Home > Menu > Berita > ZAGAFEST’14 : Medium Penyerlahan Bakat Perniagaan Mahasiswa Zagazig

ZAGAFEST’14 : Medium Penyerlahan Bakat Perniagaan Mahasiswa Zagazig

19 Disember 2014 – ZAGAFEST’14 (Zagazig Winter Festival 2014) yang bermula pada hari Jumaat lepas merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh PERUBATAN Cawangan Zagazig apabila masuknya musim sejuk di negara Mesir. Program ini diadakan untuk menyatukan ahli-ahli  Zagazig yang terdiri daripada pelajar Farmasi dan Perubatan dan juga sebagai wadah merapatkan ukhuwah dan silaturrahim sesama ahli. Pada tahun ini, terdapat dua program yang diadakan di bawah ZAGAFEST’14 iaitu program Bazaar, sebuah program yang memberikan peluang perniagaan kepada ahli untuk menjana pendapatan melalui penjualan menu-menu makanan keluaran ahli-ahli itu sendiri, dan juga Majlis Walimatul Urus (MAWAR), iaitu sebuah program yang meraikan ahli yang baru berkahwin yang berada di Zagazig.

10425490_427712144046141_7298395523985237248_n

Pada Jumaat lepas, ZAGAFEST’14 dimulakan dengan program Bazaar pada pukul 10 pagi bertempat di Zagazig Malaysian Students’ Hall (ZMSH) bagi para akhawat dan di tapak kawasan tepi bangunan ZMSH bagi para ikhwah. Antara produk-produk jualan yang terdapat di bahagian ikhwah ialah Apam Balik dari Gerai Baitul Sa’adah, dan hidangan nasi berserta lauk beraneka jenis seperti ikan keli masak lemak dan ayam gulai Terengganu dari Gerai Selera Timur De’Zagzig. Selain itu, kumpulan Zagazig Medical Team (ZMT) juga turut  menyediakan perkhidmatan mengira Body Mass Index (BMI), tekanan darah, dan tahap glukosa di dalam darah. Di bahagian akhawat pula, antara produk-produk jualan yang terdapat ialah mee Jajangmyung iaitu sejenis hidangan mee berkuah yang berasal dari Korea Selatan, dijual di Zara Stall, dan juga muffin pisang dan nasi putih ayam bakar dari Gerai Amelia. Pihak pengendali Bazaar juga menyediakan beberapa permainan kecil seperti catur dan dam haji.
10348613_427712157379473_4638199254753936497_n
“Saya berasa terharu tidak terkira atas sambutan yang diterima daripada pengunjung-pengunjung dan pihak penganjur yang datang dan memberi sokongan walaupun ini merupakan percubaan pertama kami dalam bidang perniagaan.” kata Ahmad Faiz Aqeel Bin Jamaluddin, salah seorang pemilik Gerai Baitul Sa’adah yang mendapat sambutan paling hangat daripada para pengunjung program di bahagian ikhwah, selain Muhammad Irfan Bin Khir Anual dan Mohd Haseef Bin Mohd Suhaimi. Mereka bertiga merupakan mahasiswa-mahasiswa dari Fakulti Perubatan di Universiti Zagazig.

10443442_427714430712579_7513641321781737886_n

Program Bazaar diberhentikan sebentar di bahagian ikhwah pada pukul 11.30 pagi untuk memberikan ruang kepada para peniaga dan pengunjung program bagi menunaikan solat fardhu Jumaat. Program kemudian diteruskan semula pada pukul 1.30 tengah hari di mana program menjadi lebih sibuk dan meriah kerana didatangi lebih ramai pengunjung ikhwah dari sebelum waktu solat Jumaat. Program kemudiannya berakhir pada pukul 4 petang, berpandukan tentatif yang disediakan.

“Walaupun penat berniaga, saya tetap berasa gembira dan seronok dengan suasana program Bazaar. Program ini memberikan saya peluang untuk mencari pengalaman dalam bidang perniagaan.” kata saudari Fatimah Az-Zahra Binti Mohamad Isa, mahasiswi dari Fakulti Perubatan di Universiti Zagazig, setelah penat berniaga mee Jajangmyung di Zara Stall.

 

Berita disediakan oleh.

Fazlan Shah bin Henny Shahril

Tinggalkan komen anda