Home > Menu > Karya > Artikel > Benar-Benar Ramadhan

Benar-Benar Ramadhan

“Ramadan kita dah tak sama dengan zaman dulu”

“Ramadan kita dah tak sama dengan zaman dulu” Getus sahabat saya. Berbaur nada keluh.
Saya mengangguk-angguk berat. Benarlah, zaman dulu yang dimaksudkan adalah zaman Rasulullah dan para sahabat. Apa yang ditonjolkan oleh mereka benar sekali berbeza.

Padanya tercatat Perang Badar, Perang Taif, Perang Tabuk. Kota Andalusia pula gah bebas daripada kegelapan dengan cahaya Ramadan. Mesir ini sendiri diislah oleh Saiyidina Umar Al-Khattab dan Saiyidna ‘Amru Bin As di bawah terik Ramadan.

Namun, apabila menyaksikan tatacara umat sekarang, segalanya nyata berbeda.
Sahurnya lompong-lompong. Juadah berbuka pula sarat semeja. Solat terawih pula dicari-carinya masjid yang paling ringkas rakaat dan bacaannya. Siangnya masih sunyi daripada membelek mashaf Quran. Bayu bahang pada Ramadan lebih enak melenakan sekalian pemuda di atas kamar sendiri.

“Yalah. Ramadan kita setiap tahun sama je. Jadi orang yang sama je setiap tahun. Tiada perubahan.”
“Sebab apa?” Dia menyambung perbualan. Apa bezanya kita dengan mereka?
Dia bertanya tanpa mendamba jawapan. Kerana sudah tampak jelas perbezaan itu. Iman mereka benar-benar menyinar. Iman yang tidak digoyah walau digoncang suasana. Suasana lapar, dahaga, letih, panas, dan semuanya.

Saya diam tanda setuju. Susah mencontohi mereka radiallahu ‘anhumajmain apabila disoroti kisah perjuangan yang terlakar.
“Tapi masih ada cara…” Saya memutar rencah perbualan. Cuba meniup harapan kepada jiwa yang lesu dengan psikologi perbandingan.

Bersedia Untuk Berubah

“Kita perlu bersedia.”
Rakan-rakan mengangguk dalam kebingungan.

“Kita perlu bersedia untuk memasuki bulan Ramadan. Puasanya perlu bermula sekarang. Quran perlu dibuka lebih kerap. Perlu mula berlatih bangun qiam. Perlu cuba kurangkan aktiviti lagha seharian.”
“Semua ini agar kita tidak terkejut untuk terus ‘bekerja’ dalam bulan Ramadan.”
“Sebab itu ada hadis Nabi berkaitan Nabi lebih kerap berpuasa pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain.

Hikmahnya, ia melatih mental lebih awal. Badan tidak mampu membuat sesuatu perkara yang drastik. Kalau terus berpuasa 30 hari, kemudian nak baca quran, study, dan lain-lain, memang tak larat. Badan dan otak kita letih…”

“Tapi masih tidak mampu setanding dengan golongan sahabat Nabi.” Dia menyilang.
“Ya, sekurangnya ada usaha kita.”
“Tapi, nak berusaha itulah yang susah.”

Sekali lagi saya amengangguk berat. Ya, tepat sekali. Semua perkara baik itu susah. Namun ada perkara yang lebih susah daripadanya. Berubah!

Motivasi Berubah Daripada Konstantinopel

“Satu hari nanti, akan terbuka kota Konstantinopel, sebaik-baik raja adalah padanya, dan sebaik-baik tentera adalah pada zamannya.”

Nabi menceritakan hadis ini kepada sahabat dalam keadaan Islam masih belum stabil ketika itu.
Sahabat-sahabat seolah tercengang dengan kebenaran ucapan Rasulullah itu. Tercengang kerana tidak terjangkau dek akal Islam mampu bertapa kesejauh itu!

Namun ia datang daripada pesuruh Allah, maka ia tepat dan benar.
Jika hari ini Perdana Menteri Malaysia berkata kepada rakyatnya bahawa Malaysia akan menyertai dan memenangi Sukan Olimpik pada musim akan datang, kita pasti berasa tercengang. Perasaan yang sama berlaku pada sahabat-sahabat.

Namun itulah motivasi yang Rasulullah ingin sematkan. Satu perkara yang dilihat mustahil, serba sedikit akan dapat dicapai asbab corakan langkah yang dihasilkan. Sultan Al –Fatih belajar tujuh bahasa asing, melazimi qiamullail dan solat berjemaah, bermesyuarat, serta berukhuwah dengan rakyat, itu adalah persediaan beliau sebelum menakluk kota yang gah itu.

Kesimpulan; Ramadan Yang Benar-Benar Merubah.

Berubah itu susah, namun Ramadan meringankannya. Ia tanda kasih sayang Allah untuk memudahkan kita menyusuri syurgaNya. Syaitan-syaitan diikat, pintu syurga dibuka, neraka ditutup. Gerbang rahmat dan taubat dibentang, keampunan pula tersedia.

Gunakan peluang ini. Mungkin saja ini Ramadan yang terakhir!

Umar Izudin Bin Mhd Ramli
Tahun 4 Perubatan 2014/2015
Universiti Zagazig.
26/05/15

Tinggalkan komen anda