi khalifah untuk mentadbir segala urusan dunia yang penuh dengan segala bentuk ujian dan cabaran. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana atas usaha gigih baginda dalam menyampaikan risalah dakwah Islam, hari ini kita semua dapat merasai nikmat iman dan Islam.

PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) pada sesi ini telah melebihi separuh dekad umurnya yang juga merupakan suatu entiti yang menyatukan seluruh mahasiswa jurusan Perubatan dan Farmasi Universiti Zagazig di samping meneruskan dasar utama PERUBATAN iaitu menjaga kebajikan ahli.

PCZ sentiasa berusaha menyediakan medium pemudah cara terbaik untuk menyampaikan kebajikan kepada ahli di samping mengukuhkan kesatuan dan ukhuwah dalam kalangan ahli. Justeru, bagi menjayakan usaha murni tersebut PCZ sesi 2015/2016 telah sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Ketua Batch (MKB) di bawah kelolaan Naib Pengerusi PCZ yang dianggotai oleh 2 orang perwakilan daripada setiap batch.

Idea asal penubuhan ini telah diutarakan kepada PCZ sesi 2012/2013 dan berjaya dilaksanakan dengan menggunakan nama Batch Panelist Council (BPC).  Namun, atas beberapa permasalahan yang timbul pada pelaksanaan sesi seterusnya telah menyebabkan BPC terpaksa dibekukan buat sementara untuk pengkajian semula bagi penambahbaikan. Setelah itu, idea ini sekali lagi dibangkitkan pada Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC)  2013/2014 dan akhirnya pada sesi kali ini idea ini akan diteruskan kembali dengan penjenamaan semula sebagai Majlis Ketua Batch (MKB).

Antara objektif penting penubuhan Majlis Ketua Batch adalah :

  1. Menjadi salah satu medium bagi pimpinan PCZ untuk mengetahui pandangan dan permasalahan ahli dengan lebih sistematik dan seterusnya menyalurkan bantuan dan tindakan dengan lebih efisien.
  2. Memudahkan PCZ menyalurkan maklumat kepada semua ahli dengan lebih sistematik dan menyeluruh.
  3. Mengukuhkan ukhuwah dan kesatuan dalam kalangan ahli dengan pelaksanaan program/aktiviti di peringkat batch.

Semoga dengan pelaksanaan Majlis Ketua Batch ini dapat membantu melancarkan segala perancangan dan perjalanan aktiviti sama ada di peringkat batch mahupun PCZ dan seterusnya mencapai objektif dalam merapatkan lagi ukhuwah sesama ahli dan pimpinan. Justeru, besar harapan kami agar semua ahli PCZ dapat memberikan kerjasama yang padu dan jitu agar hasrat murni ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Firman Allah taala :

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan”. (Al Maidah : 2)

Semoga segala usaha yang dirancang ini diredhai oleh Allah SWT dan diiringi petunjuk dari-Nya. Amin.

Sekian, Wallahua’lam

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berintegriti”

aisar

Mohamad Aisar bin Ahmad
Naib Pengerusi 1
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2015/2016.

ajlaa

Nurul Fatin Ajlaa binti Shaari
Naib Pengerusi 2
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2015/2016.

Tinggalkan komen anda