Home > Menu > Karya > Artikel > Kerana Dirimu Begitu Berharga

Kerana Dirimu Begitu Berharga

Winter datang lagi. Menjadi lumrah bagi pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di bumi Mesir ini, tatkala musim ini tiba, akan sedikit teragak-agak dan berkira-kira bila agaknya mahu mula menyarung winter coat dan melilit mafla pada batang tengkuk dan muka. Kebiasaannya, yang menjadi bench mark yang dapat meyakinkan pelajar-pelajar Malaysia untuk keluar dari rumah masing-masing berpakaian tebal, adalah apabila warga Arab mula berpakaian berlapis-lapis.

Sesetengah dari kita berpandangan, musim sejuk suatu rahmat yang besar. Sedingin cuaca dan suhu, begitulah sejuknya mata memandang. Jiwa terasa tenteram. Musim sejuk didatangkan dengan kelebihan untuk kita menjaga mata, menjaga pandangan. Dosa juga berkurang. Di kala inilah golongan wanita, yang mana sesetengahnya sebelum ini terdedah membuka aurat, mula akur pada kehendak cuaca. Sejuk yang menggigit mula memaksa mereka untuk membalut diri dengan pakaian yang tebal. Sama sahaja wanita dan lelaki. Masing-masing ada permata tersendiri. Kain-kain di kedai pakaian tiba-tiba menjadi laris diniagakan. Harga jatuh merudum, murah. Malahan, bukan itu sahaja, agak sukar sekali mencari mereka yang berpakaian terdedah di sana sini.Semuanya kerana tiada siapa yang mampu bertahan dalam musim sejuk yang benar-benar menguji diri.

Hebat dan dahsyatnya kuasa cuaca.

Suhu menggerakkan manusia untuk menutup, mengelubung. Keadaan ini  berjaya mencorak manusia berjalan atas landasan syari’at yang sebenar. Landasan syari’at dalam pemeliharaan keaiban, kemahkotaan dan maruah. Aurat.

Manusia sejagatnya tenang melihat saudara-saudari seagamanya, berjalan beramai-ramai di atas jalan yang benar. Namun hakikatnya, samakah kebenaran itu jikalau niat, pasak dan pendorongnya bukan bersandar pada Yang Maha Satu? Berpakaian sebegitu bukan kerana Allah, dan bukan disandarkan pada hukum hakam Islam?

Kebetulan sama.

Maka, apabila berlalu kedinginan yang menggigit, tibalah masanya manusia pula ‘menggigit’. Menyeksa mata-mata manusia lain yang sedaya upaya menunduk dan menjaga iman mereka semampunya. Suhu yang meningkat memaksa manusia yang  kurang kesedaran diri  ini juga berfikiran singkat. ‘Panas, rimas’ menjadi alasan paling menduduki carta teratas dalam senarai alasan tatkala mereka diseru untuk menutup aurat.

Segolongan sinis melihat dan berkata, ‘ berdosanya matahari’.

Dalam hal ini, matahari, hujan mahupun salji tidak bersalah. Siumanlah. Mereka semua makhluk Allah yang digerakkan sebagai rahmat juga ujian buat sekalian manusia.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

aurat

Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :

Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki memandang akan aurat seorang lelaki (yang lain) dan janganlah seorang perempuan (memandang) akan aurat seorang perempuan (yang lain).” (Hadits riwayat Imam Muslim)

Penjagaan aurat tidak terbatas sekadar itu. Perlu juga kita menjaga syarat-syarat lain yang telah digariskan oleh syara’ dalam hal berpakaian seperti:

  1. Tidak menyerupai pakaian lawan jantinanya.
  2. Tidak menyerupai pakaian atau cara berpakaian orang kafir. Maksudnya di sini ialah apa-apa pakaian atau sesuatu yang dipakai oleh orang kafir sebagai cogan khas atau ciri pengenalan bagi mereka, contohnya di sini seperti ‘scapular’, iaitu sejenis potongan kain atau aksesori tertentu yang dipakai khusus oleh pengabdi agama Kristian.
  3. Tidak memakai pakaian yang mempunyai gambar, lambang atau unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti lambang salib, minuman keras dan sebagainya.
  4. Khusus bagi perempuan pula, jangan memakai pakaian yang disertai wangi wangian dan jangan pakaian itu berhias-hias kerana akan menarik perhatian lelaki dan sekaligus mengundang fitnah.
  5. Manakala bagi lelaki pula, jangan pakaiannya itu diperbuat daripada benang sutera. Dari itu, dengan sendirinya, apa saja jenis sukan yang mensyaratkan untuk memakai pakaian yang tidak memenuhi kehendak syara‘ apatah lagi bertentangan dengannya seperti sukan yang mewajibkan pesertanya memakai pakaian yang mendedahkan aurat atau mewajibkan pesertanya memakai pakaian yang mengandungi lambang salib dan sebagainya adalah wajib ditinggalkan.

Islam telah menggariskan. Dalil-dalil terpampang secara ‘solid’ di dalam Quran serta hadis-hadis Nabi S.A.W. Namun kita, seolah-olah buta, pekak. Sengaja tidak mengendahkan tuntutan dari Allah S.W.T.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahaminya dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keEsaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai ”  (Surah Al-A’raf, ayat 179)

Kita tahu, tetapi kita masih teruskan. Kita tahu ia salah, tetapi kita masih buat. Kita tahu Allah Pencipta kita, yang tahu apa keperluan kita, apa yang terbaik untuk kita. Justeru, jadilah jujur dengan diri sendiri. Ambil suatu masa, kurung diri kita dalam suatu bilik kosong, tolak imej-imej rakan, keluarga serta manusia-manusia sekeliling kita. Fikir. Di mana kita dalam mentaati Allah S.W.T dalam pelaksanaan penjagaan aurat dan maruah kita. Muhasabah. Tolak tepi bayangan-bayangan cemuhan, makian yang bakal dihadapi. Bulatkan tekad, padukan azam. Usaha untuk memperbaiki. Maka, selepas itu, melangkah keluarlah dari bilik tersebut sebagai seorang yang ‘baru’.

Berjiwa besarlah! Masih belum terlambat.

 

Disediakan oleh:

Liyana binti Rosli,
Mahasiswi Tahun 3 Perubatan, Universiti Zagazig

Tinggalkan komen anda