Home > Menu > Berita > MAWAR Mekar Kembali : Apresiasi Buat Pasangan yang Berkahwin

MAWAR Mekar Kembali : Apresiasi Buat Pasangan yang Berkahwin

ZAGAZIG, 20 Disember 2014 : Kerlipan lampu yang bergemerlapan ceria menyambut kedatangan tetamu ke Dewan Amniati, Sehrul Layali, Zagazig. Majlis Walimatulurus (MAWAR) yang sinonim dengan majlis meraikan pasangan yang baru mendirikan rumahtangga dalam kalangan ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) bukanlah kali pertama diadakan namun sudah masuk tahun ketiga dan kali ini, kemeriahan majlis diwarnai dengan pasangan pengantin baru yang terdiri dari kalangan tahun 3 sehingga  ke tahun 6.  Ahli PCZ rata-ratanya teruja untuk sama-sama memeriahkan majlis yang diadakan bersempena dengan program ZAGAFEST ’14 yang  telah berlangsung bermula 19 Disember lagi.

Dekorasi biru putih yang menjadi pilihan warna tema untuk hiasan set pelamin berserta kerlipan chandelier di dalam dewan telah membangkitkan suasana ceria semua hadirin.

Majlis yang tepat bermula pada pukul 6.15 malam itu bermula dengan ucapan alu-aluan oleh saudara Ahmad Syahmi Bin Azhar, selaku Pengarah ZAGAFEST. Kemudian, saudara Mohd  Zakhiruddin Bin A Bakar, selaku Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) bagi sesi 2014/2015 pula memberi ucapan perasmian sekaligus melancarkan gimik program.

10491996_427723094045046_1434244828910678841_n

Majlis seterusnya diisi dengan slot bual bicara “Generasi Pembina Ummah” yang telah disampaikan oleh Ustaz Jamil al-Yamani yang mengupas secara terperinci mengenai ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan. Antara isi yang ditekankan oleh al-fadhil ustaz adalah, pergaulan lelaki dan perempuan secara berlebihan amat ditegah dan dipandang murka dalam Islam malah pada asalnya, hukum percampuran berlainan jantina  ini adalah haram.

Diriwayatkan oleh Ummu Salamah, bahawasanya pada suatu ketika, usai Rasulullah S.A.W selesai solat, baginda tidak bangun meninggalkan masjid dengan segera melainkan sehingga semua jemaah wanita keluar meninggalkan masjid.

Perihal ini menunjukkan bahawa isu ikhtilat sangat menitikberatkan kehormatan wanita bagi mengelakkan sebarang fitnah. Perubahan semasa serta tuntutan masa kini yang menuntut komitmen wanita dalam masyarakat membenarkan wanita untuk bekerjasama dengan kaum adam dalam norma serta lunas-lunas yang telah ditetapkan agar dalam apa keadaan sekalipun maruah wanita tetap menjadi prioriti.

Antara isu lain yang ditekankan adalah berkenaan perkahwinan dalam usia muda yang seakan  menjadi ikutan semasa. Walaupun begitu, pokok pangkal isu perkahwinan ini bukan berdasarkan kepada keseronokan semata-mata tetapi lebih kepada mengamalkan amalan “amal makruf, nahi mungkar” kerana sesungguhnya pada usia dunia di semakin menghampiri penghujungnya, ramai yang melakukan kemaksiatan namun tiada yang menegur hingga sesiapa yang mengamalkan amal makruf nahi mungkar, seumpama mempunyai  iman Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Apabila berakhirnya bual bicara tersebut, slot kedua membuka tirainya.

10015016_427723220711700_7747234631150189444_n 10881614_427723317378357_3027460409683707220_n

Slot “We Are Family” merupakan slot pengenalan calon-calon Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) serta calon Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) berserta soal jawab secara santai yang telah dikendalikan oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC).

 

Hari ini menugal jagung,

Hari esok memintal tali,

Hari ini kita berkampung,

Meraikan mempelai dua sejoli.

 

Pantun empat kerat menjadi pembuka tirai slot kemuncak iaitu MAWAR, menghangatkan suasana dewan kembali dalam kondisi udara yag semakin dingin. Penonton kekal tidak berganjak dikerusi, teruja meraikan acara yang dinanti.

“Dan  tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah)” Surah Adz-Zariyat 49.

Slot  pengenalan pasangan mutazawwijin bermula dan seramai lima pasangan telah diraikan. Pasangan-pasangan istimewa tersebut adalah Saudara Mohammad Azharuddin dan pasangannya Puan Nabila Hanis binti Yaacob, Ustaz Mohd Shobri bin Mat Yaakub serta isterinya Ustazah Hakimah binti Mohd Abdullah. Selain itu pasangan yang diraikan pada malam itu juga adalah Saudara Hamidul Hannan Hasani bin Mohd Nawi dan pasangan hidupnya Puan Nur Fatehah binti Abidin, Saudara Ameer Aizat bin Shamsuddin dan pasangannya Puan Nur Jannatie binti Mohd Sanusai. Dan terakhirnya Saudara Khawarizmi Hakim bersama isterinya Puan Nur Farah Liyana binti Rodi.

10858633_427724420711580_7227274041010348994_n 10857823_427719177378771_1976072077531181393_n

Dewan gamat tika melihat gelagat para suami yang menghadiahkan kuntuman ros merah kepada isteri mereka. Ada yang kelihatan malu-malu malah ada yang selamba melutut memberikan bunga turut terakam pada malam tersebut.

Sewaktu slot “Serasi ke Tidak”, pelbagai soalan diutarakan untuk menguji sejauh mana pasangan yang diraikan tahu mengenai pasangan masing-masing.

Menemubual pasangan muda, Saudara Ameer Aizat mengenai cabaran berumahtangga dalam usia yang muda, beliau menyatakan bahawa perkahwinan itu sangat mencabar kerana beliau perlu arif menguruskan urusan berkeluarga dan kewangan dengan baik kerana sebagai ketua keluarga, tanggungjawab yang dipikul beliau bukan mudah dek kerana sudah terbiasa dengan kehidupan bujang. Namun begitu, cabaran itu bukan menjadi penghalang kerana kebaikan daripada perkahwinan  itu lebih banyak yang dapat diraih.

Menjadi satu-satunya wakil pasangan Azhari pada malam tersebut, Ustaz Shobri Bin Mat Yaakub telah diminta berkongsi pendapat dan beliau menyatakan bahawa perkahwinan ini tidak patut kita lengahkan dan berserahlah kepada Allah untuk memohon dilancarkan segala urusan dan dimurahkan rezeki.

Berakhirnya slot “Serasi atau Tidak” menandakan program juga hampir sampai ke penghujungnya. Acara terakhir yang mengambil tempat sudah pasti adalah jamuan makan. Para hadirin menjamu selera hidangan yang enak pada malam itu sambil dihiburkan oleh dendanan halwa telinga yang begitu merdu yang dipersembahkan oleh kumpulan yang diminati ramai, Zagaziak. Tiga buah lagu telah dinyanyikan iaitu Belaian Jiwa, Insan serta sebuah lagu bahasa Inggeris bertajuk For The Rest Of My Life nyanyian asal Maher Zain.

10881683_427725574044798_8675160203505561215_n

Bagi pengarah ZAGAFEST, Saudara Ahmad Syahmi bin Azhar ternyata berpuas hati kerana objektif program untuk meraikan pasangan mutazawwijin dan berkongsi input-input berguna mengenai peranan sebagain seorang muslim yang telah disampaikan dalam bual bicara “Generasi Pembina Ummah” tercapai dan menganggap program ini antara program yang berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan meskipun dalam kekangan fatrah peperiksaan bagi pelajar tahun 6 dan pelajar Farmasi.

Selamat menempuhi kehidupan berumah tangga dan semoga dipasakkan keyakinan yang utuh kepada Allah atas segala nikmat dan kurnia yang telah diberikan.

Disediakan oleh,

AMANI BINTI RAMLI,

Unit Liputan,
Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014 / 2015.

Tinggalkan komen anda